Saturday, November 27, 2010

Ustaz, Ustazah penyokong PAS, mari baca rayuan ini

tokguru jubliemas







































KUALA TERENGGANU, 27 Nov. : "Dewan Ulama PAS Terengganu insyaAllah akan menganjurkan Ijtimak Ulama & Ulama Pelapis pada hari Selasa 7 Disember 2010 (1 Muharram 1432H) di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Ibai mulai 9 pagi hingga ke petang.

Program diisi dengan ucaptama, pembentangan kertaskerja dan dialog oleh pimpinan ulama peringkat pusat/negeri.

Saya mewakili Lajnah Ulama Pelapis DUPNT sangat-sangat mengharapkan agar ulama pelapis terutama di bawah 40 tahun dari kalangan lulusan agama luar dan dalam negeri untuk bersama-sama kami dalam Ijtimak ini, bahkan dalam perjuangan ini.

Saya teringat ketika Tuan Hj Muhamad bin Sabu merasmikan salah satu Mesyuarat Agung PAS Kemaman menyebut:

‘Kalau berjalan di pasar malam di Gombak, dicampak batu ke belakang, ia akan jatuh ke atas kepala ustaz.’ Ia kinayah dari ramainya para ustaz dan ulama sekitar Gombak barangkali.

Graduan saban tahun tamat pengajian dari pelbagai fakulti pengajian Islam pula bagaimana? Satu temuramah Tuan Hj Md Sabu juga pernah keluar dalam portal Malaysiakini tentang Ulama terutama Ulama Pelapis.

Walaupun ada beberapa perkara yang saya/kami ada pandangan berbeza, namun ia adalah cabaran buat para ‘agamawan’ agar ambil peduli dengan perjuangan dan jemaah ini.

Saya kemukakan ucapan di bawah sebagai ajakan kepada anta wahai yang bernama ustaz:

Alhamdulillah, Wassalatuwassalamu ala Rasulillah. Amma ba'd:
Allah berfirman:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi penolong-penolong agama Allah, sebagaimana Nabi Isa bin Maryam berkata kepada golongan Hawariyyin (pengikut setia Nabi Isa): “Siapakah yang mahu menolongku dalam menyampaikan agama Allah?” Golongan Hawariyyin berkata: “Kamilah penolong agama Allah. Lalu sebahagian dari Bani Israil beriman dan sebahagiannya kufur. Lalu Kami teguhkan orang-orang beriman melawan musuh mereka sehingga mereka mencapai kemenangan.” Al-Saff:14

Kita baru sahaja menyambut Eid al-Adha yang mengingatkan tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail, bukan sahaja taatkan perintah Allah secara mutlak walaupun begitu sukar untuk diterima logik akal, bahkan bersedia memberikan apa sahaja yang diminta oleh Allah.

Inilah iktibar pengorbanan yang mesti kita ambil. Pengorbanan dalam konteks dakwah semasa, terutama di bawah Parti Islam ini ialah pengorbanan masa, idea, tenaga dan wang ringgit saudara-saudara.

Saudara-saudara mempunyai ilmu agama yang baik, dan insyaAllah kefahaman tentang jemaah PAS ini juga bahawa PAS mesti menjadi wadah perjuangan yang didokong bersama bagi menegakkan Islam di tanahair ini.

Dalam keadaan latarbelakang pengajian yang mungkin berbeza, dipengaruhi oleh suasana dan disiplin ilmu yang dilalui, namun titik persefahaman yang perlu difokus, bukan perselisihan yang dicanang. Dan jangan lupa bahawa di Malaysia ini, PAS menjadi tunggak perjuangan Islam yang mesti disokong dan didokong.

Ikhwah sekalian,

Dari ayat al-Quran di atas, kita mengambil iktibar bagaimana Nabi Isa as mencari penyokong-penyokong dan pengikut dari kalangan Bani Israil bagi membantunya menyebarkan agama Allah.

Nabi Isa bukan setakat mencari penyokong dan pengikut, tetapi sebenarnya mencari orang yang boleh menjadi penggerak kepada dakwah, sama-sama membantu Nabi Isa untuk menyebarkan agama Allah.

Begitu juga Nabi Muhammad SAW, Baginda juga mendidik sahabat-sahabatnya bagi menggerakkan dakwah dan menyampaikan Islam.

Tigabelas tahun di Mekah sudah cukup bagi kita memahami bagaimana Nabi SAW mentarbiah dan mendidik sahabat-sahabat Baginda untuk menjadi pembantu agama Allah.

Kalau ada orang berkata: “Islam adalah agama benar dari Allah. Tidak ada agama yang diredhai oleh Allah kecuali Islam. Dan Allah boleh mempertahankan agamaNya tanpa berhajat kepada makhlukNya. Bukankah Allah itu Maha Perkasa dan Maha Gagah yang mampu menjaga agamaNya tanpa bantuan sesiapa?”

Kita menjawab: “Memang benar Allah itu Maha Perkasa dan Allah boleh saja menjaga agamaNya ini tanpa bantuan sesiapa, tetapi tujuan Allah meminta kita membantu Islam ini ialah untuk menguji setakat mana ketaatan kita kepada Allah, siapakah yang bersungguh mentaati Allah dan seterusnya siapakah yang layak untuk menerima balasan pahala dan syurga dari Allah. Dan manfaat darinya akan kembali kepada kita juga.”

Bukankah Allah telah berfirman:

Maksudnya: “Tuhan yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu siapakah yang lebih baik amalannya dan Dia Amat Berkuasa Lagi Amat Pengampun.” Al-Mulk: 2

Allah berfirman lagi:

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah dan rasulNya dan berjuang di jalan Allah dengan harta kamu dan diri kamu. Demikian itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui, (nescaya) Allah mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan tempat tinggal yang indah di dalam syurga Adn. Demikian itulah kejayaan yang besar. Dan pemberian lain yang amat kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang beriman.” Al-Saf: 13

Di dalam ayat ini, Allah menyifatkan mereka yang beriman dan menolong agama Allah sebagai peniaga yang mencari keuntungan. Bukankah orang yang berniaga inginkan keuntungan? Tidak pernah kita mendengar adanya orang berniaga yang mahukan kerugian kecuali orang yang bodoh.

Maka Allah telah menawarkan keuntungan kepada mereka yang bersedia membantu agama Allah, bukan sahaja keuntungan Akhirat dengan dimasukkan ke dalam syurga dan merasai nikmatnya yang menjadi idaman kepada semua orang beriman, bahkan keuntungan segera yang boleh dicapai di dunia dengan diberi pertolongan dan kemenangan.

Allah menyebut lagi:

Maksudnya: “Jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan menetapkan kaki (pendirian) kamu.”

Ayat ini menyebut ‘menolong Allah’ yang bermaksud menolong agama Allah kerana Allah sendiri tidak perlu ditolong. Jaminan dari Allah ialah Ia akan menolongmu-menolong ketika kamu kesempitan hidup, menolong kamu ketika kamu menghadapi masalah, menolong kamu ketika kamu memerlukan bantuan dan lain-lain pertolongan.

Bantuan dan pertolongan yang sangat diharapkan ialah di alam barzakh dan di Padang Mahsyar nanti ketika berhadapan dengan situasi gawat yang tak pernah kita hadapi. Dan apabila Allah yang menolong, maka cukuplah bagi kita.

Membantu agama Allah mempunyai bidang yang amat luas. Kita mempunyai ilmu, lalu dengan ilmu itu kita menolong agama Allah-menyampaikan syarahan, kuliah, mengajar, menulis dan menyumbang ilmu melalui Lajnah Ulama Pelapis ini.

Kalau kita tiada ilmu, kita mempunyai harta. Dengan harta itu, kita infaqkan dan belanjakan untuk agama Allah. Lihatlah kepada Saidina Umar dan Abu Bakar ketika Nabi saw meminta derma dari para sahabat untuk Perang Tabuk.

Saidina Umar membawa separuh hartanya dan ia merasakan bahawa hari inilah ia akan dapat mengatasi Abu Bakar. Lalu apabila Abu Bakar tiba membawa seluruh hartanya, ditanya oleh Nabi SAW: “Apakah yang engkau tinggalkan untuk kaum keluargamu?” Jawab Abu Bakar: “Aku tinggalkan Allah dan RasulNya.” Lalu kata Umar: “Tidaklah ada peluang untukku mengatasi Abu Bakar lagi selepas ini.”

Kita mungkin tidak sampai kepada peringkat Abu Bakar atau Umar, tetapi memadailah kita membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Allah berikan kepada kita itu untuk jalan Allah. Kalau kita tiada harta, kita mempunyai tulang empat kerat yang kita boleh gunakan untuk agama Allah.

Pendek kata, ruang untuk membantu agama Allah terlalu luas dan masing-masing boleh berperanan untuk membantu dan menegakkan agama Allah ini.

Orang mukmin menjadi penolong agama Allah, sementara orang kafir menjadi penolong kepada syaitan.

Kalau ada orang yang boleh berhempas-pulas menyuburkan agama dan ideologi sesat, yang hanya mendapat kemurkaan Allah, kenapa kita tidak berusaha membantu agama Allah yang jelas mendapat pahala dan keuntungan besar dunia Akhirat?

Kehidupan kita di atas mukabumi ini hanya sementara. Hidup 70 tahun atau 80 tahun, jika dibandingkan dengan kehidupan di alam barzakh adalah terlalu singkat.

Nenek-moyang kita yang telah meninggal dunia telah hidup lebih lama di alam barzakh sekarang berbanding dengan hidup mereka di dunia. Apatah lagi jika dibandingkan dengan kehidupan Akhirat.

Justeru, umur dan masa yang diberikan oleh Allah Taala ini mestilah dimanfaatkan sungguh-sungguh untuk kebaikan, dan antara kebaikan itu ialah dengan kita menolong dan membantu agama Allah ini.

Dalam konteks saudara yang punya ilmu agama yang baik, di samping tugasan rasmi di pelbagai agensi kerajaan/swasta, jangan lupa menjenguk kami terutama melalui Lajnah Ulama Pelapis ini.

Marilah kita menjadikan hidup kita ini membawa erti, bukan hidup yang hanya mahu mencari makan sahaja, atau setakat ada kerja sahaja.

Allah tidak bertanya adakah saudara mempunyai BA, Ma atau PhD dalam bidang agama, tetapi yang ditanya apa yang saudara buat dengan semua itu.

Sekali lagi saya sangat mengharapkan bahawa orang seperti saudara-saudaralah yang mampu membantu kami terutamanya di dalam Dewan Ulama PAS ini dan PAS secara umumnya bagi menegakkan Islam dalam bentuk yang pernah ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu negara yang mendapat rahmat dan berkat dari Allah. Atau saudara mahu biarkan negara dan dunia ini dibentuk oleh si fasiq yang berkeliaran? - Ustnik

Boleh juga baca di sini

Jangan jadi Terengganu 2004
















PETALING JAYA 28 Nov. : Pakatan Rakyat (PR) kemungkinan akan tewas dalam pilihan raya umum ke-13 di Selangor jika tidak bersatu padu dan mengambil iktibar Terengganu pada 2004, tegas Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam Konvensyen DAP Selangor di sini hari ini.

Lim Kit Siang juga meminta perwakilan barisan menyokong kepimpinan negeri yang menganggotai kerajaan negeri Selangor sebagai tanda perpaduan.

"Bolehkah Umno dan Barisan Nasional (BN) menang balik Selangor dalam pilihan raya umum akan datang? Adakah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak boleh ditembusi dan tidak dapat dikalahkan?" kata Lim ketika berucap membuka Konvensyen DAP Selangor di sini hari ini.

"Saya tahu ada orang yang percaya bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh hilangan kawalan dan kuasa di Selangor dalam pilihan raya umum akan datang," kata Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Beliau mengingatkan para perwakilan konvensyen bahawa PAS tidak menjangkakan ia akan kehilangan Terengganu dalam pilihan raya umum 2004 selepas memperoleh kemenangan tidak disangkakan sama sekali pada 1999.

"Pada pilihan raya umum 1999, PAS tidak pernah menjangkakan kuasa menang di Terengganu tetapi menyapu bersih 28-4 di Dewan Undangan Negeri," kata Lim.

"Pada pilihan raya umum 2004, PAS tidak menjangkakan akan kehilangan kuasa di Terengganu tetapi tewas dengan keputusan terbalik 4-28, disapu oleh Umno dan BN," kata beliau.

Lim juga berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan BN akan menang balik Selangor memandangkan PR berada dalam keadaan tunggang-langgang.

Kata beliau, baru-baru ini selepas pilihan raya kecil serentak Galas dan Batu Sapi, Dr Mahathir memberitahu bahawa BN berupaya untuk menawan satu atau dua negeri daripada penguasaan PR atas alasan pembangkang berada dalam kelam-kabut tetapi BN tidak mampu memperoleh kembali majoriti dua pertiga di Parlimen.

Kata Lim, bukan sesuatu yang rahsia satu dua negeri yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir sebenarnya merujuk kepada Selangor.

Malah dalam ucapannya, Lim juga mengulangi seruan Yong agar semua pihak merapatkan kerjasama untuk memastikan PR boleh mengekalkan kuasa di negeri Selangor.

Lim juga meminta perwakilan menghantar mesej perpaduan dan memastikan kemenangan ahli-ahli DAP yang berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor pada pemilihan parti hari ini.

"Mesej itu akan tercalar jika pemimpin-pemimpin DAP dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor tidak menerima mandat dan sokongan penuh daripada konvensyen," katanya.

Jika PAS ada Nik Aziz, PKR ada Anwar , Umno tentulah Rosmah


PETALING JAYA, 27 Nov. : Perwakilan PKR meneruskan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terus mengetuai parti itu dengan meminta jawatan ketua umum tidak perlu melalui proses pemilihan sebagaimana dicadangkan oleh sayap Wanita semalam.

Anwar sebelum ini menolak untuk bertanding bagi jawatan presiden PKR yang kini disandang isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 11 tahun lalu.

“Terdapat pihak yang mempersoalkan Anwar untuk membuat keputusan-keputusan, yang membuat kami meragui kepimpinannya. Ada juga yang mempersoalkan kecekapannya untuk menjadi ketua umum.

“Beliau tidak lantik diri sendiri untuk menjadi ketua umum. Kita yang melantik beliau,” kata perwakilan PKR Selangor Faris Musa ketika membahaskan usul dasar ucapan presiden pada hari pertama kongres.

Faris kemudian meminta supaya 1,200 perwakilan berdiri untuk menunjukkan sokongan kepada Anwar selaku ketua umum.

“Mari kita berikan sokongan tidak terhingga kepada Anwar,” kata timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan ini.

Sementara itu, perwakilan Srikandi Siti Aishah Shaik Ismail berkata, tindakan memaksa Anwar bertanding bagi jawatan presiden parti akan mengehadkan peranannya.

“Ramai yang mempersoalkan kenapa Datuk Seri Anwar menolak untuk bertanding jawatan presiden. Saya kata itu adalah naif kerana kita tidak sepatutnya mengehadkan peranan Anwar untuk berkhidmat kepada parti.


“Beliau adalah pemimpin antarabangsa,” tambahnya.

Siti Aishah turut menyamakan kedudukan Anwar sebagai ketua umum PKR seperti Mursyidul Am PAS yang kini dipegang Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kedudukan ketua umum ini tidak boleh dipertandingkan atau dipertikaikan. Jika PAS ada Mursyidul Am, kita ada ketua umum untuk memberikan nasihat kepada parti,” katanya.

Anwar dilantik sebagai Ketua Umum PKR ketika kongres parti itu pada 2007 selepas tidak dibenarkan untuk bertanding bagi jawatan presiden oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau dilarang daripada memegang mana-mana jawatan parti ekoran hukuman penjara yang dikenakan pada 1999. Larangan itu tamat pada April 2008.

Jawatan ketua umum tidak digubal secara rasmi dalam perlembagaan PKR yang sebelum ini dipersoalkan bekas calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dan mencabar Anwar untuk mengambil alih jawatan presiden.

Semalam Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mencadangkan supaya kedudukan Anwar sebagai ketua umum diwujudkan secara rasmi tetapi Dr Wan Azizah menolak cadangan itu.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider malam tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara peribadi merasakan tidak perlu ada jawatan ketua umum yang formal bagi membolehkan Anwar, yang juga suaminya menyandang kerusi tersebut sebagaimana disarankan oleh Wanita PKR semalam.

Dr Wan Azizah berpendapat tidak perlu ada peruntukan perlembagaan khas bagi mewujudkan jawatan itu memandangkan amalan semasa membolehkan keputusan bersama dibuat membabitkan semua lapisan kepimpinan kanan parti.

Wanita PKR memberikan pandangan itu di sebalik pertikaian pihak-pihak pesaing PKR khususnya dari Umno-BN bahawa tiada jawatan khusus di bawah perlembagaan parti bagi membolehkan Anwar dipanggil sebagai ‘ketua umum PKR’.

“Itu pandangan ketua Wanita, ya saya menghormati pandangan beliau, tetapi saya kira bahawa walaupun tiada jawatan formal, namun ‘de facto leader’ itu, Saudara Anwar membuat keputusan yang efektif, tetapi dengan mengambil kira inputnya dengan kebijaksanaan (timbalan presiden Senator Dr) Syed Husin Ali, (Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim, dan mereka-mereka seperti Azmin (Ali), Saifuddin (Nasution Ismail), William Leong, Tian Chua, Sivarasa, semualah.

“Jadi, saya rasa tak perlulah jawatan itu, yang formal, yang kita ikut perlembagaan kerana perkiraannya kita membuat keputusan secara bersama. Memang ‘de facto leader’ itu Anwar, tetapi bukan ‘reserve’ bagi beliau, bukan satu jawatan ‘reserve’, yang dipegang oleh Anwar, oh tidak... sebab kita ada input daripada semua,” kata beliau dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di rumahnya di sini malam tadi sempena Kongres Nasional PKR selama dua hari yang bermula hari ini.TMI

Dr Syed Husin lebih layak dari Rosmah













PETALING JAYA, 28 Nov. : Kerajaan Selangor diminta mempertimbangkan supaya kekosongan kerusi canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) diisi oleh timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali yang akan bersara daripada jawatannya.

Bercakap dalam Kongres Keadilan ke-7 di Dewan Sivik MBPJ hari ini , calon Srikandi Farah Afzan Faridi berkata, cadangan itu dibuat kerana Dr Syed Husin merupakan calon yang lebih baik daripada penyandangnya sebelum ini Rosmah Mansor, yang juga isteri perdana menteri.

"Apa nama first lady (wanita pertama) itu? (Hadirin menjawab: Rosmah!) Eloklah Rosmah letak jawatan," katanya dengan nada sinis.

"Kita ada calon yang lebih baik daripadanya, iaitu Dr Syed Husin yang boleh menunaikan hasrat pelajar Unisel supaya beliau menggantikan Rosmah.

Ketika membahaskan usul pendidikan di hari terakhir Kongres PKR di Petaling Jaya hari ini, Farah Afzan meminta Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mempertimbangkan cadangannya itu.

Cadangan itu mendapat sokongan penuh daripada kira-kira seribu perwakilan yang bangun memberikan tepukan gemuruh.

Sementara itu, Khalid dilihat hanya tersenyum mendengarnya manakala Dr Syed Husin pula hanya menggelengkan kepala di atas pentas.

Pada 20 November lalu, Rosmah Mansor mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor universiti itu bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program PERMATA.

Rosmah berkata permohonannya untuk mengundur diri telahpun mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengumuman 'mengejutkan' itu dibuat ketika berucap pada Majlis Perasmian Istiadat Konvokesyen Unisel Kelima di Kampus Bestari Jaya di Kuala Selangor.

Unisel merupakan institut pengajian tinggi milik kerajaan Selangor.

Anwar terus bertahan walaupun Umno serang bertubi-tubi












PETALING JAYA 28 Nov. : Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang semalam diberikan kepercayaan agar terus kekal sebagai ketua umumnya berkata, walaupun diserang bertubi-tubi oleh Umno-Barisan Nasional (BN) akan tetap bertahan bagi memperjuangkan hak rakyat.

"Ramai kawan-kawan tanya sama ada saya rungsing dengan serangan yang dibuat Umno-BN, saya cakap jangan dengar.

"Walau apa pun serangan, saya akan tetap bertahan. Yang penting adalah keyakinan saya terhadap parti," kata Penasihat PKR itu ketika berucap pada program khas bersama perwakilan Kongres Nasional PKR di sini malam tadi lapor The Malaysian Insider.

Anwar berkata, ahli dan kepimpinan parti perlu yakin terhadap perjuangan sekiranya mahu membawa perubahan.

"Kita kena ada keyakinan, kalau yakin akan perjuangan ini, baru kita boleh maju dengan kuat demi kepentingan dan kebebasan rakyat.

"Semuanya kena bermula dengan keyakinan, ini bukan gimik poltik. Kita perlu buktikan komitmen bahawa kita ini adalah parti yang berbeza," kata Ketua Pembangkang ini.

Anwar berkata, sesiapa yang mahu menyertai parti itu terlebih dahulu perlu memahami asas perjuangan PKR.

"PKR adalah parti pejuangan, siapa yang nak masuk parti ini perlu faham agenda kita.

"Agenda parti adalah perjuangan dan keadilan yang selama ini menjadi tunggak kita. Kekuatan parti kita berbeza dengan Umno-BN.

"Dalam perjuangan keyakinan itu mesti ada, selama ini kita diserang bertubi-tubi. Kenapa kita diserang? Kerana kita adalah parti yang memperjuangkan keadilan dan mahu membebaskan rakyat daripada cengkaman kezaliman Umno-BN," katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata Umno-BN akan melakukan apa sahaja untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap parti itu.

"Umno menggunakan media untuk menyerang kita, kenapa? Kerana mereka mahu menghakis keyakinan kita terhadap parti tapi adakah mereka berjaya? Tidak..

"Bila saya minta seranglah saya sebanyak mungkin mereka tidak berani kerana tiada keyakinan apa yang mereka boleh tunjukkan adalah kuasa.

"Jadi kita perlu yakin terhadap perjuangan parti, kita perlu yakin kepada perubahan untuk tegakkan keadilan untuk rakyat," katanya.

Polis tolak permit makan malam DAP






















KUCHING, 28 Nov. : ADUN Padungan Sarawak, Dominique Ng yakin ada unsur politik mempengaruhi keputusan polis menolak permit DAP untuk mengadakan jamuan makan malam di Bazar Lama Batu Kawa, Kuching esok.

Justeru beliau berkata, pandangan DAP yang dilontarkan sebelum ini berasas selain mengecam tindakan polis yang sepatutnya membantu parti dan organisasi di Malaysia mengadakan program untuk rakyat.

"Sebenarnya, satu sebab yang mereka tidak akan akui, kekuatan DAP akan bertambah di kawasan itu. Batu Kawa satu-satunya di Kuching yang masih BN," kata beliau kepada TV Selangor petang tadi.

Dominique berkata, kebiasaanya RELA akan dipanggil membantu mengawal lalulintas namun penolakan terus permohonan tanpa memberi sebarang alternatif oleh polis diragui.

"Kita ada pasukan RELA yang sudi tolong.

"Sebenarnya kalau polis takut tempat itu tidak sesuai, dia boleh cadangkan macam mana untuk mengatasai masalah itu. Jangan tidak memberi permit polis. Sebenarnya tugas polis mesti menolong parti-parti dan organisasi tersebut untuk mengadakan apa-apa majlis tanpa masalah ganguan pihak berkuasa tempatan," ujar beliau lagi.

Memetik laporan portal Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong berkata masa yang tidak sesuai untuk DAP menganjurkan perhimpunan seperti itu.

Selain itu menurut Dominique lagi, DAP akan mengalami masalah sekiranya program tersebut tidak dapat diteruskan kerana tiket telahpun habis dijual.

"Jikalau begitu, DAP perlu mencari tempat lain untuk mengantikannya. Kalau tidak kena beri balik duit. Itu memang susah sebab biasanya mereka jual di pasar, tidak tahu siapa ada beli. Jadi nak pulangkan semula pun susah," jelas beliau lagi.

Sehingga kini, empat daripada lima kerusi DUN Kuching telahpun dimonopoli Pakatan Rakyat namun kawasan Batu Kawa masih dipegang parti komponen Barisan Nasional iaitu Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Biasiswa ganti pinjaman PTPTN
















PETALING JAYA, 28 Nov. : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak kerajaan supaya menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) untuk dan digantikan dengan "biasiswa rakyat Malaysia" untuk golongan mahasiswa.

Wakil AMK Yusmadi Yusoff menyifatkan pinjaman itu membebankan mahasiswa sedangkan pendidikan merupakan salah satu daripada hak asasi manusia.

"Hak pelajar daripada hasil mahsul negara bukan daripada tawar menawar pak menteri. Hak pelajar (itu) adalah hak asasi manusia.

"Sehubungan itu, Keadilan perlu mencadangkan (satu) biasiswa rakyat Malaysia," katanya ketika membahaskan usul pendidikan dalam kongres Keadilan di sini hari ini.

Yusmadi yang juga ahli parlimen Balik Pulau berkata pinjaman itu menyebabkan mahasiswa dicop sebagai "penghutang" selepas mereka tamat pengajian.

"(Apabila) tamat pelajar, sudah ada cop dekat dahi, hutang RM15 ribu. Hendak kahwin, hutang lagi. Hendak berniaga, hutang lagi," katanya sambil disambut gelak ketawa para perwakilan.

Dalam perbahasan itu juga, beliau mencadangkan supaya timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali menjadi ketua dalam bidang pendidikan dalam parti yang disifatkannya sebagai "Universiti Masyarakat".

"Didiklah kami, anak muda, kami akan lawan, lawan sampai ke Putrajaya," katanya sambil menambah ketokohan Dr Syed dalam bidang akademik sudah terbukti sebelum ini.

Kukuh perpaduan untuk menang PRU 13



















PETALING JAYA, 28 Nov. : Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah menggesa pemimpinnya agar mempamerkan perpaduan menjelang pilihan raya umum ke-13 bagi mencapai kemenangan semasa berucap di Konvensyen DAP Selangor Ke-16.

"Saudara dan saudari sekalian, kita mesti bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Kita hanya dapat kemenangan jikalau kita semua satu hati dan bersatu padu. Perpatah Melayu berkata, 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'," kata beliau lapor The Malaysian Insider.

Kira-kira perwakilan menghadiri pertemuan hari ini yang turut mendapat perhatian ramai selepas Konvensyen DAP Perak awal bulan ini ekoran persaingan sengit pemilihan kepimpinan negeri.

Exco Kerajaan Negeri itu berkata, kesemua pemimpin DAP Selangor perlu faham dan menyedari bahawa pengundi telah berubah dan bijak membuat keputusan.

"Mereka mempunyai fikiran sendiri dan boleh membuat keputusan dengan bijak. Oleh itu, tiada mana-mana satu parti boleh menang selama-lamanya dalam pilihan raya akan datang.

"Dulu kita menjadi pembangkang, kita meminta kerajaan menyelesaikan masalah rakyat. Tetapi sekarang sudah berubah, kita perlu betul-betul turun padang untuk menyelesaikan aduan rakyat. Jangan ingat kita boleh menang melalui publisiti surat khabar sahaja," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya telah mengenal pasti kualiti perkhidmatan di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri DAP yang kurang memuaskan.

Oleh itu tegas beliau, sekiranya tiada apa-apa perubahan sebelum pilihan raya umum ke-13, parti akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kata Ean Yong lagi, dua setengah tahun lalu, DAP bersama dengan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan baru di Selangor dan ia telah merealisasikan perubahan kerajaan buat kali pertama dalam sejarah.

"Ini telah membawa harapan baru dan perubahan kepada rakyat di negeri ini," katanya.

Lanjutan daripada itu, kata beliau, DAP Selangor telah menjalankan pelbagai aktiviti dalam dua setengah tahun lalu, antaranya kempen pendaftaran pengundi baru.
Mengikut statistik, DAP Selangor telah mendaftar seramai 7,831 pengundi baru di Selangor dari Januari hingga ke Jun lalu.

Ia diikuti Umno seramai 6,014 orang dan PAS pula 4,516 orang. DAP Selangor masih mengatasi semua parti politik di Selangor dalam pendaftaran pengundi baru.
Selain itu, kata beliau, DAP Selangor juga mencapai perkembangan baik dalam organisasi parti.

"Untuk makluman saudara dan saudari, sebelum Mac 8 2008, kita hanya mempunyai 40 cawangan di Selangor.

"Tetapi sampai hari ini, kita telah mencapai 184 cawangan. Bilangan ahli di Selangor juga bertambah daripada 6,000 orang hingga 18,000 orang iaitu pertambahan 12,000 orang ahli baru atau tiga kali ganda.

"Saya ingin bagi satu contoh. Sebelum Mac 8 2008, kita hanya terdapat satu cawangan di kawasan Hulu Selangor iaitu cawangan Kerling. Tetapi hari ini, kita telah mempunyai lapan cawangan di Hulu Selangor," katanya.

Pada masa yang sama, menurut beliau, Barisan Nasional memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baru dengan majoriti 448 undi dalam pilihan raya umun 2008, tetapi ketika pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Pakatan Rakyat dapat mengutip majoriti 2,030 undi di kerusi tersebut.

"Di kawasan Rasa, 80 peratus pengundi kaum Cina telah menyokong Pakatan Rakyat, ini merupakan satu rekod sejarah," katanya.

Kata Ean Yong, perkembangan itu jelas menunjukkan bahawa jika bersatu padu dan bekerjasama, rakyat akan memberi sokongan kuat.

Malangnya kata beliau, pada pemilihan parti kali, DAP mendapati ada segelintir ahli parti menggunakan cara kotor untuk menyerang pemimpin-pemimpin parti.

"Ini merupakan satu persaingan tidak sihat. Mereka membuat tuduhan dan mengatakan bahawa hampir semua keputusan dibuat oleh jawatankuasa negeri dalam dua tahun ini adalah salah.

"Saya mahu tanya mereka, terutamanya mereka yang mendapat jawatan dalam kerajaan, tak kira jawatan tinggi ataupun rendah, tak kira dia Exco atau ahli majlis, tak kira dia Speaker atau ketua kampung, adakah keputusan lantikan parti ini salah?" kata beliau. Selain itu tegas Ean Yong, ada juga yang mengatakan bahawa mereka mahu parti merombak jawatankuasa kepimpinan negeri, terutamanya wakil-wakil rakyat.

"Kenyataan ini amat dikesali dan memecahbelahkan parti kita," katanya lagi.

Ahli yang nak jadi 'pengkhianat' didesak keluar PKR








PETALING JAYA 28 Nov. : Perwakilan hari ini terus mendesak agar mereka yang terlibat dengan 'pengkhianat' yang melompat agar keluar dari parti.

Dalam perbahasan pembudayaan demokrasi, wakil dari Melaka Mahani Masban melahirkan ketidakpuasan hati lantaran mereka yang bersekongkol dengan Datuk Zaid Ibrahim masih berada di dalam.

"Saya minta mereka yang dilihat memang berada bersama dengan pengkhianat parti yang keluar dari parti itu tidak lagi berada di dalam parti," tegas Mahani ketika membahaskan usul membudayakan demokrasi.

Sindiran itu disambut dengan tepuk tangan dan sorakan perwakilan.

Mahani juga mencadangkan pemimpin dan calon yang baru diuji terlebih dahulu bagi membuktikan kesetiaan mereka terhadap parti.

Dalam pemilihan baru-baru ini, calon Timbalan Datuk Zaid bertindak menarik diri sebelum keluar dari PKR yang disertainya tidak sampai dua tahun.

Salah satu maksud usul Pembudayaan Demokrasi ke atas Parti bertujuan bagi mengenengahkan cadangan penambahbaikan pemilihan akan datang.

Sementara itu wakil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Azman Abidin pula mencadangkan agar kriteria calon ketua cabang di pemilihan akan datang diperketat.

"Sebagai contoh, ketua cabang deposit dia 2 ringgit sahaja...Kalau macam itu semua Tom, Dick dan Harry boleh bertanding. Cuba kalau buat RM 1, 2 atau 3 ribu," kata Azman.

Rasionalnya menurut Azman ialah kerana Ketua Cabang itu menjaga kawasan seluas Parlimen dan mereka harus benar-benar bersedia menggalas tanggungjawab tersebut.

'Third Force' bukan serpihan PKR









































PETALING JAYA, 27 Nov. :
Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menolak dakwaan kewujudan kumpulan yang dikenali sebagai “Third Force” adalah serpihan membabitkan ahli-ahli parti itu yang kecewa dengan kepimpinan mereka.


“Memang tiada kaitan dengan PKR, tiada... tiada kaitan pun,” kata setiausaha agung parti Saifuddin Nasution kepada The Malaysian Insider di akhir hari pertama Kongres Nasional parti yang berlangsung di sini.

Justeru, beliau juga menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan “kerja rumah” yang baik apabila mengatakan Third Force adalah serpihan PKR.

“Saya keliru sedikit dengan kenyataan Datuk Najib yang mengatakan seolah-olah Third Force ini adalah serpihan PKR.

“Third Force bukan anggota PKR, Datuk Najib menyebut lahirnya Third Force menunjukkan kucar-kacirnya PKR sehingga membawa kepada kewujudan Third Force.

“Jadi saya fikir kenyataan itu tidak cermat dan tidak melakukan kerja rumah yang baik,” katanya.

Najib hari ini berkata kewujudan kumpulan yang dikenali sebagai “Third Force” dalam pakatan pembangkang khususnya PKR adalah berikutan timbulnya rasa tidak puas hati anggota parti itu terhadap kepimpinan mereka.

Beliau berkata keadaan itu juga menunjukkan krisis keyakinan yang begitu serius melanda parti tersebut dan tindakan anggota PKR itu kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.

“Kalau berlaku apa-apa pun, ini kesan daripada rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli PKR sendiri sebab itu mereka sudah menjadi kumpulan yang telah memilih jalan untuk keluar daripada PKR.

“Sama ada mereka jadi Third Force atau mereka masuk parti yang Datuk Zaid (Ibrahim) nak tubuh atau pun nak masuk Umno dan sebagainya. Ini kesan daripada keadaan dalam PKR yang menjurus kepada satu keadaan di mana krisis keyakinan yang begitu serius melanda parti tersebut,” katanya.

Sebaliknya Saifuddin (gambar) berkata, kewujudan Third Force adalah inisiatif kumpulan aktivis yang merasakan mereka ada peranan dalam politik negara.

“Ura-ura penubuhan Third Force ini datangnya daripada sekumpulan aktivis yang berpendapat mereka ada peranan dalam politik negara.

“Misalnya mereka berpendapat meletakkan calon pilihan raya bukanlah hak mutlak masing-masing parti politik, mereka merasakan bahawa mereka juga ada peranan.

“Jadi dalam sistem demokratik yang terbuka membenarkan penyertaan semua pihak, tiada siapa yang boleh menyekatnya. Kelahiran kumpulan ini adalah daripada sekumpulan aktivis yang merasakan sampai masa untuk mereka terjun berkecimpung dalam politik,” katanya.

Ahli Parlimen Machang itu berkata kemungkinan besar Third Force mahu supaya parti melantik mereka sebagai calon dalam pilihan raya.

“Saya fikir perkara asas dalam pemilihan calon ini ialah calon yang boleh menyumbang kepada kemenangan dan parti sudah tentu mempunyai mekanisme kriteria pemilihan calon.

“Third Force ini berpendapat bahawa mereka juga mahu ada tempat terhadap perkara ini. Jadi dasar parti sekarang ini adalah urusan pemilihan parti adalah urusan dalaman.

“Pernah berlaku NGO bertanding gunakan lambang parti. Walaupun parti mempunyai sistem pemilihan dengan keutamaan kepada aktivis parti dan pemimpin parti menjadi calon tapi rekod pembangkang atau Pakatan Rakyat ini menunjukkan bahawa di sana ada juga peluang yang diberikan kepada aktivis,” katanya.

Saifuddin juga menolak Pakatan Rakyat akan menemui Third Force secara rasmi.
“Setakat ini belum ada ura-ura untuk menemui secara rasmi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kekosongan jawatan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Saifuddin mengatakan bahawa parti masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Jawatan tersebut kosong selepas Zaid mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR.

“Kita belum pilih, lazimnya selepas kongres. Apabila ada kekosongan ataupun kalau tidak ada kekosongan lazimnya mana-mana parti pun akan melakukan pelantikan baru atau mengekalkan pelantikan lama.

“Ia tertakluk kepada keupayaan parti di negeri masing-masing.

“Jadi saya menjangkakan pengumuman berkaitan dengan pelantikan baru bagi negeri-negeri akan dilakukan bersekali dengan pengumuman keputusan pemilihan MPP,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata kepimpinan parti akan mengadakan perbincangan bagi memilih calon yang sesuai.

“Biasa pimpinan akan duduk berbincang, meneliti dan mengambil kira semua aspek.
“Saya tidak boleh nak jangka sama ada perubahan,” katanya.

Halang bina jalan, penduduk bina sendiri


PARIT BUNTAR, 27 Nov. : Jamaah Surau Mujahidin , Kampung Kedah bersama penduduk di Kampung Kedah bersepakat untuk mengutip derma dan membeli simen konkrit serta batu untuk membina sebatang jalan konkrit simen selebar 10 kaki dan panjang 700 kaki apabila pihak tertentu menghalang permohonan mereka yang telah diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Penyelaras Surau Mujahidin Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, kos melibatkan hampir RM 15 000 bagi membeli simen konkrit dibiayai daripada sumbangan ahli Jamaah Surau Mujahidin , penduduk kampung dan orang perseorangan.

“ Kami mendapat sokongan yang kuat dari PAS Parit Buntar dan Pejabat Ahli Parlimen serta Pejabat ADUN Titi Serong yang turut sama membantu usaha membina jalan ini.

“ Kita mendapat maklumat pihak berkuasa tempatan telah meluluskan pembinaan jalan ini, namun ada pihak yang tidak bertanggung jawab menghalangnya “ katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Parit Buntar

Fakhrurrazi berkata, program gotong-royong bermula jam 8 pagi sehingga jam 2 petang melibatkan kira-kira 100 penduduk kampung, ahli Jamaah Surau Mujahidin dan ahli-ahli PAS sekitar Parit Buntar.

“Jalan ini adalah laluan yang penting kepada penduduk ke
Taman Kerian Permai, Taman Seri Tenggara, Taman Semarak dan Taman Wawasan

Malah, lebih utama jalan ini turut digunakan oleh pelajar dan guru untuk berulang-alik setiap hari di mana terdapat beberapa sekolah terletak di kawasan berhampiran” katanya ketika ditemui di lokasi gotong-royong, di sini.

Katanya, penduduk mengambil tindakan proaktif membina sendiri jalan berkenaan setelah melihat ada pihak yang sanggup menghalang kemudahan jalan yang sepatutnya diberi kepada penduduk di sekitar Kampung Kedah.

“Terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan dan penduduk yang bergotong-royong membina jalan ini” katanya

Hadir sama Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong Drs Khalil Idham Lim Abdullah dan pimpinan PAS Parit Buntar bagi memberi sokongan moral kepada penduduk.

Sumber gambar : Cina Islam

Samy pergi Vell Pari mari

















SHAH ALAM, 27 Nov. : Samy Vellu akan meneruskan cengkaman terhadap MIC walaupun mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden parti itu berkuatkuasa Januari 2011.

Ini adalah susulan laporan media milik Umno yang melaporkan anaknya, Vell Pari akan mengisi jawatan Naib Presiden parti itu tidak lama lagi.

Bekas Naib Presiden MIC, Datuk S.S Subramaniam yang ditemubual TV Selangor tidak menolak dakwaan tersebut justeru menyifatkan monopoli kuasa Datuk Seri Samy Vellu dalam MIC tidak akan lumpuh selagi kroni beliau masih berada dalam kepimpinan parti komponen Barisan Nasional(BN) itu.

"Dari pengalaman saya dalam MIC selama 30 tahun, saya boleh mengatakan ini mungkin boleh jadi. Bukan sahaja dia (Samy Vellu) punya keluarga dan kawan-kawan mahu teruskan kuasa dalam MIC. Itu memang hasrat beliau dari awal," kata beliau.

Samy Vellu yang juga bekas Menteri Kerjaraya sebelum ini didesak Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) termasuk Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC yang disandang beliau selama 32 tahun.

Subramaniam yang keluar parti MIC dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Julai 2009 berkata, amalan kepimpinan kronisme Samy Vellu lama bertapak dalam MIC dan menurut beliau lagi ia adalah hasrat pemimpin itu untuk terus mengekalkan kuasa walaupun bukan dalam bentuk fizikal.

Justeru jelas Subramaniam lagi, taraf kehidupan kaum India di negara ini akan terus kekal pada tahap rendah memandangkan tiadanya kredibiliti pucuk kepimpinan yang bakal menerajui MIC nanti.

Selain itu dakwa beliau, MIC tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang ingin membawa perubahan dalam parti itu justeru akan terus mengabaikan tanggungjawab terhadap kaum India di negara ini.

"Semua yang berkuasa dalam MIC dia punya orang. Dia tidak akan buka pintu untuk apa-apa hal dalam MIC. Dia punya cara untuk menjalankan kuasa dalam MIC untuk selama-lamanya.

"Semua ahli-ahli, ketua-ketua cawangan dia punya orang. Mana ada orang tentang keputusan oleh Samy. MIC tidak akan berubah selama-lamanya. Cakap sahaja," jelas beliau lagi.

Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel akan mengambil alih jawatan tertinggi parti itu bulan depan dan tempat beliau akan digantikan oleh S. Subramaniam.

Laporan akhbar itu juga menyebut SSothinathan ditawarkan menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PUsat (CVC) tanpa bertanding.

Pada Jun 2007, S. Vell Pari pernah dikaitkan dengan kematian aktres berusia 28 tahun yang juga merupakan bekas setiausaha peribadinya, K.Sujatha yang didapati mati kerana membunuh diri dengan meminum racun rumpai.

Subramaniam juga dalam temubual tersebut sinikal terhadap kualiti kepimpinan G. Palanivel yang akan menerajui parti itu justeru menjangkakan MIC akan mengalami zaman pengakhiran tidak lama lagi.

"Dia (Palanivel) orang angkat beg. Dari dulu sampai sekarang dia angkat beg Samy Vellu sahaja. Apa dia tahu pucuk pimpinan. Tentu hancur lagi, kita pun nampak.

"Selama Vell Pari dan Samy Vellu punya geng ada memang saya rasa PKR lagi baik," kata beliau.

Umno gentar dengan PKR

















PETALING JAYA, 27 Nov. : Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution berkata Umno terpaksa mengubah dasar mereka kerana rakyat telah berani bersuara menentang ketidakadilan dan pentadbiran mereka.

Menurut Saifuddin, Umno terpaksa melakukan perubahan kerana gentar dengan idealisme PKR sehingga terdesak melakukan perubahan untuk memenangi hati rakyat kembali.

"Najib takkan umumkan perubahan seperti akta gaji minima, tolak kenaikan tol...dan melakukan 'affirmative action based on needs not based on race," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Saifuddin menjelaskan bagaimana polisi UMNO yang kononnya menjulang kedaulatan melayu mula berubah seperti pengumuman dan dolak-dalik Najib bagi MEB yang turut dikritik NGO Melayu seperti Perkasa dan lain-lain.

Mengulas mengenai pelbagai aduan, protes serta dakwaan media arus perdana terhadap Pemilihan 2010, Saifuddin yakin bahawa PKR kini melalui satu fasa yang akan memperkuatkan lagi parti pada masa akan datang.

Fasa Pertama menurutnya adalah ketika Keadilan mula ditubuhkan sebagai Parti pada Mac 1999, di mana pendapat popular ialah parti itu akan berpecah selepas Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara ketika itu.

Fasa kedua pula adalah pada tahun 2003 ketika mahu bergabung dengan parti Rakyat Malaysia bagi membentuk PKR dan mereka dituduh akan berpecah kerana perbezaan ideologi.

Fasa ketiga pula adalah menghadapi Pilihan Raya Umum ke 12 dan penubuhan Pakatan Rakyat.

"Mana mungkin Parti yang dikatakan 'Anwar centric dapat 1.5 juta Undi dan berjaya membantu menawan 5 negeri," tegas beliau.

SPRM kena siasat Taib Mahmud













PETALING JAYA, 27 Nov. : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan portal sarawakreport.org berhubung pegangan saham Ketua Menteri, Datuk Seri Taib Mahmud dalam anak syarikat kerajaan negeri iaitu Royal Mulu Resort, ujar Baru Bian

Pengerusi Majlis Pimpinan Sarawak itu yang ditemui di sidang kongres nasional PKR petang tadi berkata laporan yang dibangkitkan amat penting bagi pihak SPRM menyiasat perkara itu lebih lanjut kerana ia membabitkan hak rakyat negeri itu.

"Saya bersama pimpinan Pakatan Rakyat Sarawak menyerahkan salinan laporan itu kepada SPRM di Bandar Kuching, semalam

"Aduan yang dibuat adalah tentang pembabitan langsung Ketua Menteri yang mempunyai kepentingan dalam sebuah anak syarikat kerajaan negeri ke atas pengurusan Royal Mulu Resort.

"Kita akan beri tempoh dalam satu hingga dua minggu untuk mereka dan jika tidak, kita akan 'follow up' dengan mereka," katanya.

Menurut beliau, tidak ada laporan rasmi yang dibuat tetapi SPRM katanya boleh bertindak berdasarkan salinan laporan portal tersebut yang jelas menunjukkan terdapatnya salahguna kuasa berhubung isu tersebut.


Portal sarawakreport.org sebelum ini mendedahkan Taib memiliki saham yang terbesar di dalam projek kontroversi, Royal Mulu Resort yang mendapat suntikan dana tunai yang banyak daripada Kerajaan Negeri.

Ini menunjukkan Taib sebagai Ketua Menteri dan Menteri Kewangan menyalahguna kuasa dengan memberi kebenaran supaya pengaliran dana awam terus dalam poketnya.


Taib turut bertanggungjawab dalam pengambilalihan tanah adat secara paksa daripada kaum Berawan untuk membina resort tersebut, tanpa memberikan apa-apa pampasan.


Portal tersebut juga mendakwa mereka mempunyai bukti-bukti kukuh yang menunjukkan tindakan tersebut atas kapasiti untuk kepentingan diri sendiri.

Pilihanraya Sarawak : PKR sudah bersedia










PETALING JAYA, 27 Nov. : Sarawak dibahagikan kepada tiga zon bagi memudahkan logistik, komunikasi dan gerak-kerja jentera dalam pilihanraya negeri akan datang.

Tiga zon terbabit iaitu zon utara, tengah dan selatan mempunyai kontinjen jentera yang khusus, dipersiapkan untuk membawa isu setempat yang unik dan isu negeri yang mendesak.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak, Baru Bian berkata hal-ehwal strategi dan pertandingan diuruskan oleh satu majlis Pakatan Rakyat, membabitkan PKR, DAP, PAS dan SNAP.

Baru Bian menjelaskan pengagihan dan penumpuan mengikut zon adalah perlu bagi mengurangkan beban birokrasi pada jentera.

Jentera di zon-zon berkenaan akan ditadbir dan diselaras oleh seorang individu yang berwibawa dan bertanggungjawab.

"Kita baru sahaja membentuk struktur sebegitu rupa, dan melibatkan penyertaan badan-badan bukan kerajaan untuk bekerjasama dengan ahli-ahli PKR,"katanya di kongres ke-7 PKR disini.

Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri, dan 62 daripadanya dikuasai Barisan Nasional.

TV Selangor difahamkan pilihanraya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum Julai tahun depan, dan spekulasi kuat mengatakan ia akan adakan pada bulan Mac atau April.

"Kita bawa mesej muafakat baru, pemimpin baru, Sarawak baru. Kita ada potensi untuk memenangi pilihanraya negeri, dan kita mahu kamu (rakyat) untuk menyertai kami. Bagaimana boleh kamu bantu kami?"soalnya.

Baru Bian menjelaskan bahawa majlis kini dalam proses memuktamadkan manifesto pilihanraya negeri Sarawak.

Antara keluhan rakyat yang diberi keutamaan adalah isu tanah-tanah adat dan bumiputera.

"Isu NCR adalah isu yang paling panas dibincangkan di kalangan masyarakat Dayak dan Melayu. Kita mahu giatkan lagi usaha memperjuangkan hak tanah untuk Dayak dan Melayu," kata Baru Bian.

"Dalam pada itu, kita bersetuju bahawa soal tanah adalah soal yang penting untuk semua rakyat Sarawak. Lantas kita dan DAP bersetuju untuk memperkenalkan sistem pembaharuan tanah secara automatik untuk masyarakat Cina. Cadangan ini mendapat sambutan hangat, dan mendapat pendedahan meluas dalam akhbar-akhbar Cina," tambahnya.

Sementara itu, rundingan pembahagian kerusi kini sudah 90 peratus selesai.

Turut hampir diselesaikan adalah soal pemilihan calon Pakatan Rakyat.

"Kita sudah senarai-pendekkan calon-calon pilihanraya dan mereka ini telah kita gerakkan ke lapangan menemui rakyat. Namun di beberapa kawasan beberapa nama dipertimbangkan. Namun begitu kita berharap bakal-bakal calon terbabit bergerak bersama-sama, sehingga pimpinan mengumumkan calon yang terpilih, berdasarkan kepada siapa yang mempunyai peluang paling cerah untuk menang melawan Barisan Nasional.

"Saya harap calon-calon berpotensi ini saling bekerjasama dan fokus kepada matlamat perjuangan. Menjadi calon pilihanraya bukan segalanya, kerana apabila Pakatan Rakyat mentadbir Sarawak, banyak kawasan yang perlu diisi dengan individu-individu berkelayakan," katanya sambil menambah mereka kini memberi penekanan kepada faktor sumber manusia, termasuk melantik dan melatih petugas dan agen pilihanraya.

Jentera pilihanraya PKR dijangka akan mula bergerak pada bulan Disember, dan membawa sehingga ke tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak.