Sunday, August 15, 2010

Pengumuman Guan Eng sesuai dengan konsep negara kebajikan

















KUALA LUMPUR, 16 Ogos:
Pengumuman DAP mengenai ganjaran kepada rakyat sekiranya Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan Persekutuan yang baru pada pilihan raya umum akan datang adalah bertepatan dengan konsep negara berkebajikan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Dalam pilihan raya ke-12 yang lalu, PAS menawarkan sebuah pemerintahan menggunakan falsafah Negara Berkebajikan yang mengutamakan pembangunan untuk kebajikan rakyat awam.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan, jika PR membentuk kerajaan persekutuan yang baru pada pilihan raya umum akan datang, kerajaan baru itu akan membuat bayaran RM1,000 dalam bentuk tunai kepada semua warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

Di samping itu, kata Lim lagi, kerajaan PR juga akan menghapuskan amalan saman ekor yang menyenaraihitamkan pemilik kenderaan daripada memperbaharui cukai jalan mereka.

"Kami juga akan membekalkan wifi percuma di seluruh Malaysia,” kata Lim yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sambil mengalu-alukan pengumuman itu, Mahfuz berkata, falsafah Negara Berkebajikan yang dikemukakan oleh PAS sangat wajar dipeluaskan.

"Bagi pihak PAS, di negeri-negeri di mana PAS menerajui pemerintahan, kita berusaha melaksanakan falsafah negara berkebajikan ini melalui Skim Takaful Kafalah," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Di Kelantan, katanya, kerajaan negeri membelanjakan antara RM3 hingga RM4 juta setahun bagi membayar premium insurans takaful untuk rakyat yang mencapai umur 60 tahun ke atas menerusi Skim Takaful Kifalah.

Skim Takaful Kifalah (warga emas) adalah suatu peruntukan khusus membabitkan semua warga emas rakyat Kelantan yang berumur 60 tahun ke atas tanpa mengira jantina, keturunan, bangsa dan agama.

Menurut Mahfuz, rakyat yang berumur 60 tahun ke atas hanya diminta mengisi borang insurans takaful tersebut, kemudian kerajaan negeri yang membayarnya.

Di Kedah pula, katanya, kerajaan negeri dibawah pimpinan PAS telah memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta bagi membiayai skim Kafalah bagi tahun 2010 mulai awal tahun ini.

Tujuannya ialah membantu golongan berpendapatan rendah membiayai kos pengurusan jenazah, kata Mahfuz.

Melalui Skim Falah di Kedah, katanya, waris akan menerima RM500, namun begitu pendapatan isi rumah haruslah kurang daripada RM720 bagi melayakkan mereka tersenarai dalam kategori ini.

Menurut Mahfuz, sesuai dengan falsafah Negara Berkebajikan, skim itu tidak mengambil kira ideologi politik mana-mana pihak keranaia adalah usaha kerajaan negeri membantu golongan yang tidak berkemampuan.

No comments:

Post a Comment