SHAH ALAM , 3 Jun : Sebagai tanda menentang kezaliman yang dilakukan oleh Israel terhadap kekejaman Zionis, lebih 5,000 umat Islam membanjiri Stadium Malawati, di sini untuk Solat Hajat Perdana Sokongan kepada Konvoi Gaza, malam tadi.
Program anjuran Kerajaan Negeri Selangor itu bertujuan memberikan kesedaran kepada rakyat di seluruh negara mengenai kekejaman Zionis terhadap masyarakat Islam.
Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, program itu juga menunjukkan tentangan masyarakat Islam terhadap pembunuhan, keganasan dan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap masyarakat Islam sepertimana yang berlaku pada hari Isnin lalu melibatkan rakyat Malaysia di Laut Mediteranean.
Menurutnya, tindakan Zionis terhadap Islam seperti pejuang-pejuang, aktivis-aktivis dari 37 negara dalam misi bantuan Palestin dianggap kejam.
“Program pada malam ini (semalam) penting untuk memaklumkan penentangan Islam terhadap kekejaman Zionis supaya sedar mengenai perikemanusiaan, tentangan terhadap kekejaman oleh Israel terhadap Islam Palestin,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media sempena Program Solat Hajat Perdana Sokongan kepada Konvoi Gaza, malam tadi.
Menurutnya, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Selangor menunjukkan kesedaran yang tinggi generasi muda untuk bersama-sama menentang kezaliman yang dilakukan oleh Zionis.
“Secara tidak langsung, kehadiran mereka pada program ini dapat membantu mereka sedar terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Islam melalui pidato yang disampaikan,” katanya.
Dalam program itu seramai 14 pemidato telah terlibat antaranya dari Muslim Care, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.SH
No comments:
Post a Comment