Thursday, June 3, 2010

Petani Parit Buntar berdemo di sawah


PARIT BUNTAR, 3 Jun :
Pesawah kecil di Kampung Parit Abas, di sini, memohon Kerajaan Negeri supaya membuat penetapan harga sebanyak RM1,200 untuk satu tan metrik padi berbanding musim lalu hanya RM1,000 ke RM1,150.

Pesawah, Mohd Khairi Shahidan berkata, jika ia tidak dikawal, mereka khuatir harga akan terus menjunam dan memberi kesan buruk terhadap pesawah.

“Harga jatuh kerana tindakan kerajaan membenarkan eksport beras dari negara luar seperti Vietnam dan Thailand dengan harga lebih murah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui bersama kira-kira 30 petani mengadakan demonstrasi secara aman berhampiran sawah mereka di sini, semalam.

Seorang lagi pesawah, Azhari Abdullah berkata, kerajaan tidak sepatutnya membawa masuk beras dari luar dalam kuantiti yang banyak kerana akan menjejaskan mata pencarian dan ekonomi petani kecil seperti mereka.

“Bayangkanlah satu tan padi hanya dibayar RM1,000, berapa yang akan diperoleh petani seperti kami yang mengusahakan tanaman ini secara kecil-kecilan?

“Tidakkah kerajaan terfikir berapa pula kos untuk penyelenggaraan dan upah pelbagai situasi sebelum padi boleh dijual kepada pengilang,” katanya.

Bagi Abu Hassan Abdullah pula, harga yang berbeza-beza bagi setiap negeri juga menimbulkan persoalan sedangkan jumlah pengeluaran dan kualiti tidak jauh beza.

Katanya, pihak bertanggungjawab perlu memberi penjelasan selain mencari jalan penyelesaian terbaik membela nasib petani di negeri ini.

“Apakah sebabnya harga ini berbeza-beza dan mengapa hal ini berlaku sedangkan kami juga petani seperti yang lain?

“Harga padi pada musim sebelum ini agak tinggi sekitar RM122 hingga RM127 bagi 100 kilogram, tetapi apa yang berlaku kini harga menjunam sehingga RM106 bagi 100 kilogram padi,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Zahlan Mazuki berkata, dia mahu petani di negeri ini diberi kebenaran menjual padi di luar negeri Perak bagi mendapatkan harga yang lebih kompetitif.

“Jika keadaan terus begini, pengusaha padi di negeri ini akan terus mengalami kerugian dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan juga akan merosot,” katanya. SH

Sementara itu, Pengerusi Lujnah Petani PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa berkata kerajaan sepatutnya mengambil perhatian terhadap tuntutan petani ini.

" Bernas sepatutnya menghadkan impot beras secara besar-besaran kerana menyebab harga padi tempatan rendah.

" Sepatutnya apabila beras dalam negara tidak cukup, harga padi akan naik. Tapi apa yang berlaku harga padi tempatan tidak naik" katanya

No comments:

Post a Comment