Adakah ini orangnya ?
Usahawan Deepak Jaikishan hari ini muncul lagi dengan satu dakwaan terbaru – beliau pernah membayar wang kepada penulis blog popular Raja Petra Kamaruddin untuk menarik balik satu tulisan di laman Malaysia Today.
Masihkah BN mengharapkan bomoh dan ‘miracle’
1) BN kelihatan seperti ‘hilang fokus’
2) Kedegilan Taib akan membawa padah kepada BN
Tinggal tiga hari sebelum hari penentuan Sabtu ini, kelihatan petanda seolah-olah ada yang tidak kena dengan Barisan Nasional (BN) Sarawak – hanya disebabkan kedegilan seorang pemimpin.
Beberapa pegawai jentera BN mengakui bahawa keengganan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk menetapkan tarikh beliau akan melepaskan jawatannya dan enggan menerima hakikat bahawa perikatan itu kini berhadapan dengan cabaran sengit, kali pertama dalam sejarah, daripada Pakatan Rakyat dan hanya bergantung pada mereka dari luar kitaran politik, termasuk kuasa ghaib, dilihat sebagai memeningkan keadaan.
Taib genap tiga dekad menjadi ketua menteri Sarawak pada 26 Mac lalu.
Malah pegawai-pegawai BN juga kecewa dengan pendirian Taib yang tidak mahu menerima persekitaran bahawa beliau sebenarnya menjadi punca kepada setiap serangan negatif mengenai kepimpinan perikatan itu di Sarawak.
“Perdana Menteri menawarkan beliau jalan keluar awal untuk membantu mengatasi kerosakan dialami dan juga memberikan laluan untuk menentukan peringkatnya sendiri untuk berhenti (sebagai Ketua Menteri).
“Tetapi beliau tidak mempedulikan masa depan BN hanya kerana kepentingan diri,” kata satu sumber BN kepada The Malaysian Insider dengan merujuk kepada jaminan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak pada Ahad lalu bahawa peralihan kepimpinan akan berlaku dengan segera selepas pilihan raya negeri ke-10 ini.
Pemimpin-pemimpin BN juga yakin tidak mungkin perikatan itu akan kehilangan kuasa negeri tetapi tindakan Taib mahu terus kekal akan menyebabkan mereka keciciran banyak kawasan di Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan 71 kerusi. Pakatan Rakyat dilihat akan menang hampir 20 kerusi.
“Malah beliau juga tidak berkempen dengan efektif dan berfokus. Keengganan beliau mendengar (pandangan ramai) akan menjejaskan BN,” kata satu lagi sumber.
Pada pilihan raya negeri 2006, pembangkang hanya menang tujuh kerusi.
3) Prestasi pembangkang yang berbara dilihat akan memberikan nafas baru kepada mereka menghadapi cabaran kali ini dan kemungkinan menggugat rancangan Najib untuk memanggil pilihan raya umum tahun ini.
Sekian lama Sarawak telah dianggap sebagai negeri yang selamat bagi BN kerana Taib mengawal ketat kepimpinan dan mengetepikan suara-suara yang membangkang kerajaan negeri.
4) Bagaimanapun pendedahan demi pendedahan mengenai kekayaan keluarga beliau dan keberkesanan Internet dan Radio Free Sarawak yang membangkitkan persoalan-persoalan mengenai nepotisme dan kronisme telah berubah menjadi ancaman kepada peluang BN kali ini.
5) Pemimpin-pemimpin BN juga merasakan Taib menjadi balasan nombor satu dalam menghadapi kesan-kesan yang dilalui sekarang.
Pengundian pilihan raya negeri diadakan Sabtu ini.
“Taib sedang mencari laluan keluar yang selamat dan mahukan seorang pengganti yang akan memberikannya jaminan itu,” kata seorang pemimpin Umno kepada The Malaysian Insider.
6) “Beliau juga mahu meletakkan seorang yang beliau boleh kawal seperti Dr Mahathir memilih Pak Lah,” kata pemimpin Umno itu. Tetapi beliau tidak menamakan penggantinya.Tun Dr Mahathir Mohamad memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menggantikannya sebagai perdana menteri pada 2003.
M.i …foto dari Topeng Perak
Suasana Sarawak kini umpama Pulau Pinang sebelum kerajaan Barisan Nasional tumbang pada 8 Mac 2008, kata Liew Chin Tong, ahli parlimen Bukit Bendera merangkap Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya DAP. Bagaimanapun, beliau berkata DAP memerlukan sokongan Iban yang melebihi paras 30% untuk memenangi kesemua 15 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Hanya peralihan sokongan Iban kepada DAP akan meningkatkan peluangnya untuk memenangi 15 kerusi yang dipertandingkan, kata Liew Chin Tong ketika mengulas kenyataan SUPP bahawa seandainya DAP memenangi 15 kerusi yang dipertandingkan, maka kesemuanya dalah kawasan majoriti Cina.
"Kami memerlukan sekurang-kurangnya 25% atau 30% undi Iban, barulah kami menaruh harapan untuk mengambil 15 kerusi. Malah di Sibu, seandainya kami tidak mempunyai lebih daripada 30% undi Iban, kami gagal menang keempat-empat DUN di bawah Sibu," ulas Liew Chin Tong.
Menurut Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng yang juga calon DUN Bukit Assek, DAP memperolehi sokongan kira-kira 22% daripada pengundi Iban dalam PRK Sibu 2010, maka mereka masih memerlukan 8% untuk memenangi kesemua 15 kerusi. Ahli parlimen Sibu ini berkata, mereka mendapat sambutan yang agak baik dari kawasan orang asli, jadi tidak menolak kemungkinan bahawa sokongan terhadap DAP akan meningkat.
Sokongan Iban untuk PKR juga meningkat
Seandainya DAP mampu meningkatkan sokongan Iban kepada 30% atau lebih, maka undi kepada PKR berkemungkinan lebih daripada DAP. "Jikalau DAP mampu mendapat 30% undi Iban, maka DAP bukan hanya menang di kawasan Cina. Dan kerusi lain BN juga akan tumbang. Dengan kata lain, penafian dua pertiga atau membentuk kerajaan baru di Sarawak menjadi sesuatu yang mungkin," kata Liew Chin Tong.
Liew (gambar kanan) menambah, tempoh kempen PRN kini memasuki hari keenam, dan suasananya seolah-olah Pulau Pinang sebelum tsunami politik melanda pada 8 Mac 2008. Pada ketika itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Koh Tsu Koon tidak tahu untuk melantik siapa sebagai penggantinya, dan keadaan inilah yang sedang dihadapi Taib Mahmud sekarang.
Beliau berkata, Taib tidak tahu bagaimana untuk berundur, gagal menentukan penggantinya, malah tidak menentukan masanya walaupun digesa Perdana Menteri. Jadi, PR perlu menafikan majoriti dua pertiga atau menumbangkan BN, barulah Taib Mahmud boleh berundur dari jawatannya.
Selain itu, ketika ditanya isu Baru Bian sebagai Ketua Menteri seandainya PR menang dalam PRN Sarawak, Wong Ho Leng berkata, rancangan mereka kekal, iaitu Baru Bian tetap calon utama seandainya PR berjaya membentuk kerajaan negeri. Namun demikian, Baru Bian perlu juga menang di kawasan DUN Ba'kelalan.
"Jikapun kami (DAP) menang 15 kerusi, kita masih memerlukan 21 kerusi lagi. Jika DAP mendapat 15 kerusi, PKR 15, kami masih memerlukan enam kerusi dari PAS. Namun kemungkinan ini rendah." Wong berkata PKR perlu memenangi kerusi yang lebih daripada DAP untuk Baru Bian menjadi Ketua Menteri. Bagaimanapun, beliau enggan menyebut "mustahil", sekadar berkata, "Kami telah bersedia."
SUPP cuba raih undi simpati
Wong Ho Leng seterusnya berkata, SUPP sendiri mengakui bahawa keadaan mereka semakin meruncing, melalui iklan yang dimainkan. Wong berkata SUPP kini cuba meraih undi simpati daripada khalayak umum, termasuk menangis ketika berucap.
Wong (gambar kiri) cuba menenangkan orang Cina bahawa hak mereka tidak tergugat, walaupun calon SUPP kecundang. Beliau mengambil contoh bagaimana negeri Perak yang sebelum ini dimenangi DAP di 18 kawasan Cina. Akhirnya, tujuh EXCO keturunan Cina dilantik dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Selepas rampasan kuasa berlaku, MCA-BN yang hanya memenangi satu kerusi dijadikan EXCO keturunan Cina yang tunggal dalam kerajaan negeri BN di Perak. Dasar yang mesra kepada komuniti Cina sebelum ini tidak terjejas, kerana BN sedar bahawa komuniti Cina adalah kingmaker.
*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.
Semasa angin perubahan menggoncang Timur Tengah daripada Tunisia ke Yemen, ramai yang berpendapat bahawa perkara tersebut tidak akan berlaku di Malaysia. Kerajaan BN yang mempunyai rekod pentadbiran yang baik, dengan semua ketidakseimbangan dalam lapangan pertarungan, telah mengadakan satu pilihanraya yang kompetitif.
Namun, dengan berlangsungnya kempen di Sarawak, ia semakin jelas bahawa perubahan sedang berlaku. Pentadbiran 30 tahun Abdul Taib Mahmud yang sama panjang dengan kekuasaan regim Hosni Mubarak sudah memberi inspirasi yang tidak pernah dilihat di bumi kenyalang.
Dengan rekod jumlah pengunjung ke ceramah di seluruh pelusok negeri, pintu perubahan sudahpun terbuka, dengan Perdana Menteri Najib Razak menyuruh semua anggota kabinet turun berkempen di Sarawak yang sudah menjadi satu ujian kertas litmus negara yang penting.
Pilihanraya ke 10 Sarawak bakal menjadi medan ujian yang sebenar selepas Mac 2008 samada Malaysia bakal menyaksikan satu lagi musim bunga atau membantutkan angin perubahan.
Hilang kepercayaan terhadap pimpinan Sarawak
Terdapat beberapa persamaan yang penting antara Sarawak dan Timur Tengah selain tempoh kekuasaan kepimpinan yang lama. Yang paling ketara ialah ketidakpuashatian yang semakin mendalam terhadap pimpinan negeri di mana semakin banyak rakyat Sarawak telah hilang kepercayaan terhadapnya.
Dengan keputusan Taib Mahmud untuk bertanding dan tidak menawarkan satu pelan pemindahan kuasa yang nyata, fokus tetap terpaku kepada keperibadian dan kekayaan keluarganya. Usaha untuk menyekat laman Sarawak Report sudahpun terlalu lewat.
Dengan ramai yang masih tetap setia kepada Taib, terutamanya dari golongan Melayu/Melanau dan pada tahap yang lebih rendah di antara beberapa komuniti Iban, isu rasuah dan nepotisme telah menjadi fokus utama sehingga menjadikan ianya pusat berbanding dengan keadaan di pilihanraya negeri 2006.
Isu-isu ini telah dibincangkan di rumah panjang dan kedai kopi secara terang-terangan, dengan rujukan kepada contoh-contoh konkrit yang membolehkan isu-isu tersebut menyerap luas ke dalam masyarakat. Terdapat pengundi yang merasakan dirinya dikhianati dan ditipu sehingga ada pemimpin negara dan BN yang hilang kredibiliti mereka.
Apa yang berbeza ialah perbualan kedai kopi daripada pilihanraya yang lepas ialah skop perbincangan dan peningkatan mendadak terhadap kepercayaan mengenai “excesses” (kelampauan salah tadbir negeri), ialah persis kelampauan.
Keadaan ekonomi yang tidak baik
Masa pilihanraya negeri kali ini tidak memihak kepada BN, dan memberikan lagi kesan terhadap faktor kelampauan. Inflasi tetap pada kadar yang tinggi (lebih tinggi daripada Semenanjung Malaysia), dan kesan pertumbuhan di bawah pentadbiran Najib, contohnya Model Ekonomi Baru (NEM), tidak dirasai pada kadar yang sama.
Pembangunan di Sarawak sudah terbantut untuk beberapa tahun yang lepas, di mana pertumbuhan telah mundur dan pendapatan tidak naik-naik. Manfaat ekonomi negeri dilihat tertumpu pada tangan golongan elit Taib. Ekonomi Sarawak – selain daripada pelancongan dan pembangunan pelabuhan berkaitan dengan gas asli, secara umumnya kurang dinamik.
Bahkan harga komoditi yang lebih tinggi untuk barang-barang seperti minyak kelapa sawit tidak menetes ke bawah dalam cara yang sama seperti Semenanjung Malaysia, kerana ini didominasi oleh syarikat yang menguruskan ladang (banyak di tangan elit politik dan orang dari Semenanjung Malaysia) daripada petani kecil.
Sektor runcit pula tersepit oleh pengurangan pembelanjaan, disebabkan kesinambungan upah rendah, yang tetap berada di tahap rendah mengejutkan dalam sektor perkhidmatan dan pertanian khususnya, dengan pekerja mendapat kurang dari RM500 satu bulan di pasaran pelanggan yang boleh dikatakan sekurang-kurangnya 30 peratus lebih mahal daripada Semenanjung Malaysia.
Isu sekuriti makanan juga telah muncul sebagai masalah, dengan perubahan dalam pengeluaran pertanian dan inflasi, mengurangkan kualiti makanan, terutama di kawasan luar bandar.
Tahap kemiskinan melampau walaupun mungkin telah turun dari tahun 1980, namun pada saat ini kadar kemiskinan relatif tetap tinggi, dengan rekod kedua tertinggi di negara. Jurang antara kaya dan miskin di Sarawak telah meningkat dan bertambah lebih luas – meskipun seseorang percaya hanya beberapa laporan kekayaan elit ahli politik negeri itu – daripada Semenanjung Malaysia.
Kesulitan ekonomi dan perbezaan jauh lebih menonjol dalam pemilihan ini dan ini juga sedang dibicarakan secara terbuka.
Hilangnya rasa takut
Perbincangan terbuka ini telah mula mengubah satu lagi elemen penting yang telah menjadi sebahagian integrasi dari politik Sarawak iaitu rasa ketakutan.
Walaupun ada kebimbangan yang cukup bahawa proses pungutan suara tidak rahsia (yang difahami dalam masyarakat penduduknya lebih sedikit), ada juga kesediaan yang lebih tinggi untuk keluar dan berkumpul, dan, seperti yang berlaku di jalanan di Kaherah, dinamik ini sedang mendapat momentum.
Banyak pemilih, yang berdiam diri dalam menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak pembangkang, yang mendapat keberanian untuk menghadapi kesan sampingan dan menghadiri perhimpunan. Mereka memberikan sokongan kewangan di beberapa bandar yang menyamai sumbangan tahun pilihan raya Mac 2008.
Sementara BN yang menunjuk ke arah ketidakstabilan – mengingatkan pada pilihanraya 2001 selepas 11 September – ini tidak mempunyai kesan sama sekali, kerana pemilih di Sarawak seperti di Mesir, lebih bersifat engkar.
Kempen Internet lebih dinamik
Ini kerana sebahagian daripada alasannya berkaitan dengan sumber-sumber maklumat baru, iaitu akses pada sumber maklumat alternatif. Blog, website seperti Malaysiakini, YouTube dan banyak lagi telah menjadi sebahagian integral daripada kempen pilihanraya. Ini tidak berlaku dahulu, bahkan pada Mac 2008.
Kempen siber sangat panas, bahkan mungkin lebih panas daripada rally ceramah. Adalah penting untuk menghargai bahawa penetrasi internet di Sarawak jauh lebih terhad daripada Semenanjung Malaysia, di mana ia hanya tertumpu di bandar-bandar besar. Maklumat walaupun secara tapisan tersebar ke daerah semi-luar bandar dan luar bandar, akan tetapi secara perlahan-lahan dan tanpa impak yang besar sehingga sampai saat ini.
Ironisnya, ini adalah situasi di Timur Tengah juga, kerana perkongisan maklumat hanya tertumpu di kawasan bandar. Golongan kelas menengah dan profesional itu merupakan saluran yang amat penting dan pemimpin perbincangan, dan dinamik ini tampaknya akan bermain di Sarawak juga.
Peranan diaspora yang kritikal
Kesamaan terkini sebagai faktor penentuan melibatkan peranan penting dari diaspora (penduduk Sarawak di luar kawasan) Sarawak. Ada sekurang-kurangnya 300,000 pengundi Sarawak berada di luar negeri. Majoriti yang keluar kerana kurangnya peluang pekerjaan dan mereka tertumpu di Singapura dan Kuala Lumpur.
Mereka telah mengikuti pilihanraya kali ini dari jauh, memberikan sokongan dan kepulangan mereka untuk memilih akan menjadi faktor penting dalam membentuk keputusan di kawasan-kawasan yang sengit. Berapa ramaikah mereka yang akan kembali bakal menjadi penentuan dalam keputusan akhir.
Masalah yang sama juga bermain di dalam negeri, di mana pemilih muda di Kuching, Miri dan Bintulu akan membentuk kempen masyarakat luar bandar (apabila mereka pulang).
Pertandingan yang amat sengit
Walaupun perkara-perkara di atas menunjukkan gelombang ke arah perubahan, terdapat beberapa lagi cabaran penting yang membuatkan pilihanraya kali ini sebuah pertandingan yang paling kompetitif dalam sejarah Sarawak. Kemenangan pembangkang pada tahun 2006 dimenangi dengan margin yang sangat kecil, dan jumlah kecil keseluruhan pemilih di konstituensi membuatkan banyak pertandingan menjadi sengit.
Tiada satu pun dari kerusi pembangkang yang “selamat”, dengan sengitnya pertandingan kali ini, lebih banyak kerusi menjadi pertandingan terbuka. Hampir separuh daripada 71 kerusi di dalam ruang, dengan jumlah pemilih atas pagar yang sangat tinggi, terutama di daerah Iban dan di kerusi semi-luar bandar. Keputusan di semua kerusi akan ditentukan pada saat terakhir, termasuk setiap kerusi pembangkang.
Jentera dan kewangan BN
BN akan terus bergantung kepada kelebihan tradisinya iaitu sumber kewangan. Jentera BN – termasuk penggunaan jabatan kerajaan – bergerak dengan baik dan BN mempunyai akses kepada kawasan luar bandar, yang membolehkannya mendapat sebuah kawasan selamat – beberapa kawasan yang “pasti” menang.
Wang tersebut telahpun mengalir keluar, dengan rumah-rumah menerima RM1,000, individu RM200 dan individu yang berpengaruh sebanyak RM5,000. Sebelum ini mereka ini hanya dibayar sebanyak RM20. Apa yang akan menarik untuk dilihat adalah, jika benar wang terus menjadi kuasa penentuan, yang telah terjadi dalam pilihan raya sebelum ini, adalah berapa banyak lagi wang yang perlu disalurkan.
Penyaluran kewangan awal telah dibuat untuk menjadikan ini satu pilihanraya yang mahal. Meningkatnya penggunaan insentif kewangan untuk mendapatkan sokongan memberikan gambaran terhadap cabaran yang sedang dihadapi BN di dalam usaha memperkukuhkan dan dalam beberapa kes untuk mendapatkan kembali kesahihannya. Laungan janji pembangunan di Sarawak nampaknya tidak mempunyai kesan yang sama.
Pada peringkat ini, adalah amat sukar bagi BN untuk mengadakan pilihanraya umum.
Pertalian peribadi dan pertikaian parti
Penerusan budaya ‘perlindungan’ membezakan musim bunga yang mungkin melanda Malaysia daripada perubahan di Timur Tengah. Di Sarawak, dengan penduduk yang lebih kecil, terutama di kawasan luar bandar, ikatan mereka lebih bersifat peribadi. Ada banyak dalam masyarakat luar bandar yang mempunyai rasa kesetiaan yang kuat kepada Ketua Menteri Taib, kerana hidup dan mata pencarian mereka terikat pada pemerintahannya.
Tidak seperti pertalian akar umbi Umno di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia yang sudah musnah, hubungan peribadi adalah lebih kuat di Sarawak, dan menghasilkan kesetiaan.
Melintasi jambatan ke tempat yang tidak diketahui – terutamanya dengan ketidakpastian di dalam kepimpinan di segelintir golongan pembangkang – bukanlah langkah yang sanggup harungi oleh banyak pihak. Hal ini memberikan BN kekuatan, meskipun telahpun tercemar.
Salah satu alasan mengapa SUPP sedang menghadapi cabaran untuk mempertahankan nyawa ikannya ialah kerana parti itu telah kehilangan sentuhan peribadi di kawasan bandar. Hal ini tidak menghairankan apabila logo kempen mereka cuba untuk menggunakan daya tarikan ini, walaupun dengan kesan yang terhad sampai saat ini.
Satu lagi elemen hubungan peribadi dalam kempen Sarawak adalah hubungan peribadi calon dengan masyarakat. Calon diketahui, daripada yang bebas kepada menteri-menteri BN. Mereka sangat bergantung kepada sokongan keluarga besar dan persahabatan peribadi. Dalam komuniti kecil, isu-isu ini memainkan peranan yang penting.
Semakin banyak pertikaian dalam sesebuah kerusi tertentu, dengan calon bebas yang mempunyai pangkalan mereka sendiri dan ketidakpuasan hati untuk bertarung, ia akan meningkatkan ketidaktentuan dalam perlumbaan-perlumbaan yang sudahpun sengit. Pertikaian telah menyebabkan PKR, Snap dan PBB bertembung dalam pertandingan tiga penjuru dimana calon bebas turut bertarung. Secara keseluruhan, ini membantu BN dalam tahap yang lebih besar daripada pembangkang.
Politik etnik yang mengerikan
Apa yang membezakan kempen dari yang sebelumnya di luar mobilisasi besar pengundi adalah dari sudut etnik dalam kempen kali ini. Secara tradisinya, dinamik etnik di Sarawak hanya dimainkan di peringkat elit, dengan pertikaian kepimpinan yang jarang diperluaskan ke dalam masyarakat. Sementara itu, walaupun nasionalisme Iban juga penting, ia mempunyai kesan yang kecil pada pilihanraya negeri kali ini.
Sekarang semuanya telah berubah. Pertama, politik perkauman sedang digunakan dalam/daerah Melayu Melanau, dengan alasan bahawa sokongan mereka sangat penting untuk menentukan kedudukan komuniti tersebut dalam kepimpinan Sarawak.
Dengan foto Baru Bian daripada PKR yang diedarkan dan mesej yang halus dihantar dalam kempen, isu ‘Ketuanan Melayu’ akan mempunyai kesan.
Hujah halus yang disebut-sebut seperti orang Cina tidak setia kerana menyokong pembangkang telah menimbulkan kemarahan beberapa pemilih, yang melihat politik etnik Semenanjung Malaysia telah dibawa ke Sarawak sebagai tidak bersesuaian. Hal ini terjadi pada masa yang sama orang Kristian – Iban, Cina, Dayak dan beberapa orang Melanau – berada dalam keadaan sangat marah atas pengendalian Alkitab dan isu-isu ‘Allah’.
Agama telah lebih terjalin dengan etnik dan dalam negeri ini, yang majoritinya Kristian, soalan kebebasan beragama telah menimbulkan riak politik, seperti yang berlaku pada bulan Mac 2008 di Semenanjung Malaysia.
Lebih merumitkan dinamik etnik adalah masalah tanah, yang telah terikat pada marginalisasi yang sedang dirasai masyarakat Iban dan Dayak, dengan mengorbankan masyarakat lain dan pihak luar.
Kurangnya kemajuan dalam masalah-masalah tanah adat mempunyai kesan dalam komuniti tertentu dan masalah ini sahaja memiliki arti-penting di lebih daripada 15 kerusi – dari Ba’Kelalan ke Belaga.
Menjadikan pertandingan seadil mungkin
Yang menarik untuk diamati dalam pertandingan ini adalah apakah pilihan raya akan terus dijalankan dalam keadaan terhormat dan adil. Orang Sarawak secara tradisinya akan mengelak konfrontasi dan polarisasi politik. Sementara wang telah diterima sebagai satu norma, masalah lain seperti proses pemilihan juga telah muncul.
Pemilih inginkan, dan patut diberi, satu pertandingan yang adil. Mereka ingin suara mereka diambil kira. Ura-ura bahawa telah ada pemindahan pemilih antara kawasan mengundi, masalah dengan senarai pemilih, cabaran undi pos, kad pengenalan yang didakwa telah diserahkan untuk pembayaran bagi seseorang untuk mengundi individu tertentu, pembatalan permit polis, tekanan pada pemilik kedai untuk membolehkan perbincangan politik telah meningkatkan kebimbangan mengenai integriti dan pendapat.
Apapun yang terjadi ketika keputusan akhir datang, adalah penting bahawa proses pilihanraya ini kredibel. Ramai rakyat Sarawak berharap bahawa seruan BN untuk berkelakuan baik dalam kempen di Sarawak akan dipanjangkan ke proses pungutan undi juga.
Peranan berkecuali dan profesionalisme di antara pegawai negeri di Malaysia dalam pilihan raya Sarawak, adalah sama pentingnya dengan tindakan kerajaan di Timur Tengah.
Ujian kepimpinan Najib
Pada hari-hari terakhir kempen, PM Najib telah membuat langkah berani untuk melibatkan dirinya dalam pilihanraya kali ini. Kehadirannya di bumi Sarawak lebih daripada perdana menteri yang lain kerana ini adalah pertarungan kalah-mati untuk mendapatkan mandat beliau nanti.
Adalah penting untuk melihat apakah beliau mampu mengalihkan kecemasan terhadap kerajaan negeri dan menyalurkan undi terhadap BN.
Pola bersejarah ini sememangnya menjadi salah satu kekuatan Taib daripada pemimpin BN yang lain. Namun segalanya bertukar tempat di pertandingan kali ini. Satu perbandingan selari boleh dibuat ke Tunisia dan Mesir apabila para pemimpin lain datang untuk mengelakkan pembangkang diarahkan dari arah atas.
Target dan kemungkinan
Cabaran di kedua-dua belah pihak sangat besar kerana pertandingan kali ini mempunyai kepentingan yang lebih besar sebagaimana yang disaksikan dalam kempen yang telah berlangsung. BN, Taib dan SUPP sedang menghadapi referendum penentuan yang akan mempengaruhi masa depan mereka, dan mereka harus memegang majoriti dua pertiga dan sekurang-kurangnya kerusi masing-masing.
Bagi pembangkang, apa jua kemenangan yang melebihi 15 kerusi berbanding tahun 1987 adalah prestasi yang besar. Menghalang BN daripada dua pertiga majoriti walaupun tidak mustahil, namun perjuangan ini amatlah sukar bagi semua pihak, dan keunggulan tetap berada di pihak BN walaupun ramainya yang menyerbu ceramah pembangkang.
Setiap undi adalah penting. Musim bunga masih belum tiba ke Sarawak, tapi dengan perubahan yang berlaku di bumi kenyalang, ia masih berada dalam keadaan serba mungkin.
————————————
Bridget Welsh adalah profesor sains politik di sebuah universiti di Singapura. Tulisan asal berbahasa Inggeris disiarkan dalam laman web Malaysiakini. Terjemahan dibuat oleh Li Fook Gao (harakah)
SATOK: Barisan Nasional dijangka akan menabur jutaan ringgit bukan sahaja kepada pengundi, malah kepada calon-calon KEADILAN yang bertanding pada 4 hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mengulas laporan mengenai calon KEADILAN bagi kerusi DUN Baleh, Bendindang Manja yang ditawarkan sejumlah wang supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya itu, 16 April ini.
“Kita menjangkakan wang akan digandakan dan ia diluar kawalan kami. Pihak lawan sememangnya menggunakan taktik ini, bahkan hanya satu hari selepas penamaan pun ada diantara calon KEADILAN yang ditawarkan untuk menarik diri.
“Tapi, syukurlah setakat pemantauan kita, calon-calon masih bersama dengan rakyat. KEADILAN akan mengawal supaya tiada anasir Barisan Nasional yang akan mendekati untuk membeli calon kita,” kata Rafizi pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN, dekat Satok hari ini.
Beliau menjelaskan, sehingga kini tidak ada tanda yang menunjukkan calon-calon KEADILAN akan goyah walaupun tahu bahawa tawaran tersebut akan datang dari pelbagai pihak.
“Agak sukar sekarang ini bagi mereka menarik diri dan mengkhianati melihatkan kepada gelombang sokongan rakyat,” kata Rafizi.
Dalam pada itu, Rafizi mengingatkan kepada pengundi di Sarawak bahawa jumlah ribuan ringgit yang ditawarkan adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan 30 tahun penderitaan rakyat Sarawak.
“Mereka beri seribu kita minta dua ribu. Mereka beri dua ribu, kita minta tiga ribu.
“Justeru saya ulang kepada para calon untuk turun bertemu dengan rakyat dan beritahu mereka untuk ambil wang itu, sebab ia memang wang anda.
“Tetapi undi adalah rahsia. Jangan lepaskan peluang, kerana hanya masa inilah sahaja kita mampu buat perubahan. Jika mahukan perubahan, undilah Pakatan Rakyat,” ujarnya.
KUCHING 12 APRIL : Barisan Nasional dikatakan mula membakar sentimen perkauman dan keagamaan rakyat Sarawak dalam cubaan terdesak mencari sokongan dengan kempen pilihanraya negeri yang cuma tinggal empat hari lagi.
Kain rentang tertera "Kalau undi PKR bermakna undi negara Islam" dan "Mengundi PKR adalah mewujudkan negara Kristian" dilaporkan kelihatan di beberapa tempat di sekitar Sarawak untuk menghakis sokongan rakyat terhadap Parti Keadilan Rakyat.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini menggesa BN untuk menghentikan kempen provokasi sedemikian kerana ia adalah “taktik murahan yang membahayakan rakyat Sarawak sendiri.”
"Jika BN ikhlas tidak mahu rakyat tunduk kepada sebarang provokasi, maka BN sendiri harus berhenti menggunakan agama dan kaum untuk menakut-nakutkan mereka,’ tegas beliau.
Rafizi berkata PKR akan terus berkempen seperti biasa dengan memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan.
Pada masa sama, ceramah penerangan juga terus memberi fokus kepada kepincangan Sarawak akibat 30 tahun pemerintahan Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud.
Rafizi berkata Taib yang menegaskan beliau akan terus memerintah Sarawak untuk jangka masa terdekat, jelas tidak mahu melepaskan kerusi Ketua Menteri walaupun menerima isyarat daripada Perdana Menteri untuk berbuat demikian.
Pendirian bercanggah yang dibuat oleh dua pemimpin itu menimbulkan persoalan siapa yang memimpin kempen BN di Sarawak.
"Dia (Taib) kata: dia memerlukan dua sehingga tiga tahun untuk berundur."Kita (PKR) dari awal-awal lagi menganggap Taib tidak akan berundur kecuali rakyat mengubah pemerintah,’ kata Rafizi.
Rafizi berkata jika ikhlas, Taib harus mengumumkan tarikh baru beliau akan berundur setelah gagal melaksanakan janji untuk meletak jawatan pada tahun 2000.
Dalam pada itu, Rafizi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk berani menyiasat BN bersabit perbelanjaan parti itu pada pilihanraya negeri ini.
"Dah terlalu banyak (perbelanjaan Barisan Nasioanl) sehingga tidak terhitung oleh kami. Rakyat boleh menilai sendiri. Kalau layak untuk masuk ke Malaysia Book's of Record, harap Barisan Nasional boleh usahakan, kata beliau.
Selain itu, Rafizi turut mempersoal peranan pasukan Taib dalam menggodam Free Radio Sarawak dan sesawang Sarawak report yang menjadi sumber bertia alternatif bagi rakyat negeri ini.
Beliau membidas BN kerana mengekang sumber-sumber maklumat yang memerinchi dasar-dasar BN di bawah Taib untuk Sarawak.
"Apakah mereka (pentadbiran Taib) bertanggungjawab atas serangan sehingga melumpuhkan radio Sarawak dan sesawang Sarawak Report," tanya beliau lagi.
"Jangan mengambil tindakan keras dengan halang media-media ini," beliau menambah.
IPOH 12 APRIL : Tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mahu melakukan imbasan keselamatan (scan) ke atas beberapa ADUN Pakatan Rakyat sebelum dibenarkan masuk ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini, menyerlahkan diskriminasi pihak berkuasa terhadap ADUN pembangkang.
ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, beberapa anggota polis bertegas mahu melakukan imbasan keselamatan itu ke atas dirinya dan beberapa ADUN Pakatan lain, walau bagaimanapun gagal menjelaskan apabila ditanya dari mana datangnya arahan berbuat demikian.
” Saya sendiri nak masuk dalam Dewan Undangan Negeri tadi ditahan oleh 3 orang polis dan mereka nak ’scan’ kami, dia nak pasang alat itu dan saya tanya ini arahan siapa? Dia diam sahaja. Saya berjumpa dengan seorang pegawai SUK, saya tanya siapa yang arah polis duduk di sini dan imbas kami? Dia jawab kami tiada arahan. Maka saya tanya polis, ini arahan siapa?
"Saya nak menunjukkan bahawa kehadiran polis dekat pintu masuk dewan juga ada, di luar dewan lagi ramai.Ada trak polis, bas polis, kereta polis,motor polis," kata Nizar pada satu sidang media, di sini, hari ini.
Walaupun sidang DUN kali ini tidak dikawal ketat seperti sebelumnya, namun kehadiran anggota polis di dalam dan luar Bangunan Perak Darul Ridzuan dilihat
mencemarkan kemuliaan Dewan.
Pada hari ini kira-kira 100 anggota polis berkawal di sekitar Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Malah pengamal media juga tidak dibiarkan bebas menjalankan tugas mereka sebaliknya 'dikurung' dalam peti kaca.
” Inilah di antara ketidakyakinan mereka kepada persidangan itu sendiri walhal ini adalah titah Tuanku itu sendiri jadi biarlah media masuk. Jadi ini sepatutnya tidak berlaku,"jelasnya lagi.
Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak menambah, ADUN juga bukanlah budak sekolah apabila diwajibkan memakai tanda nama untuk memasuk ke dalam Dewan untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.
Menjelaskan mengenai spekulasi bahawa ada ADUN dari Pakatan Rakyat tidak akan menghadiri persidangan kali ini, Nizar berkata ini kerana ada ADUN yang membantu kempen gagasan itu untuk pilihanraya negeri Sarawak.
” Kalau sebelum ini ada dengar desas desus kata kami tak hadir dan tak penuh, tapi hari ini semua hadir. Kita merasakan apa yang Tuanku sebut tadi mengenai titah itu merupakan ciri-ciri yang didokong Pakatan Rakyat. Segala-gala yang dinyatakan itu berkenaan dengan beberapa perkara seperti konsep keadilan, tiada diskriminasi, ketelusan, semua itu adalah menunjukkan ciri-ciri Pakatan Rakyat.
” Sepatutnya sebahagian besar dari kami berada di Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu tapi oleh kerana mesyuarat awal 5 April telah ditunda oleh Zambry (Menteri Besar Perak) dan speaker, maka kami tak dapat nak hadir. Cuma saya terpaksa beritahu rakan-rakan Pakatan Rakyat supaya selepas sahaja perasmian walaupun dua,tiga dari kami berada di Kuching tapi mereka terpaksa balik juga malam tadi sampai untuk menghadiri persidangan perasmian hari ini,"tambahnya lagi.
Pakatan Rakyat Perak sebelum ini mengeluarkan kenyataan meminta jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (Perak) bebas daripada kawalan polis.
KUALA LUMPUR 12 APRIL : Sekumpulan pekerja Utusan Melayu hari ini memfailkan tuntutan bersabit pembayaran bonus terhadap mereka oleh syarikat akhbar milik Umno dan mendakwa syarikat berkenaan turut menyelewengkan butiran keuntungan mereka bagi mengelak memberi bonus sejak 2009.
Utusan didakwa memindahkan lebih RM70 juta kepada beberapa anak syarikatnya dan menyatakan kerugian dalam laporan tahunan syarikat dan laporan audit serta kewangan lembaga pengarah pada tahun yang sama.
Menurut laporan audit tersebut, pada 2009, Utusan mengalami kerugian sebanyak RM 26.1 juta.
Namun menurut peguam mereka Ravindran Murugavell, terdapat laporan yang menyatakan jumlah yang diberikan kepada anak syarikat bernilai lebih RM 76 juta.
Jelas Ravindran, tindakan ini amat tidak adil kepada pekerja Utusan sendiri.
"Para pekerja menyatakan Utusan Melayu sebenarnya mendapat keuntungan yang tinggi, bagaimanapun Utusan menyatakan 'Kumpulan Utusan memang mendapat keuntungan, tetapi Utusan tidak. Tetapi bila kami meneliti akaun terdapat berjuta ringgit telah di'pinjam'kan kepada anak syarikat.
"Hal ini ibarat ibubapa membenarkan anak tiri mereka berparti dan berhibur sedangkan anak kandung mereka dibiarkan tanpa dibela. NUJ merasakan hal ini tidak adil dan bertindak ke mahkamah," kata beliau kepada para wartawan di mahkamah.
Tuntutan didengar oleh Pengerusi Mahkamah Industri Malaysia Susila Sithamparam di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur hari ini.
Laporan audit tersebut menyatakan sebanyak RM 37.5 juta diberi kepada 'Utusan Media Sales' (UMES), RM 17.1 juta kepada 'Utusan Printcorp Sdn Bhd', RM 3.4 juta kepada Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd, RM 5.5 juta kepada Utusan Sight & Sound manakala RM 5.4 juta lagi kepada PT. Sinar.
Utusan Melayu merupakan antara syarikat akhbar terbesar di Malaysia dengan edaran lebih 250 ribu naskah sehari pada 2004 dan menerbitkan akhbar aliran utama negara ini seperti Utusan Malaysia dan Kosmo.
Namun jumlah edaran akhbar Utusan Malaysia merudum dari 213,000 kepada 169,000 (-21%) dalam tempoh 2005-2009.
Hata Wahari yang juga wartawan kanan Utusan Melayu berkata demikian kerana Utusan sering melaporkan berita berat sebelah namun kini menghadapi inkuiri dalaman dari pihak syarikat itu dan mungkin bakal dibuang kerja.
Bagaimanapun, Ravindran tidak mengulas lanjut kemungkinan tindakan susulan yang bakal dilakukan kerana keputusan mahkamah yang hanya akan diketahui awal bulan hadapan.
"Saya tidak dapat komen banyak kerana kes sedang berjalan. Pengendali kes ini Puan Susila adalah sangat berpengalaman. Sekarang kita hanya tunggu keputusannya," kata beliau.
Menurut seorang wakil pekerja yang tidak dinamakan, pekerja Utusan Malaysia sepatutnya menerima bonus dua bulan setengah setiap tahun jika Utusan mendapat keuntungan.
Beliau berpendapat 'pihak atasan' menyembunyikan hal tersebut dan membolot sendiri keuntungan itu tanpa memikirkan nasib pekerja khususnya wartawan.
"Apa yang ditulis (dalam laporan audit) itu hanya alasan saja. Mereka yang ambil duit itu," katanya kepada TV Selangor.
Seorang lagi wakil Utusan menyatakan perkara ini berlaku selepas pertukaran jawatan tertinggi Kumpulan Utusan pada November 2008.
Beliau menyatakan sanggup menghadapi risiko ini bagi membela nasib mereka yang ibarat di'anaktiri'kan syarikat sendiri.
"Tak logik anak syarikat dapat bonus, kita tak dapat bonus," kata beliau.
Seorang lagi menyatakan kesanggupan untuk berhadapan dengan pihak pengurusan yang terbabit ke peringkat lebih tinggi termasuk di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Persekutuan jika Kumpulan Utusan terus membiarkan hal ini berlaku.
"Kita tengok jika mereka nak bawa kes ini ke Mahkamah yang lebih tinggi,"katanya.
BETING MARO, 12 April: Akibat sebatang tiang elektrik terbalik, hampir keseluruhan penduduk kawasan di Dun Beting Maro terpaksa bergelap malam tadi. (Gambar: Abang Mat melawat mangsa yang cedera) Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang semalam apabila van yang dinaiki Sulaiman bersama anak saudaranya Bihai Haji Din hilang kawalan sehingga kenderaan tersebut terbalik dan melanggar sebatang tiang elektrik sebelum terjatuh ke dalam parit. |