Sunday, August 15, 2010

Belasah dulu baru saman



ALOR MENGKUDU, 16 Ogos :
Seorang remaja yang sedang mengisi minyak di sebuah stesen di Kuala Ketil mendakwa tiba-tiba didatangi empat lelaki lalu memukulnya menggunakan topi keledar sebelum mengeluarkan saman kesalahan lalu lintas yang dilakukan pada Rabu lalu.

Keadaan itu menyebabkan tangan kanan Mohd Asri Ismail, 18, patah.


Mohd Asri ketika menceritakan kejadian itu berkata, pada hari kejadian iaitu kira-kira jam 12.30 tengah malam, dia didatangi kumpulan lelaki tanpa memberitahu punca sebenar tindakan itu dilakukan.

Dakwanya, dia yang tidak sempat menanyakan punca tindakan itu dilakukan hanya mengelak daripada terkena pukulan di bahagian kepala.

“Saya langsung tidak sedar dari mana dan sejak bila saya diekori oleh kumpulan lelaki berkenaan yang tiba-tiba memukul saya dengan menyatakan motosikal yang saya tunggang tidak mempunyai kelengkapan dan saya lari daripada sekatan yang dilakukan.

“Selepas saya dipukul barulah tiga saman dikeluarkan atas sebab saya tidak memiliki lesen memandu, menunggang secara merbahaya dan tidak mempunyai cermin sisi,” katanya.

Dakwanya, pada malam kejadian itu, dia bukan sahaja dipukul malah topi keledar miliknya juga ditukar dengan topi keledar milik salah seorang lelaki daripada kumpulan itu.

Mohd Asri berkata, dia yang membantu ibunya dalam perniagaan membuat keropok kini, dia tidak mampu berbuat demikian kerana tidak boleh melakukan kerja berat.

Bapa Mohd Asri, Ismail Ali, 52, berkata, dia amat kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh kumpulan lelaki berkenaan yang menjalankan operasi pada malam itu sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan kepada anak bongsu daripada empat beradik itu.

Menurutnya, tidak salah sekiranya mereka mahu menyaman anaknya namun tidak sewajarnya kumpulan itu bertindak sehingga menimbulkan kecederaan.

“Tindakan yang mereka lakukan terhadap anak saya ini terlalu kejam sedangkan kalau saya pukul dia pun dianggap satu kesalahan.

“Jadi, saya berharap agar siasatan terhadap kes ini dijalankan segera kerana saya tidak mahu kejadian yang sama telah berlaku pada anak saya berulang kepada orang lain,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Mohd Asri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, laporan terhadap kes itu akan diteliti dan siasatan akan dijalankan.

Menurutnya, tindakan akan diambil terhadap anggota itu sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati anggota terbabit melakukan tindakan berkenaan.

“Sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati anggota itu bersalah, kita akan mengambil tindakan kerana kita tidak akan berkompromi dengan anggota yang bertindak sedemikian.

“Namun, kita memang mempunyai anggota polis sukarela dan kuasa yang diberikan kepada mereka sama seperti anggota polis lain,” katanya.SH

Pengumuman Guan Eng sesuai dengan konsep negara kebajikan

















KUALA LUMPUR, 16 Ogos:
Pengumuman DAP mengenai ganjaran kepada rakyat sekiranya Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan Persekutuan yang baru pada pilihan raya umum akan datang adalah bertepatan dengan konsep negara berkebajikan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Dalam pilihan raya ke-12 yang lalu, PAS menawarkan sebuah pemerintahan menggunakan falsafah Negara Berkebajikan yang mengutamakan pembangunan untuk kebajikan rakyat awam.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan, jika PR membentuk kerajaan persekutuan yang baru pada pilihan raya umum akan datang, kerajaan baru itu akan membuat bayaran RM1,000 dalam bentuk tunai kepada semua warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

Di samping itu, kata Lim lagi, kerajaan PR juga akan menghapuskan amalan saman ekor yang menyenaraihitamkan pemilik kenderaan daripada memperbaharui cukai jalan mereka.

"Kami juga akan membekalkan wifi percuma di seluruh Malaysia,” kata Lim yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sambil mengalu-alukan pengumuman itu, Mahfuz berkata, falsafah Negara Berkebajikan yang dikemukakan oleh PAS sangat wajar dipeluaskan.

"Bagi pihak PAS, di negeri-negeri di mana PAS menerajui pemerintahan, kita berusaha melaksanakan falsafah negara berkebajikan ini melalui Skim Takaful Kafalah," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Di Kelantan, katanya, kerajaan negeri membelanjakan antara RM3 hingga RM4 juta setahun bagi membayar premium insurans takaful untuk rakyat yang mencapai umur 60 tahun ke atas menerusi Skim Takaful Kifalah.

Skim Takaful Kifalah (warga emas) adalah suatu peruntukan khusus membabitkan semua warga emas rakyat Kelantan yang berumur 60 tahun ke atas tanpa mengira jantina, keturunan, bangsa dan agama.

Menurut Mahfuz, rakyat yang berumur 60 tahun ke atas hanya diminta mengisi borang insurans takaful tersebut, kemudian kerajaan negeri yang membayarnya.

Di Kedah pula, katanya, kerajaan negeri dibawah pimpinan PAS telah memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta bagi membiayai skim Kafalah bagi tahun 2010 mulai awal tahun ini.

Tujuannya ialah membantu golongan berpendapatan rendah membiayai kos pengurusan jenazah, kata Mahfuz.

Melalui Skim Falah di Kedah, katanya, waris akan menerima RM500, namun begitu pendapatan isi rumah haruslah kurang daripada RM720 bagi melayakkan mereka tersenarai dalam kategori ini.

Menurut Mahfuz, sesuai dengan falsafah Negara Berkebajikan, skim itu tidak mengambil kira ideologi politik mana-mana pihak keranaia adalah usaha kerajaan negeri membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Perjelas komitmen ke Putrajaya






























SHAH ALAM, 15 Ogos :
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat harus diberikan penjelasan mengenai komitmen kerajaan Pakatan Rakyat mewujudkan urus tadir kerajaan yang baik dalam usaha memegang tampuk pentadbiran pusat di Putrajaya.


Beliau berkata demikian ketika ditanya peserta Seminar Ekonomi Perspektif Muda di sini semalam berhubung dasar dan langkah yang diambil Pakatan Rakyat bagi mengelakkan amalan seperti rasuah dan ketirisan sepertimana yang dilakukan kerajaan Umno-Barisan Nasional pada masa ini.

"Keyakinan kita adalah kerana komitmen kita yang cukup jelas dan ia harus bermula dengan pimpinan. Kita tahu ketirisan RM21 bilion, ketirisan daripada rasuah, daripada kos yang meningkat dan amalan boros. Contoh rasuah PKFZ, Bakun. Ketirisan bina stadium, runtuh. Semua ini kerana tidak ada pertanggungjawaban. Ini berkaitan isu 'good governance'.

"Bila kita bicara soal 'good governance', rakyat tidak faham, mereka cuma kira harga barang dan pendapatan. Jadi kita harus beri penjelasan bahawa 'good governance' itu dapat menyelamatkan puluhan bilion ringgit setahun," kata Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor di hadapan kira-kira 200 peserta seminar terbabit.

Menurutnya, ekonomi bersandarkan pasaran harus dipertahankan sekiranya ekonomi Malaysia mahu berkembang dan mempunyai daya saing.

Ini kerana ekonomi pasaran mampu mengundang pelaburan hasil daripada insentif pelaburan dan ketelusan dalam pentadbiran.

"Ketelusan ini bermakna penafian tender secara terus dan perundingan cara berpakat dengan syarikat kroni harus dihentikan," kata beliau merujuk kepada pemberian subsidi besar syarikat IPP yang seharusnya dapat menampung subsidi bagi keperluan rakyat.

Anwar turut menjelaskan mengenai sistem perundangan syariah di negara ini, peningkatan mutu sistem pendidikan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tanpa meminggirkan bahasa ibunda yang lain.

Anwar pada masa yang sama turut ditanya peserta mengenai sistem pengangkutan awam, perlaksanaan sistem e-perolehan bagi mempercepatkan proses perniagaan, dan insentif kerajaan negeri mewujudkan 'career fare' bagi menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan menganggur.

"Saya akan cadangkan supaya kepada Menteri Besar kendali dan mengarahkan beberapa tindakan segera mengadakan sebagai satu 'fare', tetapi dalam 'fare' itu dijelaskan tentang soal e-perolehan, soal modal, soal peniaga dan mikro kredit yang telah tertangguh pelaksanaannya," jelasnya.

Mengenai sistem pengangkutan awam, Anwar berkata sistem pengangkutan sedia ada harus diperbaiki setanding dengan negara maju yang lain.

Mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu turut ditanya berhubung persediaan Pakatan Rakyat bagi menyediakan pelapis berkualiti yang mampu menerajui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Menurut Anwar, urus tadbir dan pengurusan GLC harus memiliki kebertanggungjawaban yang tinggi bagi mengelakkan berlaku kerugian dan peningkatan kos yang akhirnya menyebabkan berlakunya kerugian seperti yang dialami Felda dan Sime Darby.

Beliau turut menjawab soalan peserta seminar mengenai masalah yang dihadapi mahasiswa berhubung pinjaman perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Akta Universiti dan Kolej (Auku) serta tuntutan agar universiti di negeri pentadbiran Pakatan Rakyat memberikan kuasa autonomi kepada mahasiswa.

"PTPTN ini, pelajar yang betul-betul miskin harus kita bantu. Tidak munasabah bayaran pinjaman dengan faedah, bayaran itu haruslah semasa graduan itu mampu membayarnya. Sekarang ini sistem ini tidak meringankan, orang pinjam kerana tidak ada pilihan.

"Soal Auku, apa yang saya lakukan semasa menjadi Menteri Pendidikan di peringkat akhir ialah memperkenalkan akta pendidikan baru yang dengan sendirinya membatalkan Auku, dan deraf itu tidak dapat kita bentangkan. Saya fikir pendekatan itu sangat baik kerana Auku ini ketinggalan zaman yang mempamerkan satu sistem yang merendahkan martabat mahasiswa," kata Anwar lagi.

Felda terpaksa pinjam KWSP RM3 bilion






















PETALING JAYA, 15 Ogos : Mantan Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Dr Tan Kwee Kwong mendakwa kekuatan dan kedudukan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak sebagaimana digambarkan Umno-Barisan Nasional apabila agensi itu terpaksa meminjam RM3 bilion daripada kerajaan.

Malah Felda juga didakwa tidak lagi mampu membuat pembayaran kepada kontrak yang dilantik untuk mengurus tanah perladangannya sekali gus terjerumus dalam bebanan hutang kepada mereka.

Dr Tan berkata sekiranya benar Felda tidak mengalami masalah hutang yang banyak dan kesempitan kewangan mengapa ia tidak melunaskan pinjaman yang dibuat daripada kerajaan.

Menurut beliau, banyak aduan diterima mengenai kegagalan Felda untuk membuat bayaran kepada kontraktor yang menjalankan projek di tanah rancangan.

"Ada kes di mana sebuah syarikat kontraktor telah lama berurusan dan menjalankan projek bagi pihak Felda di seluruh Semenanjung. Yang peliknya, angka hutang Felda kepada syarikat tersebut telah mencecah RM3 juta, dan sudah 8 bulan syarikat itu tidak menerima bayaran.

Kalau Felda ada banyak wang, apa sebabnya tidak bayar kepada kontaktor itu?

"Ramai kontraktor dan subkontraktor yang buat kerja untuk Felda, terdapat aduan Felda berhutang sebanyak RM300 juta kepada kontraktor. Sudah 8 bulan berlalu tetapi 8 sen pun tak dibayar. Jika Felda ada banyak wang saya minta pihak Felda dan Najib sila jawab," kata Dr Tan pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana semalam.

Beliau menegaskan dakwaan ini bukan hanya cakap kosong dan bersandarkan kepada langkah Perdana Menteri melancarkan program yang dinamakan 'Felda Global Venture' untuk memacu agensi itu menjadi pemain dalam industri perladangan dunia.

"Peruntukan sebanyak RM3 bilion telah digunakan, termasuk wang yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan jaminan kerajaan. Sekiranya kewangan Felda kukuh dan ada banyak simpanan, mengapa mereka menggunaan wang KWSP ini?" soal beliau lagi.

Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan membuat pengakuan di dalam Dewan Rakyat bahawa rizab tunai Felda menjunam daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM 1.35 bilion pada 2009.

PAS terajui usaha ke Putrajaya
























BUKIT MERTAJAM, 15 Ogos:
PAS akan menerajui dan merealisasikan aspirasi serta cita-cita besar presiden dan parti untuk menjadikan langkah ke Putrajaya sebagai satu realiti dan bukannya dongengan semata-mata.

Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub semasa menyampaikan ucapan pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden anjuran Lanjah Penerangan PAS Pulau Pinang di Yayasan An-Nadhoh, Penanti, pagi tadi.

Beliau juga berkata, dalam era globalisasi kini PAS harus dilihat sebagai sebuah parti yang jelas sedang menuju ke arah perjuangan universal yang memperjuangkan keadilan untuk semua.

"Waktu ini adalah masa untuk kita membuktikan bahawa PAS semakin penting dan mampu untuk menjadi sebuah parti yang proaktif, progresif serta tidak berfikiran konvensional.

"Masyarakat juga sedang melihat dan bertanya apakah PAS serius dan mampu untuk merealisasikan cita-cita besar ini," katanya.

Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS bukan lagi sebuah parti kecil yang bersifat kedaerahan atau kenegerian.

Sebaliknya, semua ahli PAS harus mengubah persepsi masyarakat bagi melihat parti itu sebagai sebuah kuasa yang mampu untuk memberi pembelaan kepada rakyat dalam skop yang lebih luas dan positif.

Tambahnya lagi, PAS harus memandang ke belakang sebagai sempadan dan melihat perjuangan serta perit jerih pemimpin yang lalu bagi membina sebuah perjuangan yang sekarang ini telah berjaya melayari bahtera untuk menuju ke Putrajaya.

Sehubungan itu, katanya maka ahli PAS harus menjadikan gerakan Islam yang selama ini menjadi teras perjuangan digarap dan berhadapan dengan rakyat untuk membawa negara ini ke mercu jaya yang menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang disegani bersama dengan rakan-rakan seperti PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Strategi lapuk Bn


SHAH ALAM , 16 Ogos : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) menyalakan bara sentimen dalam kalangan orang Melayu sebagai strategi lapuk.

Naib Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, BN/UMNO heboh mahukan orang Melayu bersatu sebagai kaum majoriti tetapi isu salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan hanya ditutup sebelah mata.


“Persoalannya, bersatu untuk apa? Kita tidak rela kalau perpaduan bangsa hanya untuk membenarkan pimpinan elit UMNO menggunakan kuasa mereka dengan mengamalkan rasuah dan memperkaya diri sendiri.

“Seandainya orang Melayu termakan umpan dan bersatu menyokong kecurangan ini, maka musibah akan melanda bangsa dan negara kelak,” kata Azmin dipetik dalam laman blognya www.azminali.com.

Menurutnya, perpaduan perlu mempunyai asas dan tidak boleh digunakan untuk perkara yang mengongkong individu.

“Ini kerana ia bertentangan dengan jaminan Tuhan bahawa setiap manusia dilahirkan dengan maruah yang perlu dijamin.

“Kita bersyukur apabila orang Melayu kini cukup matang dan tidak mudah terperangkap dalam polemik diskaun 7 peratus Bumiputera untuk belian tanah dan rumah mewah.

“Masih terdapat pelbagai inisiatif dan subsidi untuk golongan kaya tetapi malang apabila subsidi rakyat dihakis sehingga ayam dan gula di dapur juga semakin mahal,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata, pererkara yang perlu dikaji ialah rumah mampu dimiliki rakyat pada harga yang munasabah terutama majoriti orang Melayu.

“Lihat sahaja kualiti rumah untuk rakyat miskin dengan dapur yang sempit, kamar tidur bersiling rendah, bilik mandi dipasang dengan jubin yang tidak berkualiti, tiada padang permainan dan jumlah rumah yang terlalu padat.

“Ini adalah realiti sebenar kesempitan dan himpitan hidup yang menimpa majoriti orang Melayu di setiap bandar ketika tanah dan kawasan strategik diberikan kepada tauke-tauke dan kroni mereka,” katanya.SH

Bajet Terengganu boros dan melampau

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/DSC00662.JPG

















KEMAMAN
, 16 Ogos : Bajet kerajaan negeri Terengganu yang melampaui RM2 bilion dianggap sebagai satu bajet 'boros' yang sudah menjadi agenda kerajaan Umno dan Barisan Naional (BN).

Bajet tersebut juga dilihat sebagai bajet persiapan kewangan Umno/BN Terengganu bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.


"Kita membacanya diadada akhbar dan kita melihat analisa serta komentar tentang bajet tamabahn itu, kkita melihat sebenarnya bajet tambahan itu lebih kepada bajet pilihanraya bagi mengukuhkan kedudukan mereka (Umno/BN),"kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf arRawa.


Menurutnya, perbelanjaan besar dalam keadaan akaun hasil negeri Terengganu yang defisit (kurangan) akan menguntungkan pihak tertentu sahaja dalam mengagih-agihkan kontrak.


(Gambar - Turut hadir dalam majlis Iftar Ramadhan adalah Bendhari PAS kemaman, Tuan Haji Johan dan bekas Exco kerajaan Terengganu, Ustaz Awang Dagang)


Oleh itu, beliau bependapat impak maksimum dan keberkesanan dari perbekalan tambahan sebanyak RM220 juta itu tidak akan berlaku.


Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khusus berkenaan Bajet besar kerajaan Terengganu, selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadhan yang dianjurkan oleh Pemuda PAS kemaman dan MTD Chukai, disini semalam 14 Ogos.


Dr. Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut hairan, bagaimana pemimpin Umno/BN terengganu mendakwa bahawa kemiskinan di negeri Terengganu telah berjaya dikurangkan.


Sedangkan dalam perbekalan tambahan yang dibentangkan dalam Sidang DUN terengganu baru ini dilaporkan bertujuan untuk membasmi kemiskinan.


Mengulas perkara yang sama, Penolong Setiausaha PAS terengganu, Haji Hanafiah Mat berkata bajet tersebut adalah untuk memberi kekayaan kepada para kroni bagi memastikan calon-calon pilihanraya akan datang terdiri dari kumpulan pro kepada Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said.


"Bajet ini merupakan satu perbelanjaan yang boros yang sudah menjadi agenda Umno dan BN dan saya yakin bajet ini memberikan keayaan kepada kroni-kroni (Dato' Seri) Ahmad Said,"ujar Hanafiah.


Menurutnya, bajet tersebut juga adalah manifestasi perbalahan antara dua kumpulan yang pro kepada MB dan yang pro kepada bekas MB, Dato' Seri Idris Jusoh.