Thursday, November 11, 2010

Kalau Nizar HARAM, kalau Zambry HALAL



















IPOH, 11 NOV. :
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengesahkan masih belum menerima surat rasmi daripada Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria Mufti Kerajaan Negeri Perak berkaitan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar,

Manong baru-baru ini walaupun Berita Harian telah mengeluarkan kenyataan Tan Sri Harussani pada hari ini.

Berikutan laporan media tersebut, pihak DPPN Pk akan menghantar surat rasmi memohon penjelasan Tan Sri Harussani yang telah berjanji untuk memberikan jawapan setelah berjumpa dengan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pertamanya, DPPN Pk amat menyokong tindakan Tan Sri Harussani yang telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Zambry untuk mendapatkan penjelasan terus dari beliau.

Tindakan ini amat tepat bagi mendapatkan kenyataan yang lebih bersifat adil berdasarkan keadaan yang sebenar.

Namun DPPN Pk melihat Tan Sri Harussani seharusnya mendapatkan penjelasan seumpama ini bukan hanya dari pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi juga melibatkan pihak Pakatan Rakyat (PR) dan lain-lain yang mana perkara ini tidak berlaku sebelum ini.

Yang keduanya, tanpa membahaskan status syirik atau tidaknya Datuk Seri Zambry secara peribadi, syariat Islam secara jelas tidak sesekali membenarkan majlis tersebut untuk diamalkan dalam masyarakat Islam sebagaimana yang ditegaskan sendiri oleh Tan Sri Harussani yang disiarkan di dalam Sinar Harian pada Ahad lepas.

Perkara ini amat penting kerana Datuk Seri Zambry, sebagai seorang Ketua Kerajaan Negeri dan juga seorang EXCO Agama Islam, tidak sepatutnya membenarkan sama sekali amalan tersebut yang jelas boleh merosakkan aqidah umat Islam.

Cumanya, DPPN Pk juga hairan bagaimana aktiviti program tersebut berada di luar pengetahuan Datuk Seri Zambry kerana setiap program-program yang akan dihadiri oleh mana-mana pimpinan kerajaan negeri sudah tentu pegawai-pegawainya mendapatkan maklum balas setiap aturcara yang akan diadakan.

Walaupun Datuk Seri Zambry menafikan penglibatannya pada majlis tersebut, ada gambar yang jelas menunjukkan Datuk Seri Zambry menepung tawar serta mengikat satu daun kepada tiang tersebut dengan kain berwarna merah.

Ini juga seolah-olah mencerminkan bahawa majlis khurafat seumpama ini masih subur malah cuba dihidupkan kembali di Negeri Perak ini.

DPPN Pk juga ingin menegaskan, dengan tanpa niat untuk mencari salah mana-mana pihak, bahawa gambar-gambar yang telah diberikan kepada kami jelas menunjukkan perbuatan tersebut adalah amalan khurafat serta syirik yang menjejaskan akidah sebagai seorang yang beragama Islam.

Setelah pihak DPPN Pk menerima satu lagi bahan bukti berbentuk rakaman video, DPPN Pk akan menyerahkan dalam masa terdekat ini kepada Tan Sri Harussani bagi menilai sendiri penjelasan Datuk Seri Zambry.

Perkara ini penting agar kekeliruan yang tercetus akibat majlis tersebut akan mendapat penjelasan yang tegas.

DPPN Pk secara tegas tidak mahu budaya khurafat tersebut bakal mengundang ikutan rakyat yang telah lama meninggalkan upacara tersebut kerana ajaran Islam jelas menolak perkara tersebut selama ini.

DPPN Pk secara insaf menyatakan bahawa tindakan ini sedikit pun tidak bertujuan untuk menjatuhkan kedudukan Datuk Seri Zambry tetapi lebih bermatlamat untuk menyelamatkan akidah umat Islam yang selama ini menjadi keliru kembali kerana perbuatan tersebut dilakukan oleh pemimpin nombor satu negeri yang memegang bidang kuasa agama Islam.

DPPN Pk sedar tindakan ini bakal mendatangkan kemarahan banyak pihak, tetapi apa yang penting adalah kebaikan yang akan diperolehi setelah kesamaran selama ini diperjelaskan dan diperbetulkan.


1 comment:

  1. mlayu islam lbih suka buat isu drpd ikut fakta. dlm isu zamri ini x spatutnya d perbsr2kan. jgn jdikan isu dan agama satu taraf. kita sbnarnya sgt2 jahil dlm bab hukum islam;apatah lg cuba nk menghukum org lain. ilmu usul fiqh dan ilmu2 mengeluarkan hukum amat2 susah utk dpelajari....jgn jdikan hukum islam satu permainan hgga blh menuduh seseoran itu syirik.malu pd bukan islam...PAS SELAMANYA

    ReplyDelete