KUALA LUMPUR 14 FEB: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik
Ahmad kesal dengan sekatan terhadap kebebasan berekspresi di Malaysia,
yang kini melibatkan karya seni.
Beliau
merujuk laporan media bahawa dua karya seni yang merupakan sebahagian
daripada pertandingan seni perdana di Balai Seni Visual Negara di Kuala
Lumpur yang ditarik balik, kelmarin.
Satu daripadanya ialah catan oleh Cheng Yen Pheng yang mengandungi
perkataan “ABU=ASHES” manakala satu lagi baju-T yang dicetak dengan
huruf Arab ‘Fa’ dan ‘Qof’, oleh artis Izat Arif Saiful Bahri.
“Jika hasil karya ini menyinggung, kenapa mereka mempamerkannya sejak
Oktober tahun lalu? Seni adalah medium untuk menceritakan atau luahan
yang menggambarkan kebimbangan dan isu-isu lazim dalam masyarakat,” kata
Nazmi dalam kenyataan.
Katanya lagi, Balai Seni Visual Negara sepatutnya tidak menghalang
seseorang artis untuk melakukan komentar politik atau sosial, menerusi
karya seni mereka.
Justeru beliau meminta pihak berkenaan serta Kementerian Pelancongan
dan Kebudayaan menjelaskan kepada orang ramai alasan yang kukuh terhadap
pembuangan hasil karya mereka itu.
“Jika gagal menangani isu tersebut, hasil karya seni tidak akan
bertahan lama dan dihargai oleh orang ramai malah hasil karya seni di
Malaysia akan pudar,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=59299
No comments:
Post a Comment