KUALA LUMPUR 31 Jan. : Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengambil alih siasatan ke atas tujuh rakyat Somalia yang menyerang sebuah kapal Malaysia di perairan Teluk Aden pada 20 Januari lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan akan menyoal kesemua tahanan termasuk anak kapal MT Bunga Laurel dan anggota pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia yang terlibat dalam operasi menyelamat kapal dagang tersebut.
"Ini adalah prosedur biasa dalam mana-mana siasatan. Kita akan ambil keterangan kesemua mereka bagi menyiasat dan menyelesaikan kes tersebut,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ismail berkata pihaknya akan memohon untuk mendapatkan perintah reman dari Majistret hari ini bagi menahan rakyat Somalia terbabit dalam satu tempoh bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kesemua rakyat Somalia itu tiba di negara ini kira-kira 9.15 pagi tadi di Pelabuhan Klang dan kini ditahan di Pusat Tahanan Bukit Jalil.
MT Bunga Laurel dilaporkan sedang melalui perairan Teluk Aden apabila diserang dan ditawan selama dua jam oleh sekumpulan tujuh orang lanun Somalia yang bersenjatakan AK-47 serta pistol, kira-kira 11.40 malam pada hari Jumaat tersebut.
Bagaimanapun komando Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditugaskankhas untuk sentiasa mengawasi kapal-kapal Malaysia yang melalui perairan tersebut daripada serangan lanun, telah berjaya mematahkan serangan tersebut dan menyelamatkan 23 anak kapalnya.
Tiga orang lanun tercedera dalam operasi menyelamat Operasi Fajar itu tanpa sebarang kecederaan dialami oleh anak-anak kapal dan para anggota komando TLDM.
No comments:
Post a Comment