Tabung khas: Exco bincang dengan Lembaga Zakat
SHAH ALAM, 21 Jan: Para pemimpin kerajaan negeri Selangor akan membuat perbincangan rasmi yang pertama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membolehkan badan itu membantu mana-mana pekerja Islam yang bekerja di premis yang menghidangkan arak menukar tempat kerja mereka.
Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali berkata, beliau telah membuat temujanji dengan Ketua Pegawai Eksekutif LZS untuk mengadakan perbincangan tersebut 24 Januari ini.
Turut serta dalam pertemuan itu nanti adalah Datuk Dr Hassan Ali, Exco agama kerajaan negeri Selangor.
Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan, kerajaan negeri akan menubuhkan satu tabung bagi membantu pekerja Islam yang ingin menukar pekerjaan dari tempat haram ke pekerjaan yang halal.
Kerajaan negeri, kata Khalid akan berbincang dengan LZS bagi menyumbangkan dana untuk tabung itu.
Ini ekoran dari cadangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang menyekat pekerja beragama Islam dari terus bekerja dengan pusat-pusat hiburan yang menyediakan arak.
Cadangan ini menimbulkan polemik kerana kerajaan negeri melalui Exco kerajaan tempatan Ronnie Liu berkata penguatkuasaan terhadap peraturan itu ditahan dahulu kerana ia belum dibincangkan lagi dengan kerajaan negeri.
No comments:
Post a Comment