Sunday, March 13, 2011

Umno Terengganu 'dok rok',lemah

http://buletinonline.net/images/stories/berita44/ariffindraman.jpgKUALA TERENGGANU - Pas menganggap UMNO Terengganu tidak mempunyai kekuatan sendiri apabila terpaksa ‘membawa’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggempur kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Pas.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, beliau percaya jentera UMNO negeri ini sudah tidak berupaya untuk menembusi kubu kuat Pas lalu mengambil keputusan meminta bantuan Najib yang juga Presiden UMNO.

“Biasa Perdana Menteri tidak datang, pilihan raya kecil sekalipun hanya Timbalan Perdana Menteri yang turun padang dan ini memberi gambaran jentera UMNO tidak berupaya hingga terpaksa minta bantuan Pusat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun kata Ariffin, Pas Terengganu tidak pernah gentar atau bimbang dengan kehadiran Najib ke kawasan mereka kerana percaya pengundi di DUN itu tidak akan berubah menyokong UMNO dan BN yang banyak melakukan penyeleweng.

Malah menurut beliau, keyakinan itu juga diluahkan kerana DUN dimenangi Pas terutama Manir, Wakaf Mempelam, Batu Burok dan Rhu Rendang mempunyai kekuatan sendiri yang tidak mudah ditembusi UMNO dan BN.

“Kita tidak bimbang dan takut dengan Perdana Menteri, datanglah kita tidak menghalang kerana selain mempunyai kekuatan sendiri di DUN itu, kita juga percaya rakyat tidak akan berubah kepada BN yang banyak menindas mereka.

“Apa pun, kita percaya perkembangan ini memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sudah semakin hampir dan kita ada strategi sendiri untuk mempertahankan kerusi kita selain sasaran kerusi milik BN,” katanya.

Najib sebelum ini dilaporkan akan turun padang membantu jentera UMNO Terengganu menggempur kawasan DUN Manir dan Bukit Tunggal pada 30 April ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, dua kawasan yang diwakili pembangkang itu dipilih untuk digempur dalam usaha UMNO menakluk kembali dua DUN itu yang jatuh ke tangan Pas pada pilihan raya umum lalu.

Selain dua kawasan itu katanya, DUN lain yang dimenangi Pas iaitu Wakaf Mempelam, Batu Burok, Ladang, Rhu Rendang, Bukit Payong dan Sura juga akan turut digempur menjelang PRU-13 yang diramalkan semakin dekat.
BO

No comments:

Post a Comment