PAS Besut mencalonkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd
Amar Nik Abdullah untuk mencabar penyandang jawatan timbalan presiden
Mohamad Sabu (gambar) dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Resolusi PAS kawasan itu sebulat suara supaya Datuk Seri Abdul Hadi
Awang dikekalkan sebagai Presiden PAS bagi sesi akan datang. Muktamar
tahunan PAS kali ke-59 akan diadakan pada 22 hingga 24 November ini bagi
memilih kepimpinan baru sesi 2013-2015.
Pemilihan kali ini turut mendapat perhatian daripada Mursyidul Am PAS,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengeluarkan kenyataan bahawa timbalan
presiden harus dipilih dari kalangan ulama. Dengan pencalonan Nik Amar oleh beberapa kawasan membuktikan saranan
Mursyidul Am itu diambil kira oleh setiap kawasan bagi pemilihan PAS
akan datang.
Nik Amar sudah mendapat layak untuk bertanding sebagai timbalan presiden
PAS dalam pemilihan akan datang. Dalam pada itu, PAS Besut turut
menamakan tiga calon untuk merebut
jawatan naib presiden iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub
dan Datuk Mahfuz Omar.
Pengaruh Mursyidul Am dijangka memberikan impak besar dalam pemilihan kepimpinan PAS tidak lama lagi.
Media melaporkan pada Sabtu lalu, Nik Abdul Aziz berpendapat Abdul Hadi
patut dikekalkan sebagai presiden PAS dan timbalannya pula dipilih di
kalangan ulama. Katanya, semua pemimpin PAS perlu mempunyai ciri ulama,
namun apa yang membezakan mereka adalah ilmu agama yang dituntut.
Kenyataan Nik Abdul Aziz sekali gus memberi isyarat kepada pewakilan supaya jawatan presiden PAS itu tidak dipertandingkan.
“Saya berdoa dan minta Hadi yang banyak pengalaman dan ilmu diteruskan
jadi presiden, tetapi timbalan atas undi dan tentu saya mahu orang ulama
jadi timbalan beliau,” katanya selepas kuliah mingguan di Dataran Ilmu,
Kota Bharu.
Beliau berkata demikian selepas Yang Dipertua PAS Padang Serai, Fauzi
Tahir mahu menawarkan diri bagi mencabar Abdul Hadi merebut jawatan
nombor satu itu pada muktamar kali ini. Fauzi berkata, penawarannya itu bukan ingin berlawan atau mencabar
Abdul Hadi tetapi adalah untuk menguji ahli PAS seluruh Malaysia tentang
kefahaman mereka terhadap perlembagaan parti.
Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan itu mengakui
mempunyai calon pilihan sebagai timbalan presiden, namun tidak mahu
mendedahkan sebaliknya menyerahkan kepada ahli PAS untuk membuat
keputusan terbaik.
"Saya tidak boleh sebut nama orang pilihan saya, orang yang nak jadi
timbalan kena calon nama dia, orang nak pilih atau tidak itu
terpulanglah kepada ahli, saya tidak boleh sebut nama dia," katanya. -
11 September, 2013.
No comments:
Post a Comment