Polis telah mengenalpasti dua individu yang didakwa membuat ancaman jenayah terhadap MP DAP Seputeh, Teresa Kok.
Mereka akan dipanggil tidak lama lagi untuk membantu siasatan, lapor theSunDaily hari ini.
Akhbar itu melaporkan di akaun Twitternya bahawa polis juga akan memanggil Teresa untuk disoal siasat esok.
Semalam, polis telah menyoalsiasat tiga pelakon yang berlakon dalam video Tahun Baru Cina yang disiarkan Teresa di YouTube.
Kandungan video tidak disenangi oleh menteri-menteri Umno, dan beberapa NGO Melayu yang membuat laporan polis terhadap Teresa.
PPIM nafi terlibat beri tawaran tampar Teresa Kok
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil menafikan mempunyai kaitan dengan tawaran untuk menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika perhimpunan menyembelih ayam minggu lalu.Menurut Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma'maor Osman badan itu sama sekali tidak bersetuju dan menolak tindakan ganas yang dilakukan oleh kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
Beliau juga menegaskan penglibatan aktivis PPIM, Mustaffa Hamzah yang membuat tawaran tampar itu juga dilakukan atas kapasiti sebagai seketariat perhimpunan tersebut namun bukannya mewakili PPIM.
"Saya menafikan sepenuhnya penglibatan PPIM untuk tawarkan sesiapa yang berjaya menampar Teresa Kok, kerana PPIM bukan persatuan yang berpendirian demikian," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Beliau turut mempertikaikan tindakan kumpulan NGO tersebut apabila menyifatkan perbuatan menyembelih dua ekor ayam dan tawaran menampar Kok tidak selari dengan dasar undang-undang.
"Benda ini tidak ada legal standing, kenapa nak bagi hadiah kepada orang yang buat kesalahan dari segi undang-undang.
"Bila-bila masa pun kita tak setuju sesiapa yang melanggar undang-undang diberi anugerah," katanya.
Tambahnya, PPIM juga tidak bersetuju dengan seruan penganjur perhimpunan menggesa mereka tidak fasih berbahasa Melayu diusir keluar dari Malaysia.
"PPIM berpendirian warganegara bukan berbangsa Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu dihantar ke kelas untuk mengukuhkan penguasaan bahasa mereka," katanya.
Biarpun tidak bersetuju dengan tawaran tampar Kok, PPIM tidak bersetuju dengan perbuatan pemimpin DAP itu dalam video Tahun Baru Cina bertajuk, "Onederful Malaysia CNY 2014".
Beliau berkata ahli Parlimen itu sepatutnya memikirkan kesan terlebih dahulu sebelum ingin melakukan apa-apa tindakan kerana jelas selain menjatuhkan maruah pemimpin tersebut ia juga tidak menguntungkan sesiapa termasuk rakyat.
Minggu lalu sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka Majlis Jemaah NGO Islam mengadakan protes di hadapan Menara Maybank di Kuala Lumpur sebagai bantahan ke atas video Kok.
Video tersebut dikritik oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin Barisan Nasional dengan hampir 300 laporan polis dibuat terhadap Kok kerana dikatakan menghina Melayu, Raja dan Islam.
Antara lain penunjuk perasaan itu turut menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Kok sebagai reaksi kemarahan terhadap pemimpin DAP itu.
Mereka juga turut mencalitkan darah ayam tersebut kepada sepanduk tertera gambar Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk Lee Khai Loon.
Biarpun Kok membuat laporan polis berhubung tindakan kumpulan tersebut, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan tawaran menampar pemimpin DAP itu bukanlah satu ancaman.MI
No comments:
Post a Comment