KUALA TERENGGANU
– Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik menjadi
pemimpin pertama yang menyatakan kesediaannya menerima pencalonan
bertanding jawatan Naib Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS Kali
ke-59, pada 22 hingga 24 November ini.
Beliau menerima ‘tawaran’ bertanding calon Naib Presiden setelah
membuat pertimbangan serta perbincangan dengan rakan-rakan dalam parti.
Menurutnya, ia adalah penting bagi beliau sama-sama berada dalam
kepimpinan tertinggi PAS yang merupakan sebuah gerakan Islam dan parti
politik yang relevan di tanah air.
“Saya ingin membuat sedikit pengumuman berkaitan dengan pencalonan
yang saya terima untuk Naib Presiden PAS dan juga Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat.
“Setelah membuat pertimbangan dan perbincangan dengan kawan-kawan,
saya memutuskan untuk menawarkan diri dalam pertandingan Naib Presiden
bagi (Sesi 2013/2015) kali ini.
“Ini penting, untuk sama-sama dapat berada di dalam parti yang pada
hari ini, PAS sebagai sebuah gerakan Islam dan sebagai sebuah parti
politik makin hari makin terserlah dan peranannya makin relevan dalam
masyarakat,” ujarnya.
Beliau mengumumkan hasratnya itu pada satu sidang media di pejabatnya
di Km14. Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu pada 5 November, lalu.
Menurutnya, peranan PAS dalam Pasca PRU13, adalah dalam keadaan membuat persediaan bagi memimpin masyarakat Islam di Malaysia.
Bahkan, kata Ustaz Abu Bakar, PAS lebih bersedia bagi memimpin rakyat Malaysia yang bermasyarakat majmuk hari ini.
“Peranan PAS dari segi politik adalah untuk menyediakan satu saf yang
mampu mentadbir pada suatu masa akan datang. Jika diberi kesempatan
memerintah, kita (PAS) mampu menguruskan pemerintahan dan mampu
mentadbir,” tegasnya.
Selain itu, kata beliau, PAS juga seharusnya berperanan untuk melakukan gerak kerja dakwah dan pendidikan yang lebih berkesan.
Kerana itu, menurutnya PAS mampu berada dalam masyarakat dengan menubuhkan seberapa banyak cawangan (PAS).
“Dengan keahlian yang ramai dan cawangan yang banyak PAS mampu
berperanan di peringkat yang paling bawah. Begitu juga tidak kurang
peranan PAS dari segi pembangunan sosio-ekonomi masyarakat.
“Dalam keadaan keseluruhan seperti ini, maka suatu gerakan bersifat
pembangunan pendidikan, dakwah dan tarbiah mestilah berlaku secara
menyeluruh untuk menyediakan sumber kekuatan parti dari segi manusia dan
sumber kekuatan parti dari segi perkhidmatan kepada masyarakat dan
sumber kekuatan parti untuk menghadapi lawan yang lebih mencabar,”
jelasnya.BO
No comments:
Post a Comment