Friday, March 12, 2010

GST : Orang miskin akan terima beban

PUCHONG , 12 Mac : Golongan miskin paling menerima beban dan berkemungkinan menghadapi masalah kewangan serius sekiranya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diuar-uarkan diperkenalkan Kerajaan Pusat.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian berkata, dalam sesi Parlimen yang bakal berlangsung pihaknya percaya isu hangat itu akan dibahaskan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) supaya ia tidak dilaksanakan.

Katanya, sekiranya kerajaan melaksanakan empat peratus cukai itu pada Jun tahun depan, semua golongan pasti tidak dikecualikan dan perlu membayar cukai.

“Golongan miskin pasti akan menghadapi masalah kewangan yang serius kerana bentuk diguna pakai dalam GST dilihat tidak adil.

“Cukai ini sepatutnya tidak perlu kerana pendapatan rakyat kita masih rendah jika dibandingkan negara lain yang sudah melaksanakannya sebelum ini,”katanya.

Loy Sian berkata, Kerajaan perlu memikirkan cara membantu orang miskin bukannya bagaimana membebankan mereka.

“Pelaksanaannya mungkin memberi implikasi teruk kepada rakyat Malaysia terutama kepada mereka yang tidak perlu membayar cukai sebelum ini.

“Golongan berpendapatan rendah yang tidak dikenakan cukai terpaksa pula berbuat demikian pada masa akan datang,”katanya lagi pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Putra Perdana dekat sini.

Beliau berkata, sekiranya pelaksanaan cukai dilaksanakan hanya RM1.5bilion dapat diraih berbanding kesukaran diterima rakyat.SH

No comments:

Post a Comment