SHAH ALAM 7 Jan.: Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (ANAK), Mazlan Aliman menegaskan bahawa saman besar-besaran ke atas Felda akan diteruskan sekiranya tidak ada kata pemutus dari pihak Felda untuk menangani masalah yang dihadapi masyarakat peneroka di negara ini.
Menurut Mazlan, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menghalang tindakan saman yang akan dilakukan oleh anak-anak generasi kedua Felda itu namun optimis adalah alternatif bagi penyelesaian masalah peneroka.
"Harus diingat, kalau peneroka meneruskan saman ia akan menjejaskan imej Felda dan jumlah saman ini bukan sedikit, jumlahnya terlalu besar dan ini akan menyebabkan Felda mendapat aib dan malu besar," jelas Mazlan dalam satu temubual khas di Tv Selangor.
Pada 17 Disember lalu, satu taklimat telah diadakan di Darul Ikhwan, Mengkarak yang dihadiri kira-kira 1,000 peneroka dari Pahang, Negeri Sembilan dan Johorberhubung saman yang akan dikemukan ke atas Felda.
Pada bulan sama juga, Pengurus Besar Felda, Datuk Zulkifli Abdul Wahab mengeluarkan satu pekeliling yang diedar kepada setiap peneroka memohon agar perkara masalah yang membelit masyarakat Felda tidak dibawa kemuka pengadilan.
Katanya, pihak Felda akan menyelesaikan setiap masalah yang timbul.
Namun ironinya kata Mazlan, pentadbiran Felda langsung tidak menunjukkan sebarang inisiatif untuk menyelesaikan ketegangan yang wujud di antara Felda dan masyarakat peneroka.
"Kalaulah pendekatan yang digunakan oleh Datuk Zulkifli Abdul Wahab itu, adalah pendekatan kedua-dua belah pihak, saya tidak rasa ia tidak sampai ke tahap perundangan. Yang saya nampak ialah peneroka sahaja yang beria-ia berunding dan berbincang menggunakan pendekatan diplomasi tetapi tidak bagi pihak Felda," tambah Mazlan lagi.
Sebagai contoh kata Mazlan, 354 peneroka dari Kemahang Tiga, Tanah Merah yang berjaya dalam kes saman RM11 juta ke atas Felda juga masih belum mendapat ganti rugi yang dijanjikan oleh Felda.
Justeru katanya, beliau langsung tidak dapat melihat kesungguhan Felda untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh masyarakat peneroka Felda sejak sekian lama.
Malah katanya banyak lagi kes-kes dan aduan yang dibuat, namun pentadbiran Felda dilihat tidak mengambil endah suara masyarakat Felda.
Lantaran tidak tahan dengan nasib malang yang menimpa mereka, masyarakat Felda katanya bangkit untuk mempertahankan hak masing-masing di muka pengadilan dalam saman besar-besaran yang akan difailkan bulan ini.
No comments:
Post a Comment