Wednesday, May 5, 2010
Kerajaan perlu luluskan gaji minimum RM900
BATU GAJAH , 5 Mei : Kini sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan dasar gaji minimum RM900 sebulan bagi semua sektor pekerjaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, V Sivakumar.
Sivakumar berkata, tindakan kerajaan menolak permintaan gaji minimum RM900 oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) amat mengecewakan kerana mereka seharusnya prihatin kepada golongan pekerja.
Menurutnya, pekerja adalah tulang belakang kepada kemajuan sesebuah negara.
“Gaji pokok yang terlalu rendah adalah antara faktor utama mereka menghadapi masalah seperti menanggung beban hutang.
“Malah ada juga penduduk yang berpendapatan rendah terpaksa melakukan dua kerja dalam sehari bagi menambah pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perayaan Hari Pekerja anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Syarikat-syarikat Pembuat Keluaran Getah Cawangan Perak di Dewan Serba guna Rumah Kebajikan Kanak-kanak Cacat Batu Gajah.
Sivakumar berkata, selain itu, ada pekerja terpaksa bekerja dalam tempoh masa panjang kerana mahu mendapat bayaran kerja lebih masa.
“Bukan itu saja, ada pekerja yang memperoleh gaji pokok pada kadar statik untuk tempoh agak lama, namun terpaksa berdiam diri kerana di sesetengah tempat kerja, tiada kesatuan yang dapat bersuara bagi pihak mereka,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment