SHAH ALAM, 15 Ogos : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat harus diberikan penjelasan mengenai komitmen kerajaan Pakatan Rakyat mewujudkan urus tadir kerajaan yang baik dalam usaha memegang tampuk pentadbiran pusat di Putrajaya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya peserta Seminar Ekonomi Perspektif Muda di sini semalam berhubung dasar dan langkah yang diambil Pakatan Rakyat bagi mengelakkan amalan seperti rasuah dan ketirisan sepertimana yang dilakukan kerajaan Umno-Barisan Nasional pada masa ini.
"Keyakinan kita adalah kerana komitmen kita yang cukup jelas dan ia harus bermula dengan pimpinan. Kita tahu ketirisan RM21 bilion, ketirisan daripada rasuah, daripada kos yang meningkat dan amalan boros. Contoh rasuah PKFZ, Bakun. Ketirisan bina stadium, runtuh. Semua ini kerana tidak ada pertanggungjawaban. Ini berkaitan isu 'good governance'.
"Bila kita bicara soal 'good governance', rakyat tidak faham, mereka cuma kira harga barang dan pendapatan. Jadi kita harus beri penjelasan bahawa 'good governance' itu dapat menyelamatkan puluhan bilion ringgit setahun," kata Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor di hadapan kira-kira 200 peserta seminar terbabit.
Menurutnya, ekonomi bersandarkan pasaran harus dipertahankan sekiranya ekonomi Malaysia mahu berkembang dan mempunyai daya saing.
Ini kerana ekonomi pasaran mampu mengundang pelaburan hasil daripada insentif pelaburan dan ketelusan dalam pentadbiran.
"Ketelusan ini bermakna penafian tender secara terus dan perundingan cara berpakat dengan syarikat kroni harus dihentikan," kata beliau merujuk kepada pemberian subsidi besar syarikat IPP yang seharusnya dapat menampung subsidi bagi keperluan rakyat.
Anwar turut menjelaskan mengenai sistem perundangan syariah di negara ini, peningkatan mutu sistem pendidikan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tanpa meminggirkan bahasa ibunda yang lain.
Anwar pada masa yang sama turut ditanya peserta mengenai sistem pengangkutan awam, perlaksanaan sistem e-perolehan bagi mempercepatkan proses perniagaan, dan insentif kerajaan negeri mewujudkan 'career fare' bagi menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan menganggur.
"Saya akan cadangkan supaya kepada Menteri Besar kendali dan mengarahkan beberapa tindakan segera mengadakan sebagai satu 'fare', tetapi dalam 'fare' itu dijelaskan tentang soal e-perolehan, soal modal, soal peniaga dan mikro kredit yang telah tertangguh pelaksanaannya," jelasnya.
Mengenai sistem pengangkutan awam, Anwar berkata sistem pengangkutan sedia ada harus diperbaiki setanding dengan negara maju yang lain.
Mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu turut ditanya berhubung persediaan Pakatan Rakyat bagi menyediakan pelapis berkualiti yang mampu menerajui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Menurut Anwar, urus tadbir dan pengurusan GLC harus memiliki kebertanggungjawaban yang tinggi bagi mengelakkan berlaku kerugian dan peningkatan kos yang akhirnya menyebabkan berlakunya kerugian seperti yang dialami Felda dan Sime Darby.
Beliau turut menjawab soalan peserta seminar mengenai masalah yang dihadapi mahasiswa berhubung pinjaman perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Akta Universiti dan Kolej (Auku) serta tuntutan agar universiti di negeri pentadbiran Pakatan Rakyat memberikan kuasa autonomi kepada mahasiswa.
"PTPTN ini, pelajar yang betul-betul miskin harus kita bantu. Tidak munasabah bayaran pinjaman dengan faedah, bayaran itu haruslah semasa graduan itu mampu membayarnya. Sekarang ini sistem ini tidak meringankan, orang pinjam kerana tidak ada pilihan.
"Soal Auku, apa yang saya lakukan semasa menjadi Menteri Pendidikan di peringkat akhir ialah memperkenalkan akta pendidikan baru yang dengan sendirinya membatalkan Auku, dan deraf itu tidak dapat kita bentangkan. Saya fikir pendekatan itu sangat baik kerana Auku ini ketinggalan zaman yang mempamerkan satu sistem yang merendahkan martabat mahasiswa," kata Anwar lagi.
No comments:
Post a Comment