SHAH ALAM 17 Jan. : Lim Kit Siang menyifatkan tindakan Pengerusi Barisan Nasional(BN), Datuk Seri Najib Razak hanya memilih calon yang boleh memenangkan parti itu sebagai mempamerkan kuasa veto dalam pemerintahannya.
Menurut Penasihat DAP itu, ini adalah kali pertama dalam sejarah BN apabila presidennya secara terang-terangan menolak semua calon berpotensi yang dicadangkan kalau dirasakan ia tidak akan membawa kemenangan kepada parti itu.
" Nampaknya (dengan pengumuman itu Najib) meletakkan kreteria utama iaitu boleh menang tidak kira kesesuaian, tidak kira sama ada bersih, ada integriti atau terlibat dengan penyelewengan atau korupsi," kata Kit Siang.
Semalam Najib berkata, beliau akan memastikan calon-calon pilihanraya negeri Sarawak bagi parti itu adalah calon pilihannya demi memenangkan parti itu.
Dasar ini adalah dasar sama yang digunakan oleh BN sejak sekian lama dalam meletakkan calon mereka pada mana-mana pilihanraya tanpa mengira calon itu pernah terpalit dengan rasuah dan sebagainya.
Menurut Kit Siang, kenyataan Najib itu jelas memberi gambaran bahawa Perdana Menteri Malaysia itu akan menggunakan sepenuh kuasa yang dimilikinya untuk menentukan calon BN tanpa mempertimbangkan nama lain yang dicadangkan oleh parti komponen BN.
"Jadi siapa yang akan menggunakan kuasa veto untuk calon-calon Umno? Adakah parti-parti komponen BN yang lain ada kuasa veto kalau ada calon-calon Umno mereka rasa tidak boleh menang kawasan itu?," tambah Kit Siang lagi, seraya menyifatkan selepas tsunami politik negara 2008, BN semakin menuju kehancuran.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua pula berkata, tindakan Najib ini sudah lama terbukti, sebelum ini Perdana Menteri itu sanggup mengenepikan moral seseorang calon dengan meletakkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon pada pilihanraya kecil Bagan Pinang walupun bekas Naib Presiden Umno itu terbukti mengamalkan politik wang.
"Saya kira itu akan menjadi penetapan dasar cara mereka memilih calon tetapi ini secara terus terang bertentang dengan apa yang dijanjikan dalam transformasi yang diuar-uarkan selama ini di dalam media," katanya kepada Tv Selangor.
Malah menurut Tian Chua, Najib berada dalam keadaan terdesak dan perlu menang di Sarawak dan juga pada pilihan raya kecil DUN Tenang yang akan berlangsung hujung bulan ini demi menyuntik semangat yang kian pudar di kalangan ahli BN sendiri.
Monday, January 17, 2011
Najib tunjuk kuasa
Hanya Pilih Calon Boleh Menang, Najib Pamer Kuasa Veto
No comments:
Post a Comment