Friday, January 21, 2011

Wujudkan sekolah kaligrafi Islam

Kerajaan disaran mewujudkan sekolah khas untuk mengajar pelajaran Khat Islami kepada anggota masyarakat khususnya generasi muda sepertimana adanya Akademi Fantasia, Imam Muda, Mari Berdansa dan seumpamanya.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf (KMK), Haji Nasir Hamzah berkata, sewajarnya usaha ini segera dilaksanakan kerana semakin lama unsur kesenian Islami akan pupus jika tidak dibiarkan begitu sahaja.

Menurutnya, sepertimana adanya sekolah tahfiz Al-Quran di merata tempat di negara ini yang mengajar bidang tersebut dari awal pengajian, begitulah hendaknya operasi sekolah kaligrafi berjalan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika dtemui selepas majlis perasmian Pameran Al-Quran Terpanjang Di Dunia yang berlangsung di Ruang Legar Wisma KMK, dekat sini bermula 17 hingga 30 Januari.


(Haji Nasir Hamzah (baju puteh) melihat Al Quran terpanjang di dunia)

Pameran memaparkan budaya rakyat negara Asia Tengah khususnya Uzbekhistan itu dirasmikan oleh Timbalan Meteri Pengajian Tinggai, Datuk Saifuddin Abdullah, pagi tadi.

Antara yang turut hadir adalah Pengerusi KMK, Datuk Dr Hussamuddin Yaacob, Penasihat Editorial KMK, Abdul Jalil Ali dan Penakluk Kutub Utara yang juga pakat motivasi, Dr Syarifah Mazlina Syed Abdul Kadir.

Lukisan Al-Quran yang penuh 30 juzuk itu ditulis tangan sepanjang 208 meter hasil karya Pelukis dari Republik Rakyat China, Yousufu Xu Jun dipamerkan untuk tontonan orang ramai sepanjang pameran berjalan.

Manakala lukisan-lukisan dari Uzbekhistan pula dihasilkan oleh Rizamuhamedov Rahimjan Zakirovich yang telah mengadakan pameran di seluruh dunia dan kini di Malaysia.

Ketika berucap di dalam majlis perasmian, Haji Nasir juga membangkitkan isu sindrom 'pelajar bisu' kini yang terhasil dari sikap pihak berwajib yang masih terumbang-ambing di dalam mengutamakan jenis bahasa pengantar.

"Akibat dari sikap tidak tentu tentang bahasa apa yang menjadi keperluan, menjadikan pelajar kita 'tidak tahu' bercakap Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Merekalah selama ini yang menjadi mangsa," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga turut menyatakan rasa bimbangnya dengan sikap anggota masyarakat yang hanya tahu berbahasa tetapi tidak berbudi bahasa.

Kerana itulah, ujarnya, masyarakat mesti meletakkan keutamaan membina tamadun bangsa adalah baik dan melebihi daripada membina bangunan tinggi sahaja kerana dalam masa setahun sahaja negara lain mengatasinya.

No comments:

Post a Comment