Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, "Tawaran Jingga" itu adalah komitmen bersama DAP, PKR dan PAS sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mengulangi iltizam politik itu pada Majlis Sumbangan RM100 Kepada Warga Emas Peringkat Seberang Perai Utara (SPU) anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"Dengan lebihan kewangan sungguhpun sumber kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) terhad, kita menyumbang RM100 (kepada warga emas) tiap-tiap tahun.
"Sekiranya berlaku perubahan di Putrajaya, 2.1 warga emas di tanah air ini tiap-tiap tahun akan terima RM1,000 daripada Kerajaan Pusat seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"RM100 tetap diterima oleh Kerajaan Negeri 'berjiwa rakyat' (Pulau Pinang) ini, tambah RM1,000 lagi hasil sumbangan kerajaan pusat," ujar beliau tengah hari tadi di depan hampir 500 hadirin di Dewan Besar Sungai Dua dekat Parlimen Tasek Gelugor.
Hadir bersama pada majlis itu, Lim Hock Seng (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan), A Tanasegaran (Adun Bagan Dalam) dan Jusni Ismail (Pegawai Daerah SPU).
PenangInsight.com difahamkan, warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) di negeri berkenaan yang mendaftar dengan Kerajaan Negeri menerima sumbangan RM100 tiap-tiap tahun
Itu, tidak termasuk sumbangan "one-off" anak baru lahir RM200 bermula sejak tahun lepas berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM100 sahaja.
Sehingga Mac lepas, kira-kira 7,079 ibu tunggal telahpun mendaftar dengan Kerajaan Negeri untuk menerima sumbangan.
Guan Eng berkata, 6740 ibu tunggal sekitar SPU, Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) akan menerima sumbangan pada hari ini dan esok.
Dalam perkembangan yang sama, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP mengecap tindakan Menteri Muda Pertanian Sarawak, Datuk Mong Dagang yang didakwa menyekat bantuan kerajaan kepada Frusis Lebih dari Entualang Entawa dekat Seri Aman kerana OKU itu tidak dikesan tidak menyokong aspirasi Barisan Nasional.
"Apabila kita buat pembayaran, kita tak kira bangsa, kita tak kira agama dan yang paling penting kita tak kira latar politik asalkan mereka ini tinggal di negeri ini.
"Perbuatan (Menteri Sarawak) itu zalim, tak patut OKU (Frusis) itu dilayan demikian.
"Sebagai kerajaan Pulau Pinang berjiwa rakyat, kita akan tolong (sumbang) tiap-tiap tahun, bukan pada musim pilihan raya sahaja," ujarnya.
No comments:
Post a Comment