KAJANG 14 MAC: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) N25 Kajang masuk hari keempat hari ini digemparkan dengan penemuan
risalah fitnah terhadap calon KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN).
Perkara
itu didedahkan Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafie pada
sidang media di Bilik Gerakan Utama, Kajang, pagi tadi.
Menurut Shuhaimi, risalah fitnah tersebut antaranya bertajuk ’10
sebab pengundi Kajang perlu tolak Wan Azizah’, ‘Sate Town’ Kajang dan
‘Wadah PRU 13′ dijumpai oleh ejen pilihan raya KEADILAN.
“Risalah yang kita anggap sebagai propaganda kotor BN itu dijumpai oleh ejen kita semalam.
“Setakat ini risalah tersebut telah diedarkan di beberapa Daerah
Mengundi antaranya Saujana Impian, Sungai Chua, Sungai Sekamat dan
Sungai Kantan.
“Kita
akan buat laporan polis selepas solat Jumaat di Balai Polis Kajang
mengenai penyebaran fitnah ini,” jelas Shuhaimi yakin risalah tersebut
diedarkan oleh BN.
Selain itu, menurut laporan media, turut diedarkan risalah fitnah bertajuk ‘Selangor Hari Ini’ mengandungi 16 muka surat.
Difahamkan, semua risalah berkenaan tidak mempunyai nama penerbit dan pencetak.
Risalah fitnah ‘Selangor Hari Ini’ antara lain di muka hadapannya
memuatkan tulisan ‘ghairah jadi MB’ dan ‘Pakatan berpecah’, menampilkan
gambar Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Wan Azizah pula turut dibandingkan dengan calon BN, Chew Mei Fun menerusi risalah ‘Sate Town’, pada versi yang berbeza.
Risalah empat muka surat itu antara lain memburuk-burukkan strategi ‘Langkah Kajang’ Pakatan Rakyat.
Ekoran itu, Shuhaimi yang juga Adun Sri Muda menggesa Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan segera berikutan penyebaran fitnah
itu selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Seksyen 11 (1) (C).
Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Pengarah PRK Kajang,
Zuraida Kamaruddin; Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Khalid Jaafar
dan Adun Dusun Tua, Razali Hassan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=60154
No comments:
Post a Comment