Wednesday, June 22, 2011

Ahli PAS turun 9 Julai sertai himpunan BERSIH - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar datang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

"Saya menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil," kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, sebentar tadi.

Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di Kuala Lumpur 9 Julai ini. Pengerusi Bersih 2.0 adalah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Srenevasan. Anggotanya terdiri daripada para pemimpin NG0, manakala PAS, PKR dan DAP menyokong perhimpunan itu.

Menurut Abdul Hadi, perhimpunan tersebut mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni.

Sehubungan itu, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam.

"Setiap ahli PAS yang menyertainya jangan sekali-kali membawa senjata. Saya juga suka mengingatkan ahli-ahli PAS agar jangan bermusuhan dengan pihak polis," katanya.

Sesuai dengan nama perhimpunan itu sendiri sebagai himpunan aman, sekiranya berlaku perkara tidak diingini dalam pehimpunan itu, ia bukanlah didatangkan oleh ahli-ahli PAS dan mereka yang menyertainya.

Sebaliknya, kejadian tersebut pasti dilakukan oleh pihak lain, termasuk oleh pihak Umno dan kerajaan BN, atau provokasi yang dilakukan oleh pihak polis sendiri seperti yang telah berlaku dalam siri perhimpunan-perhimpunan aman yang diadakan sebelum ini.

"Oleh itu yang perlu dikawal oleh pihak polis dalam perhimpunan itu adalah pihak-pihak yang membuat provokasi dan bukan polis sendiri yang membuat provokasi," tegasnya.

Umno dan Kerajaan BN, katanya, tidak perlu takut dengan perhimpunan tersebut kerana ia tidak sekali-kali terfokus kepada perkara-perkara tidak diingini, tetapi hanyalah terhadap pilihanraya di negara ini.

Pilihanraya di negara ini seperti yang diketahui umum tidak pernah berlangsung dengan bersih dan adil, tetapi penuh dengan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang memerintah menerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Keadaan yang sama turut dilakukan oleh Umno dan Kerajaan BN terhadap media, apabila media yang menyokongnya diberikan kebebasan untuk disebarkan dan dibaca secara meluas di segenap pelosok negara, tetapi media yang menyokong pembangkang atau PAS serta Pakatan Rakyat pula dihalang dengan pelbagai cara.

"Pilihanraya yang tidak bersih itu tidak boleh dibiarkan kerana ia pasti akan menimbulkan kemarahan rakyat. Itulah yang perlu dibantah dan itulah matlamat Perhimpunan Bersih 2.0.

"Matlamat tersebut sememangnya sesuatu yang baik sebab itulah PAS menyokong langkah yang diadakan oleh Bersih untuk mengadakan perhimpunan itu bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil," katanya.

Pihak Umno dan Kerajaan BN, tegas beliau, perlu faham perkara itu dan tidak sepatutnya menghalang perhimpunan tersebut diadakan kerana ia juga pasti memberikan kesan yang positif kepada pihak pemerintah sendiri.

"Semua negara demokrasi yang maju di dunia ini tidak menghalang perhimpunan aman yang diadakan oleh rakyatnya. Malah ia akan dikawal dan diberikan kerjasama dengan baik oleh pihak keselamatan selagi perhimpunan itu tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Malah di negara-negara demokrasi maju di dunia ini, pihak pemerintah sendiri turut mengambil manfaat dari demonstrasi aman yang diadakan bagi mendengar suara rakyat untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Umno dan Kerajaan BN juga sepatutnya bersikap seperti itu demi kepentingan negara," ujar beliau.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa perhimpunan tersebut akan mengancam mata pencarian para peniaga dan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau berkata, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas, malah perhimpunan itu sendiri akan mendatangkan keuntungan yang besar kepada para peniaga.

"Mereka yang menyertai perhimpunan itu cukup besar jumlahnya dan mereka pasti akan berbelanja. Jadi, para peniaga sendiri pasti akan mendapat keuntungan besar dengan adanya perhimpunan itu.

"Manakala sepanjang perhimpunan diadakan pula, para pelancong asing pasti akan turut tertarik melihatnya kerana ia dilakukan dengan baik dan aman sehingga mereka sendiri akan kagum dengan keamanan di negara kita.

"Tetapi jika pihak polis sendiri yang membuat provokasi, suasana itu pasti berbeza. Jadi yang mengubah keadaan itu bukannya pihak penganjur dan pesertanya, tetapi pihak polis, pihak Umno dan pihak Kerajaan BN sendiri," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment