Mohd Khalil Abdul Hadi, 36, berkata, walaupun beliau anak kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ia bukan faktor dan tidak mempengaruhi keputusannya bertanding Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia.
Anak sulung kepada Presiden Pas ini berkata, beliau menghormati setiap keputusan yang diputuskan perwakilan dan melihat ia sebagai tanggungjawab dan amanah besar untuk digalas walaupun terdapat mereka yang lebih layak.
“Saya dicalonkan untuk bertanding jawatan nombor dua dalam Pemuda Pas. Melihat kepada pencalonan ini, sebagai ahli parti saya lihat ia amat penting bagi menyaksikan kesinambungan legasi Pemuda Pas dan mendepani cabaran yang akan dihadapi pada masa akan datang.
“Saya tidak melihat pengaruh seseorang dalam parti menjadi pengukur kemenangan ketika bertanding. Saya telah terlibat dalam Pas sejak usia belasan tahun dan telah jadi ahli Pas sejak awal lagi. Sebab itu saya tegaskan memang saya tidak dipengaruhi bapa saya (Abdul Hadi) untuk bertanding,” katanya.
Mohd Khalil akan menentang Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob bagi mengisi kerusi timbalan ketua yang dikosongkan oleh Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Menurut Mohd Khalil, sebagai parti politik yang mengamalkan sistem dan prinsip demokrasi, Pas sejak dahulu memberi keutamaan kepada ahli parti untuk memilih pucuk pimpinan yang difikirkan sesuai dan berupaya memimpin parti.
“Kita sejak dulu serahkan pada perwakilan untuk memilih pucuk kepimpinan di semua peringkat. Bila dah berlaku pemilihan, akan adanya proses-proses lain seperti kempen dan sebagainya,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment