Keputusan penerimaan pencalonan
Terdahulunya, saya ucapkan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga
kepada semua kawasan yang telah mencalonkan saya dalam mesyuarat Agong
PAS kawasan masing-masing.
Pencalonan ini adalah satu
penghormatan tinggi kepada saya. Setelah surat pencalonan yang dihantar
oleh Jawatankuasa pemilihan, saya dapati ada tiga jawatan yang
dicalonkan, iaitu Timbalan Presiden,
Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pusat. Saya berasa amat bertuah atas
kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh kalian semua.
Di dalam perlembagaan PAS, hak pecalonan diberikan sepenuhnya ke PAS
kawasan, manakala yang dicalon pula diberikan hak untuk menerima atau
tidak menerima.
Keputusan seseorang calon untuk tidak menerima
pencalonan bukan bermakna calon tidak menghargai pencalonan kawasan;
manakala keputusan menerima pula tidak harus dilakukan sekadar untuk
alasan merai kehendak kawasan.
Pada pandangan saya, kepimpinan
adalah amanah besar yang perlu dipikul di dunia sampai ke akhirat.
Kerana itu, keputusan menerima atau tidak menerima perlu dilakukan
berdasarkan kemampuan seseorang untuk memikul amanah tersebut. PAS kini
berhadapan dengan cabaran besar masa depan dan muafakat dalam Pakatan
Rakyat yang perlu diperkukuhkan serta ukhuwah jamaah yang perlu
diperkasakan, antara faktor penting dalam penilaian kemampuan menerima
atau tidak sesuatu jawatan itu.
Walaupun saya amat menghargai
kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh PAS kawasan yang
mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Presiden, namun pada saya, jawatan
itu adalah sangat besar dan diluar kemampuan saya untuk memikulnya buat
masa kini, tambahan pula terdapat beberapa nama lain yang layak untuk
memikul amanah ini.
Tambahan pula buat masa ini, saya masih
diamanahkan sebagai Pesuruhjaya Negeri Pahang, yang memerlukan tumpuan
gerakerja dan masa yang banyak bagi menghadapi PRU ke 14 akan datang.
Setelah meneliti ketiga-tiga jawatan yang saya dicalonkan, antara Ahli
Jawatankuasa, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, maka saya dengan
rendah diri menawarkan diri untuk menerima pencalonan sebagai Naib
Presiden dalam Muktamar PAS ke 59 kali ini.
Penerimaan ini
adalah seimbang bagi merai kehendak kawasan yang mencalonkan saya
sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Timbalan Presiden.
Namun, saya menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih barisan
kepimpinan parti dalam menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa
depan.
Keputusan untuk bertanding Naib Presiden adalah
keputusan yang diambil diri saya sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-
mana pihak. Ia lebih kepada penilaian diri dengan kemampuan melaksanakan
tugas yang diamanahkan.
Sebagai seorang ahli PAS, saya tetap
istiqamah dalam memberi khidmat dan terus berusaha menguatkan jamaah dan
memenangkan parti Islam sekalipun tanpa sebarang jawatan.
Akhirnya saya ingin berpesan agar jangan sesekali kita termasuk dalam
perangkap yang dipasang oleh musuh bagi memecah-belah antara kita, dan
jangan pula kita membenarkan apa yang musuh tuduh kepada kita. Semua
pihak samada aktivis, ulamak atau profesional adalah tenaga penting bagi
memperkukuhkan perjuangan parti. Mari kita memperkukuhkan jamaah ini
dengan memelihara ukhuwah, thiqah pada pimpinan dan menghargai mereka
yang lama dalam perjuangan yang berliku ini, serta tasamuh dalam
perbezaan pandangan. Setiap orang perlu memainkan peranan sebagai faktor
penyatu parti. Menyatukan parti tidak harus diletakkan di atas bahu
mana-mana individu tertentu sahaja.
Kepada semua yang telah
memberikan sokongan, kepercayaan, bantuan, nasihat dan teguran kepada
saya, saya ucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Salam dari Doha
7 November 2013
Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)
Tahniah Dato' kerana telah menyatakan dengan terang tanpa berselindung untuk menerima pencalonan Naib Presiden PAS.
ReplyDelete