Tuesday, August 10, 2010

Saman Felda tindakan tepat

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Datuk Kamarul Baharin Abbas melihat tindakan yang diambil oleh peneroka Felda Serting Hilir dan Felda Gugusan Raja Alias dengan mengemukan saman terhadap Felda adalah satu langkah yang tepat dan sewajarnnya.

“Sudah hampir 15 tahun Felda menekan dan juga menipu peneroka terbabit dengan mengambil titik peluh peneroka dalam Kadar Perahan Gred (KPG) yang kita tahu terdapat perbezaan antara 6% bagi setiap tan,” ujarnya selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya Felda hanya membuat kiraan antara 16 sehingga 19 peratus sahaja, sedangkan ujian yang dilakukan oleh peneroka di Makmal Sime Darby Research Sdn Bhd dan juga Felda Analytical Laboratory menunjukkan KPG boleh mencapai 25.54%.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Telok Kemang berkata, Felda mengaut keuntungan tanpa keihklasan dari peneroka bagi memenuhi kantung mereka, setelah itu mereka membazikan sumber tersebut tanpa melihat kepada faedah yang diperolehi oleh setiap peneroka.

“Kita tahu pentadbiran yang pincang berlaku di dalam Felda. Kegagalan Felda untuk memperbetulkan urus tadbirnya boleh menyebabkan ia menyimpang dari matlamat asal.

“Usaha yang sepatutnya diambil oleh Felda adalah kembali kepada prinsip asalnya. Apa yang boleh diandaikan jika berlaku kekusutan di dalam akaun Felda, maka peneroka yang menjadi mangsa,” ujarnya lagi.

Tambahnya, merujuk kepada tindakan yang diambil oleh peneroka di Seremban pada 9 Ogos dulu menggambarkan peneroka sekarang telah muak dengan sikap Felda yang mempergunakan mereka.

Katanya, jika selama ini mereka tidak mendapat pembelaan dari mana-mana individu, persatuan ataupun peguam tetapi sokongan dari Pakatan Rakyat jelas menampakkan sinar baru kepada peneroka.

“Prinsip yang kita bawa adalah keadilan untuk semua rakyat maka pembelaan yang dilakukan ini adalah satu usaha kita agar peneroka di negara ini mendapat hak mereka yang sebenarnya,” katanya lagi.

Baginya, tuntutan saman RM200 juta bukanlah satu jumlah yang sepatutnya dituntut oleh peneroka, jumlah yang sebenar adalah lebih tinggi lagi kerana nilai keringat setiap peneroka dalam membangunkan sektor hartanah itu jauh nilainya.

“Kita lihat dari hutan belukar menjadi sebuah perkampungan yang memiliki segala-galanya, justeru tanpa sumbangan dari peneroka bagi saya kesemua itu tidak akan tercapai,” katanya.
Beliau berkata, tentu wujud ugutan dari pihak-pihak tertentu terhadap tindakan itu.

“Pesanan saya kepada setiap peneroka jangan gusar dengan segala dugaan tersebut kerana kita berada di tempat yang benar.

“Jangan sesekali kita tunduk dengan desakkan pihak berkenaan, apatah lagi yang dilakukan oleh Umno-BN yang selama ini hanya mempergunakan peneroka untuk kepentingan politik mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, usaha yang dilakukan hari ini adalah satu tindakan yang terbaik untuk seluruh peneroka dan beliau yakin dengan semangat yang ada dari peneroka serta barisan peguam kejayaan yang akan diperolehi.

Katanya, dengan cara ini sahajalah Felda, Umno BN sedar bahawa mereka tidak lagi boleh menekan dan mempergunakan keringat peneroka untuk kepentingan tertentu dan politik mereka.

No comments:

Post a Comment