Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mokhtar Hassan, 52, sambil memerintahkan hukuman berkuat kuasa, semalam.
Bapa kepada tujuh anak itu didakwa melakukan kesalahan pada April 2006 pada waktu siang di sebuah rumah di No 190, tepi Tadika Berdang Kampung Berdang, Jeli.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.
Rofiah menjelaskan mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira faktor kepentingan awam selain keadaan mangsa yang lembam.
“Sepanjang perbicaraan juga mahkamah dapat melihat kesan trauma yang dihadapi mangsa, ia menyebabkan kelahiran sedangkan keadaan mentalnya seperti kanak-kanak berusia enam tahun,” katanya.
Pada prosiding itu, Mokhtar diwakili peguam, Faizal Abdul Rahman manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas Mokhtar dan mengambil kira kepentingan awam serta mangsa yang trauma akibat perbuatan terkutuk itu sehingga melahirkan bayi lelaki kini berusia empat tahun di bawah jagaan keluarga mangsa.
Dalam penghujahan terbabit Nor Hamizah menyatakan hukuman berat perlu dikenakan bukan sekadar menghukum tertuduh tetapi memberi kesedaran kepada awam.
“Perbuatan Mokhtar serius dan mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berat ke atasnya.
“Mokhtar mengambil kesempatan terhadap mangsa yang juga jirannya selain keadaan mangsa yang mempunyai fikiran seperti budak berusia enam tahun dan hingga lahir seorang bayi lelaki,” katanya.
Faizal kemudiannya membuat rayuan kepada mahkamah bagi pihak anak guamnya sambil menyatakan tertuduh perlu menyara tujuh anak masih bersekolah dan isterinya.
Katanya, tertuduh mempunyai seorang anak yang belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dua di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Anaknya paling muda masih bersekolah darjah enam. Sepanjang perbicaraan juga, tertuduh memberi kerjasama baik dan saya mohon mahkamah mempertimbangkan perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, ketika dalam perjalanan ke lokap dia yang diiringi polis mahkamah bertindak mencuba menendang seorang juru gambar kerana merakamkan gambarnya, tetapi berjaya mengelak.SH
No comments:
Post a Comment