Friday, March 12, 2010

Usaha menekan pemimpin PR

PETALING JAYA ,12 Mac : Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud usaha terancang pihak tertentu untuk menekan pemimpin-pemimpinnya. Anwar sendiri berhadapan siasatan polis atas pelbagai tuduhan, termasuk isu berkaitan anti Islam dan Melayu.

“Kita sedang menghadapi banyak sangat gangguan dan tekanan polis. Jangan halang dan ugut, saya rasa keterlaluan. Mengapa tidak boleh bercakap pasal isu enjin jet hilang, kapal selam scorpene. Ini isu politik dan harus ditangani secara politik.

“Saya bantah sekeras-kerasnya tindakan mereka untuk ganggu proses demokrasi. Polis kena kekalkan profesionalisme mereka, jangan habiskan banyak masa dengan menyoal siasat pemimpin PR. Tumpukan kepada meningkatkan tahap keselamatan tangani jenayah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Merchant Square di sini, semalam.

Kelmarin polis mengambil keterangan Anwar berhubung empat laporan yang masing-masing dibuat polis sendiri dan seorang individu.

Empat pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dan seorang Inspektor, semalam mengambil keterangan Anwar sambil pemberita serta jurukamera dibenarkan menyaksikan proses itu di luar bilik kaca di aras tiga pejabat.

Tiga pegawai polis yang merakam kenyataannya itu daripada tiga balai di Pulau Pinang, manakala dua lagi daripada Unit Cawangan Khas Bukit: Aman.

Anwar yang juga Penasihat PKR, ditemani peguam Yusmadi Yusof dan Sivarasa Rasiah, masing-masing Ahli Parlimen Balik Pulau dan Subang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tsin.

Setiausaha Agung parti, Saifuddin Nasution hadir di sidang media selepas polis selesai mengambil keterangan.

Anwar, ketika ditanya pemberita mengenai lokasi laporan polis yang dibuat di beberapa tempat di Pulau Pinang berkata: “Secara kebetulan, saya tidak tahu kalau ada usaha terancang, tetapi pihak-pihak ini sengaja meniup api perkauman untuk mengaitkan pemimpin-pemimpin PR sebagai anti Islam dan Melayu,” katanya.

Katanya, 15 Ahli Parlimen dan ADUN PR telah disiasat polis atas isu terbabit dan isu-isu lain.

Anwar menyifatkan kerjasama polis sebagai mesra dan baik semasa siasatan tersebut.SH

No comments:

Post a Comment