KUALA LUMPUR 28 FEB: Pendirian Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)yang
mahu seluruh dunia mengiktiraf Malaysia sebagai warisan dan hak Melayu
adalah bersifat jumud dan berbaur perkauman, kata Adun Caves, Amiruddin
Shaari.
Katanya, tindakan itu tidak membantu aspirasi rakyat negara ini dalam memperkukuh persefahaman dan perpaduan di antara kaum.
“Pendirian ISMA ini juga menzahirkan pegangan assabiyyah (perkauman melampau) di dalam organisasi tersebut.
“Ia jelas bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam yang bersifat
syumul dan tidak membeza-bezakan di antara satu bangsa dengan bangsa
yang lain,” kata Amiruddin alam kenyataan kepada Keadilandaily.
Semalan, Naib Presiden II ISMA, Abdul Rahman Mt Dali menuntut agar
masyarakat antarabangsa mengiktiraf Malaysia sebagai warisan kaum Melayu
kerana etnik itu jelasnya wujud lebih lama di benua ini daripada
pelbagai kaum lain.
Sedangkan kata Amiruddin, jika dihimbau sirah Nabawi, Nabi Muhammad
SAW sepanjang menjadi pemimpin utama di Madinah tidak pernah
mengisytiharkan Madinah sebagai negara warisan Arab dan hak Arab
semata-mata.
“Baginda SAW mentadbir dan melayan setiap penduduk Madinah secara
adil dan saksama tanpa membeza-bezakan bangsa, suku mahupun kepercayaan.
“Justeru, ISMA sewajarnya bersikap realistik dan rasional dalam
menyatakan pandangan berkaitan isu-isu sebegini dan bukannya bertindak
semberono sehingga mengundang salah tanggapan terhadap ajaran Islam,”
tegas Amiruddin.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=59708
No comments:
Post a Comment