KOTA BHARU: Flat Buluh Kubu tidak jauh dari Pasar
Besar Siti Khatijah satu-satunya kawasan di parlimen Kota Bharu yang
tidak pernah kelihatan bendera PAS setiap kali kempen pilihan raya.
Rumah
flat tersebut dibina kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir
Kelantan. Sejak 1990 sehingga sekarang, Umno mendominasi kawasan
berkenaan. Namun malam tadi situasi itu tiba-tiba bertukar.
Seramai
62 ahli dan penyokong Umno yang menjadi penggerak jentera Umno di situ
mulai menilai semula perjuangan lama. Diketuai bekas Setiausaha Cawangan
Buluh Kubu, Mohd Nor Hashim Che Naim, 48 mereka menyerah borang
menyertai PAS.
Borang tersebut diserah kepada Naib Presiden PAS,
Datuk Husam Musa pada ceramah yang diadakan di perkarangan flat
tersebut. Ramai penduduk tempatan hadir.
Malam tadi mencatat
sejarah baru apabila PAS berjaya mengadakan program ceramah di situ.
Terdapat lebih 200 keluarga yang mendiami beberapa blok flat terbabit.
Turut hadir meraikan penghuni anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr
Muhammad Fadzli Hassan, Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul
Rahim Wan Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kota Bharu, Dr Rosli Alani Abdul
Kadir dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan, Lim Guan Seng.
Nor
Hashim berkata, ramai lagi penghuni Flat Buluh Kubu tidak sempat
mengisi borang menyertai PAS untuk diserah pada ceramah tersebut.
“Selepas ramai tahu saya mahu meninggalkan Umno dan menyertai PAS mereka datang menemui saya bagi mengikut jejak langkah saya.
“Saya
tidak pernah menjanjikan mereka apa-apa tetapi kerana datang dengan
kesedaran sendiri. Mereka tahu hanya sekadar menjadi alat setiap lagi
kempen pilihan raya diadakan.
“Pemimpin peringkat bahagian hanya
datang ketika musim kempen sahaja. Tetapi pemimpin PAS lain, biar pun
mereka tahu di sini kubu Umno namun mereka tetap datang. Saya sudah lama
perhatikan perkara itu,” katanya ketika ditemui .
Beliau dilantik sebagai Setiausaha Umno Cawangan Buluh Kubu sejak empat penggal lalu. Beliau berada dalam Umno selama 25 tahun.
Menurutnya
juga biar pun lama berada dalam Umno namun tidak pernah meminta diberi
sebarang jawatan atau projek di bawah kerajaan pusat.
“Saya
hanya ikhlas untuk membantu Umno. Kalau ada penduduk hendak dapatkan
tandatangan pemimpin peringkat bahagian, saya pergi cari mereka untuk
pastikan hasrat penduduk tercapai.
“Namun sekarang saya sudah
menilai apa yang saya lakukan selama ini. Tidak selamanya saya
membiarkan diri saya menjadi alat pemimpin. Saya memikirkan semula
perjuangan lama, lebih-lebih lagi memikirkan soal agama,” ujarnya.
Katanya beliau bukan orang berada, hanya mencari rezeki dengan berniaga di pasar bagi mencari rezeki yang halal.
Pada
majlis itu juga beberapa penghuni Flat Buluh Kubu yang uzur menerima
kerusi roda dan tongkat disampaikan Pusat Khidmat Dun Kota Lama.
No comments:
Post a Comment