PETALING JAYA 29 APRIL : Gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diambil pada 22 Febuari lalu, jelas membuktikan beliau bukan pelaku dalam video lucah Datuk T yang dirakam sehari sebelumnya.
Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat hari ini membandingkan dua gambar itu yang menunjukkan perbezaan ketara rambut dan bentuk muka pelaku dan Anwar.
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, rambut individu dalam klip video berkenaan lebih nipis jika dibandingkan dengan rambut Anwar yang lebih tebal.
Gambar yang dicetak dari laman web Tv Selangor itu menunjukkan rambut Ketua Umum itu lebih tebal ketika hadir ke perbicaraannya pada 22 Februari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
"Saya tidak tahu kalau rambut Datuk Seri Anwar tumbuh dengan cepat," kata beliau.
Perbezaan dalam dua gambar itu mengukuhkan pendirian kepimpinan parti yang konsisten menyatakan bahawa Anwar difitnah oleh gadingan Datuk T dan juak-juak Umno untuk mendapat sokongan pengundi Melayu.
Datuk T merangkumi ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim.
Mereka menayangkan video itu pada 21 Mac kepada wartawan dan ahli politik terpilih, dengan mendakwa Anwar adalah pelaku dalamnya.
Gandingan itu kemudian mengugut untuk menyebarkan video itu jika Anwar dan isterinya Datuk Dr Wan Azizah Ismail tidak berundur dari politik.
Anwar membuat laporan polis terhadap Datuk T manakala Angkatan Muda Keadilan membuat pertuduhan qazaf terhadap tiga individu itu yang mempunyai kaitan dengan Umno.
Nik Nazmi berkata penyebaran video itu menerusi Internet dan risalah berbentuk lucah adalah cubaan terdesak Umno-BN yang cuba menjatuhkan maruah Anwar dan keluarganya.
Dalam pada itu mengulas keterangan yang diberikan Anwar kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang semalam, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menegaskan soal siasat itu hanya bertumpu untuk meletakkan beban pertuduhan kepada Anwar.
Nurul berkata pihak polis juga tidak mahu menjelaskan kenapa pihaknya tidak memberifokus kepada Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menjurus kepada pengedaran bahan lucah.
No comments:
Post a Comment