Wednesday, May 5, 2010

BN sudah tiada isu di Kedah


ALOR SETAR, 5 Mei :
Kain rentang yang dipasang di beberapa jalan sekitar bandar raya ini membuktikan pembangkang BN sudah ketandusan idea dengan menggunakan isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan untuk menghasut rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS 1, Negeri Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, jika sebelum ini pembangkang cuba mempengaruhi rakyat dengan mengadakan kenyataan menerusi televisyen dan surat khabar serta demonstrasi tidak berjaya, kini mereka cuba mengubah cara lain.

Menurutnya, rakyat kini sudah matang dan bijak menilai sesuatu perkara tidak akan mudah terpedaya dengan setiap tindakan yang mereka lakukan.

“Saya rasa ini adalah siri terakhir pembangkang untuk hasut rakyat kerana sebelum ini tindakan yang mereka lakukan tidak dilayan.

“Jadi, saya rasa tidak perlulah kita melayan sikap mereka kali ini yang cuba mempengaruhi rakyat dengan memasang kain rentang di beberapa kawasan,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai kain rentang yang dipasang mengecam ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa berhubung soalan yang dikemukakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), 26 April lalu.

Phahrolrazi berkata, rakyat yang sudah bijak menilai mengenai perkara yang dibangkitkan ini juga seharusnya tidak perlu melayan dengan setiap tindakan pembangkang yang cuba membesarkan isu tersebut.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan berkata, kain rentang yang dipasang pembangkang adalah kain rentang haram dan mereka boleh dikenakan tindakan.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh membuang kain rentang itu kerana pemasangan tanpa kebenaran.

“Jika kita ambil tindakan terhadap mereka yang memasang iklan haram maka mereka yang memasang kain rentang menghasut ini juga boleh dikenakan tindakan.

“Bukan sahaja PBT yang boleh membuang kain rentang yang dipasang malahan individu yang memasang kain rentang itu juga perlu membersihkannya,” katanya

Cubaan mengganggu kekuatan Pakatan Rakyat

Dalam perkembangan sama, DAP menganggap kain rentang yang dipasang dengan menuduh parti itu bersekongkol dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah cubaan pembangkang untuk menghasut rakyat.

Setiausaha DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, pihak yang melakukan perbuatan itu dianggap tidak bertanggungjawab kerana cuba mengganggu kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat (PR) negeri ini.

Menurutnya, parti pembangkang mungkin ketandusan idea untuk mempengaruhi rakyat dan menjadikan isu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 26 April lalu untuk menarik perhatian rakyat.

“Saya yakin apa yang mereka lakukan dengan menggunakan kain rentang yang dipasang di beberapa jalan hanya mahu mengganggu PR dengan memperbesarkan isu itu.

“Orang yang melakukan kerja tidak bertanggungjawab ini tidak boleh dilayan sikap mereka kerana tindakan mereka hanya untuk membodohkan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Guan Aik berkata, mereka yang cuba membodohkan rakyat dengan memasang kain rentang ini juga hanya mahu mencari publisiti murahan.

Beliau berkata, DAP tidak membangkitkan isu itu kerana tidak mahu isu dibesarkan kerana soalan pada persidangan DUN lalu adalah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS.

Menurutnya, soalan tersebut hanya mahukan penjelasan, bukan mempersoalkan kedudukan Sultan Kedah.SH

No comments:

Post a Comment