Pengguna
internet khasnya Twitter sedang kecoh memerli kerajaan kerana
menghalang akses ke artikel “kangkung” dalam laman berita antarabangsa,
BBC.
Kekecohan bermula apabila wartawan daripada BBC, Charlotte Pritchard
bertanya kepada rakyat Malaysia sama ada artikel itu boleh dibaca
ataupun tidak.
Pengguna internet merungut apabila menghadapi kesukaran membaca artikel
itu yang turut memerli kerajaan Malaysia ekoran kenyataan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang harga kangkung baru-baru ini.
Posting terakhir daripada Pritchard mengatakan bahawa BBC di London
tidak mempunyai sebarang masalah mengakses artikel tersebut.
Pengguna Twitter dengan gelaran @belon1986 berkata, "Kami boleh
mengakses semua berita di BBC Trending tapi bukan berita Kangkung.
Sangat memalukan!"
Satu lagi pengguna Twitter dengan gelaran @AshgailYu menyifatkan langkah ini sebagai sangat "menyedihkan".
Pengguna Twitter @steventsh pula memerli kerajaan Najib dengan
sindiran "ianya akan menyelesaikan segala masalah" merujuk kepada
langkah kerajaan untuk menghalang artikel itu.
Bagaimanapun, pengguna internet masih boleh membaca artikel itu melalui
laman Google Search dengan menekan "Cached" di simbol "tekan bawah"
bersebelahan URL artikel tersebut.
Rakyat kini sering merungut tentang kenaikan harga barang termasuk
tarif elektrik, minyak petrol dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)
yang bakal dikuatkuasakan April 2015.
Najib membuat kenyataan baru-baru ini berkenaan harga kangkung yang turun dan meminta rakyat agar memuji kerajaan.
Kenyataan beliau telah dimuat naik ke laman video Youtube dan mendapat
tontonan ramai rakyat yang juga turut memerli beliau di laman media
sosial.
Ekoran itu, laman berita antarabangsa BBC telah melaporkan tentang
kejadian tersebut dengan tajuk "Berhati-hati apabila bercakap tentang
kangkung" melalui BBC Trending.
Artikel itu bagaimanapun telah dihalang di internet Malaysia atas sebab yang masih belum diketahui.
No comments:
Post a Comment