Setelah selesai pemilihan Agung Umno, kita melihat calon kontroversi
seperti Zahid Hamidi masih diterima oleh ahli Umno untuk menjadi
kepimpinan tertinggi parti.
Calon-calon progresif seperti Datuk
Saifuddin Abdullah pula terpinggir dan tewas dalam pemilihan. Dengan
keputusan ini kita sudah pasti dapat menjangkakan halatuju dan pembawaan
Umno selepas ini.
Bagi
saya, tidak banyak harapan yang boleh kita letakkan kepada UMNO.
Sebagai kerajaan minoriti yang menanti rebah, adalah satu kerugian jika
kita menghabiskan banyak masa membincangkan tentang masa depan Umno.
Oleh
itu saya ingin mengajak pembaca untuk melupakan Umno dan menoleh kepada
Muktamar Agung PAS yang akan berlangsung pada November ini.
Saya
tidak memilih untuk terlibat dalam polemik popular yang sering
dibangkitkan sejak akhir-akhir ini berkaitan pemilihan PAS. Bagi saya
polemik itu hanya sesuai dijadikan bahan sensasi dan disembangkan secara
kosong di kedai-kedai kopi.
Kerana bagi saya, soal pemilihan
pimpinan PAS perlu bebas daripada sentimen atau isu sensasi. Apa yang
penting ialah seluruh perwakilan perlu faham apakah fokus yang perlu
dijadikan bahan penilaian untuk memilih kepimpinan pada Muktamar akan
datang.
Peranan, realiti yang perlu difahami
Menyegarkan
semula peranan Pemuda, secara umumnya, sudah pasti Pemuda PAS
berperanan sebagai sayap parti yang bertanggungjawab dalam membina
generasi anak muda Malaysia yang subur dengan nilai-nilai Islam
sekaligus mampu berfungsi sebagai agen pembangun negara.
Nilai-nilai
Islam ini merangkumi nilai sejagat iaitu keadilan dan kebajikan yang
menjadi hak asasi setiap insan, merentasi kepercayaan agama dan ras.
Apabila
bercakap soal peranan Pemuda PAS secara khusus, maka saya percaya
Pemuda PAS perlu berperanan sebagai ‘Awakener' yang menyuntik dan
merangsang kebangkitan anak muda dalam proses menegakkan Malaysia
sebagai sebuah negara yang sejahtera.
Iaitu Malaysia yang dipimpin oleh
pemimpin adil, kuasa rakyatnya dihormati dan seluruh rakyatnya hidup
dalam kebajikan yang terbela.
Di luar sana, terdapat beberapa
kelompok anak muda yang perlu disantuni. Ada golongan anak muda yang
terpisah langsung daripada kesedaran politik. Mereka ini perlu disentuh
dengan hikmah bagi mendekatkan mereka kepada semangat kenegaraan.
Ada
kelompok anak muda yang faham akan tanggunjawab terhadap negara, tetapi
terkekang dengan hutang dan periuk nasi yang perlu dipertahankan.
Mereka ini boleh menjadi ejen perubah dalam senyap melalui kertas undi
rahsia.
Ada juga kelompok anak muda yang faham, sedar dan mereka
berjuang demi keadilan dengan cara masing-masing. Matlamat perjuangan
mereka tetap satu iaitu menegakkan keadilan untuk rakyat dan
menumbangkan rejim yang bertapak di Malaysia.
Walaupun matlamat ini
dinamakan dengan nama yang berbeza-beza, ia tetap satu.
Idealnya,
di sinilah letaknya peranan Pemuda PAS. Iaitu untuk melorongkan segenap
lapisan anak muda ke jalan perjuangan secara komprehensif dan
bersepadu.
Keragaman anak muda ini sekiranya berjaya diberdayakan, akan
mampu menghasilkan ketumbukan yang membawa manfaat besar kepada
perjuangan menegakkan Malaysia yang lebih baik.
Lebih-lebih lagi dalam
suasana politik Malaysia yang sedang mengalami kebangkitan anak muda
yang luar biasa.
Saya yakin, sekiranya Pemuda PAS berjaya
melorongkan anak muda Malaysia kepada cita-cita menegakkan sebuah Negara
yang adil dan berkebajikan, bermakna Pemuda PAS juga sudah berjaya
mendekatkan anak muda Malaysia kepada citra Islam yang agung.
Seperti
yang terkandung dalam doa yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat
baginda Abu Umamah yang diceritakan melalui hadith riwayat Abu Daud yang
berbunyi:
"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dari-Mu
daripada kerisauan, kesedihan, rasa lemah dan sifat malas, juga daripada
sifat penakut dan kedekut, serta dari belenggu hutang dan penganiayaan
manusia terhadapku."
Oleh itu, dalam penulisan yang tidak
seberapa ini, saya cuba kongsikan pandangan saya mengenai apa yang perlu
dilakukan Pemuda PAS dalam memposisikan peranan Pemuda seiring dengan
kontekstual Malaysia.
Dengar, iktiraf pandangan 'bottom-up'
Dalam
membicarakan hal ini, saya suka melihat pendekatan yang digunakan
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merapati anak muda yang
berada diluar kerangka parti.
Melalui
Program ‘Meet Anwar', kepimpinan PKR mendengar dan mendapatkan respon
secara langsung daripada kelompok sasaran tertentu seperti mahasiswa dan
aktivis anak muda mengenai polisi PKR seterusnya dijadikan bahan untuk
memperkemas perjuangan PKR.
Saya kira Pemuda PAS juga boleh
mengetengahkan aktiviti yang membuka ruang perkongsian idea di antara
kepimpinan Pemuda PAS dan anak muda yang berada di luar kerangka PAS.
Program
seperti "Meet Ketua Pemuda" atau "Meet Pemuda" sudah pasti akan mampu
memberi impak besar kepada Pemuda PAS melalui perkongsian idea dengan
anak muda secara terbuka. Tidak salah untuk kita menuruti perkara baik
demi kepentingan perjuangan.
Bahkan
idea untuk mendengar pandangan anak muda di peringkat akar umbi juga
menepati konsep syura yang ditekankan dalam Islam.
Selain berijtima'
sesama ahli PAS, saya kira program seperti lepak santai bersama aktivis
anak muda juga boleh menjadi ruang untuk Pemuda PAS mendapatkan
pandangan kolektif bagi memperkasakan pembawaan Pemuda PAS.
Saya
percaya aktiviti sebegini sudah ada dijalankan oleh sayap Pemuda PAS di
kawasan-kawasan tertentu, tetapi aktiviti tersebut masih terpencil dan
tidak dinasionalkan.
Usaha giat mendapatkan pandangan anak muda
di peringkat akar umbi ini bukan sahaja boleh dijadikan sumber untuk
mengembangkan perjuangan Pemuda PAS, tetapi turut boleh dijadikan salah
satu mekanisme muhasabah bagi menilai keberkesanan program-program
siasah yang telah dijalankan.
Mempamer idea Pemuda PAS
Saya
sering merasa tercabar dengan pandangan sesetengah pihak yang
membandingkan kredibiliti pemuda dalam PAS dengan pemuda dalam parti
lain seperti PKR.
Kalau disebut orang muda seperti Rafizi Ramli, maka
rakyat secara auotomatik akan diperingatkan dengan isu-isu penting
seperti skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC), Kempen Turun Harga Kereta,
Kempen Turun Harga Minyak dan Kempen Hapuskan PTPTN.
Pemuda
juga kelihatan lebih tenggelam apabila isu-isu utama yang berlaku dalam
negara sering beredar tanpa disentuh secara serius.
Jika dahulu
kepimpinan Salahudin Ayub menyambut isu kenaikan harga minyak dengan
protes sehingga beliau ditangkap, namun isu kenaikan harga minyak
baru-baru ini kurang disentuh sekaligus terlepas peluang untuk
mengetengahkan kredibiliti Pemuda ketengah masyarakat.
Selain
itu, untuk membincangkan isu-isu kritikal berkaitan polisi Negara
seperti isu pendidikan, undang-undang, ekonomi dan politik, yang sering
menghiasi wacana dan forum adalah tokoh-tokoh lama seperti Dr Dzulkefli
Ahmad, Khalid Samad, Datuk Husam Musa. Hal ini menjadikan Pemuda terus
dilihat tenggelam baik di medan wacana mahupun perjuangan jalan raya.
Sewajarnya,
Akademi Kepimpinan Pemuda diperkemas bagi memastikan akademi tersebut
boleh bertindak persis seperti Institut Kajian Dasar yang dekat dengan
PKR.
Akademi ini juga perlu diiktiraf sebagai program rasmi PAS
bagi memastikan program ini tidak sekadar dijadikan program picisan atau
sampingan. Apabila akademi ini diiktiraf sebagai program rasmi, maka
setiap kepimpinan PAS perlu memberi komitmen penuh bagi melatih pemikir
muda PAS.
Jika Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) boleh
mengambil inisiatif dengan menghantar generasi pelapisnya melawat
negara-negara Islam seperti Turki untuk menadah ilmu dan pengalaman,
maka PAS juga boleh melakukan perkara yang sama.
Program
internship atau latihan luar negara ini akan membina standard yang
tinggi dalam kalangan pemimpin muda PAS dan secara langsung melahirkan
pemimpin muda berkualiti antarabangsa.
Tingkatkan solidariti, hapuskan jurang
Sekiranya
ditanya kepada saya, berapa banyak gerakan anak muda yang ada di luar
sana, atau berapa banyak gerakan mahasiswa yang ada di luar sana? Sudah
pasti terlalu sukar untuk saya jawab. Sedangkan mereka ini adalah
rakan-rakan seperjuangan yang bercita-citakan perubahan.
Mereka
boleh menjadi sumber maklumat, sumber kekuatan, sumber tenaga, sumber
idea dan sumber sokongan. Mereka juga boleh menjadi wasilah untuk Pemuda
melebarkan sayap dakwah ke lapisan yang sukar dijangkau.
Adalah
perlu dibimbangkan apabila timbul persepsi kurang enak terhadap Pemuda
PAS daripada aktivis pro-perubahan ini.
Walaupun perbezaan itu suatu
yang tidak dapat dielakkan, tetapi perbezaan tetap perlu diminimakan.
Sewaktu
aktivis anak muda di peringkat akar umbi giat membincangkan soal
"Malaysian Spring", tiba-tiba timbul kenyataan daripada kepimpinan
Pemuda PAS yang bersifat kontra dengan semangat tersebut.
Walaupun
saya meyakini kenyataan yang dikeluarkan itu ada asas dan hujah yang
kukuh, namun mungkin kenyataan itu dikeluarkan secara tidak cermat dan
tidak kena pada masanya.
Hal ini menjadi salah satu faktor wujud jarak
antara Pemuda PAS dengan gerakan sivil atau gerakan anak muda yang
diluar kerangka PAS.
Tokoh falsafah dan pembinaan Negara Amerika
Syarikat, Benjamin Franklin dalam menghuraikan mengenai konsep
kepimpinan ada menyebutkan: "Jika kamu beritahu aku, aku mungkin lupa.
Kalau kamu ajar aku, aku mungkin lupa. Libatkanlah aku, dan aku akan
belajar".
Kenyataan ini bermaksud, dalam memperkemas sesuatu
perjuangan, seseorang pemimpin itu perlu bijak dalam melibatkan diri
dengan perjuangan akar umbi agar pemimpin itu dapat melihat secara terus
hasil dan maklum balas daripada rakyat yang dipimpin, bukan sekadar
memberi arahan dari atas ke bawah.
Saya percaya, sekiranya
kenyataan Benjamin Franklin tersebut dihayati dan dipraktikkan, ia pasti
akan memberi kesan signifikan kepada sesebuah organisasi. Kerana dengan
falsafah yang samalah Benjamin Franklin telah meletakkan batu asas
kepada terbinanya Negara Amerika Syarikat.
Berjiwa besar, mudahcara gerakan anak muda
Rasulullah
S.A.W melalui sebuah hadith riwayat Bukhari pernah menyebutkan:
"Permudahkan, jangan dipersulitkan. Gembirakan, jangan
menakut-nakutkan".
Pesanan Rasulullah S.A.W ini sangat praktikal
untuk dijadikan panduan bagi menyusun peranan Pemuda PAS dicelah-celah
puluhan gerakan anak muda yang lain.
Apatah lagi Pemuda PAS
sebagai gerakan anak muda yang paling stabil dengan jentera organisasi
yang tersusun, bilangan ahli yang ramai, berpengalaman luas, serta telah
teruji dengan pelbagai cabaran sehingga menjadikan Pemuda PAS sebagai
sebuah gerakan yang matang.
Sesuai dengan prinsip membawa Islam
sebagai "Rahmatan Lil ‘Alamin", Pemuda PAS sebenarnya sangat mampu untuk
menjadi pemudahcara kepada perjuangan anak muda.
Tanpa perlu diundang,
Pemuda PAS seharusnya bersifat progresif dalam menawarkan bantuan kepada
mana-mana gerakan yang memerlukan sokongan dan bantuan daripada Pemuda
PAS.
Berdasarkan
pengalaman saya, sememangnya PAS selama ini telah banyak membantu
pelbagai gerakan massa termasuk menyediakan bantuan keselamatan dan
tenaga mobilisasi.
Lihat saja bagaimana PAS membantu semasa himpunan
BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0. Puluh ribu ahli PAS telah hadir dari merata
negeri sekaligus menjadi faktor utama kejayaan himpunan tersebut.
Peranan
sebagai pemudahcara gerakan ini bagi saya adalah terjemahan langsung
kepada konsep dakwah bil-Hal yang sebenarnya lebih banyak memberi kesan
kepada masyarakat berbanding dakwah orasi di pentas ceramah.
Hal ini
tercatat dalam kisah Imam Ahmad Dahlan yang telah berjaya mengasaskan
Gerakan Muhammadiah di Indonesia melalui pengaplikasian dakwah bil-hal.
Berbanding
hanya menyampaikan kuliah di pondok pengajian, Imam Ahmad Dahlan telah
menggunakan tenaga-tenaga anak muda untuk mempraktiskan tafsir Surah
Al-Ma'un dengan menjalankan aktiviti kebajikan seperti memberi bantuan
kepada fakir miskin dan membela golongan yang tertindas.
Jika
sebelum ini Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sering menjadi individu
yang menghubungkan PAS dengan gerakan sivil dan gerakan anak muda, maka
saya kira sudah tiba masanya tugas ini diambil alih secara agresif oleh
Pemuda PAS.
Sebagai pemudahcara gerakan rakyat khususnya gerakan
anak muda, sudah pasti PAS akan dilihat sebagai sebuah gerakan berjiwa
besar yang sentiasa bersedia untuk melimpahkan manfaat demi kebaikan
semua pihak.
Melalui jalan dakwah progresif seperti ini, Pemuda PAS akan
berjaya menarik lebih ramai anak muda untuk mendekati PAS sekaligus
bersama-sama berjuang untuk mencapai matlamat yang disasarkan.
Daripada cemerlang kepada berbitara
Menelusuri
perkembangan PAS di bawah payung Pemuda, saya akui sudah terlalu banyak
perubahan yang dicapai dibawah kepimpinan saudara Nasruddin Hassan
Tantawi sebagai ketua Pemuda PAS Pusat.
Bergerak berlandaskan tarbiah
dan siasah, Ustaz Nasruddin bagi saya telah berjaya mengepalai sayap
terpenting PAS ini.
Penganjuran pelbagai program berunsur
tarbiah seperti Ijtima' Tarbawi telah menjadi medan memperkukuh kesatuan
ahli PAS di samping menjadi medan menguatkan semula iltizam perjuangan
parti dalam kalangan Pemuda.
Dilapangan
dakwah pula, Pemuda PAS dilihat progresif dalam memimpin golongan artis
yang baru berhijrah lebih dekat kepada Agama.
Program seperti Usrah
Selebriti, saya percaya akan menarik lebih ramai penggiat seni untuk
lebih mendekati PAS sebagai wadah untuk mendekatkan diri dengan Agama
Islam.
Sudah pasti kejayaan dua tokoh Pemuda PAS iaitu Ustaz
Nasruddin dan Ustaz Nik Abduh Nik Aziz menjadi ahli parlimen menjadi
bukti betapa dua individu ini berjaya menjadi duta kepimpinan Pemuda PAS
untuk diketengahkan kepada masyarakat.
Naib Presiden PAS
Salahuddin Ayub semasa berucap dalam forum Survival Politik PAS di Kuala
Lumpur baru-baru ini ada mengatakan, kemenangan dua tokoh Pemuda
menjadi ahli parlimen menjadi penanda aras yang menunjukkan Pemuda PAS
sudah mencapai tahap kemajuan siasah yang boleh dibanggakan sekaligus
membuktikan rakyat telah mengiktiraf kredibiliti kepimpinan muda dalam
PAS.
Setelah saya menonton rakaman Forum Survival Politik PAS
melalui Youtube, saya dapat melihat ahli panel dihujani dengan pelbagai
persoalan sinis yang ditujukan kepada Pemuda PAS.
Dalam keadaan
ketiadaan wakil Pemuda PAS sebagai panel, Suhaizan Kayat merangkap Ketua
Pemuda PAS Johor yang sekadar datang sebagai penonton terpaksa bangkit
dan menjawab segala persoalan yang ditujukan kepada Pemuda PAS.
Yang lama tak bermakna lemah
Memetik
bicara ketua Pemuda PAS Johor itu, beliau menyifatkan pelbagai kritikan
yang ditujukan kepada Pemuda PAS oleh masyarakat khususnya anak muda
adalah tanda PAS sangat disayangi semua pihak.
Beliau
juga menekankan Pemuda PAS sedar wujud pelbagai kritikan terhadap
organisasi itu dan Pemuda PAS bersiap untuk berubah jika perubahan itu
dilihat sebagai suatu kemestian.
Apa yang diharapkan beliau ialah orang
ramai terus memberi kepercayaan kepada Pemuda PAS dan memberi peluang
kepada organisasi ini untuk membuktikan sesuatu.
Beliau juga
beriltizam untuk lebih memasyarakatkan PAS khususnya dalam meraikan dan
mengiktiraf penglibatan anak muda dalam perjuangan menegakkan Malaysia
yang lebih baik.
Saya amat berhasrat untuk melihat apa yang
dikatakan oleh Suhaizan Kayat dapat dilaksanakan.
Atas sebab inspirasi
yang dipamerkan oleh Suhaizan Kayat itu, Pemuda PAS Kawasan Sepanggar
telah mencalonkan beliau untuk mengisi jawatan ketua Pemuda PAS pada
muktamar November ini.
Maka, saya kira Suhaizan Kayat perlu
bersedia untuk mengotakan segala apa yang dikata. Mudah-mudahan
sekiranya terpilih, beliau dapat membentuk kepimpinan pemuda berbitara
seterusnya mampu memimpin anak muda Malaysia demi mencapai cita-cita
negara adil dan berkebajikan.
Mencalonkan orang baru bukan
bermakna yang lama itu lemah. Tetapi kita semua sayangkan jemaah ini dan
mahu melihat ia berkembang dengan memaksimakan penggunaan potensi yang
ada di dalamnya.
ABDILLAH MATLIN adalah ketua Pemuda PAS kawasan Sepanggar
kalau diberi peluang dan kepercayaan, kita percaya suhaizan mampu menyatukan golongan muda daripada pelbagai corak hidup menuju kearah satu matlamat iaitu meningkatkan martabatkan pas. Berbanding ketua pemuda yang terdahulu, suhaizan mudah didekati dan tidak bersikap terlalu eksklusif. Sifat mampu menyantuni golongan muda sama ada dari golongan agamawan mahupun golongan profesional adalah lebih menguntungkan pas berbanding dengan sifat memilih golongan ugamawan dan mengenepikan golongan yang dianggap bukan ugamawan. Rasanya suhaizan mampu memjulang pas ke arah kecemerlangan pada masa depan sama seperti mat sabu tetapi perjuangannya akan mendapat saingan hebat daripada golongan yang menggelar diri mereka ulamak dalam kalangan pas sendiri....
ReplyDelete