PELABUHAN KLANG 28 JULAI : Kerajaan Negeri bersetuju mengazetkan
Kampung Sungai Sireh Utama, Tambahan dan Tambahan Dua meliputi kawasan
seluas 63.5 ekar sebagai tanah rezab Melayu di Selangor.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan
tersebut diambil hasil perbincangan dengvan pelbagai pihak terlibat
serta bagi meningkatkan pemilikan tanah rezab Melayu untuk rakyat di
Selangor.
“Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan rezab tanah Melayu
ini dan kita telah berbincang dengan Ketua Kampung dan juga Penolong
Pegawai Daerah termasuk pemimpin masyarakat. Mereka berpendapat untuk
menentukan suasana kampung itu terus kekal lalu mereka bersetuju supaya
tanah di kanpung ini dijadikan tanah rezab Melayu.
“Ini juga menunjukkan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)
walaupun tanah ini diberikan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk tanah
bebas dari segi sekatannya tetapi kita telah tunjukkan usaha kita itu
bagi menjadikannya sebagai tanah rezab Melayu,” katanya dalam sidang
media selepas majlis penyampaian tanah kerajaan dan Notis 5A kepada
penduduk Kampung Sungai Sireh Utama, Kampung Sungai Sireh Tambahan dan
Kampung Sungai Sireh Tambahan Dua di sini hari ini.
Menteri Besar berkata, pemberimilikan tanah melibatkan seramai 195
orang di ketiga-tiga kampung itu bukan sekadar melibatkan tanah milik
kerajaan tetapi juga tanah dimiliki Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Katanya, hasil perbincangan dengan pihak Pejabat Tanah dan Daerah,
KTMB dan ketua kampung yang mana semua nama penerima dapat diselaraskan
seterusnya masalah pemberimilikan tanah sejak lebih 15 tahun lalu dapat
diselesaikan.
Sementara itu, Miron Ipan, 80, seorang Pesara KTMB ketika ditemui
melahirkan rasa syukur berikutan hasrat memiliki geran tanah di kampung
itu termakbul juga sejak menunggu lebih 15 tahun lalu.
Beliau yang menetapkan di Kampung Sungai Sireh Tambahan Dua bersama
isterinya, Siti Maimunah Redzuan,79, menjelaskan pelbagai usaha dan
permohonan dilakukan sebelum ini tetapi tidak berhasil.
“Pemberian geran tanah pada hari ini amat bermakna dalam hidup saya
dan keluarga kerana kami menunggu saat ini begitu lama. Saya gembira
sangat-sangat bila ia jadi kenyataan,” katanya.
Bagi Shahrizanni Zaman, 33, yang mewakili bapanya, Ahmad Akhirzaman
Hamid, 60, berkata keluarganya menetap di kampung itu sejak kira-kira 30
tahun lalu.
“Kami berusaha beberapa kali memohon pemilikan tanah ini tetapi
gagal. Maklum balas diterima mengatakan kedudukan tapak tanah kami masuk
ke kawasan pemilik lain. Bagaimanapun ia berubah dalam beberapa tahun
kebelakangan ini bila permohonan kami diberi perhatian dan akhirnya
diluluskan.
“Kami gembira dengan keputusan ini yang menandakan Kerajaan Negeri
bertindak adil tanpa mengambil kira fahaman seseorang rakyat berhubung
politik,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu, Exco Kerajaan Negeri, Iskandar Abdul
Samad dan Dr Halimah Ali, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ahli
Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pegawai Daerah Klang,
Datuk Bakhtiar Hussin.
No comments:
Post a Comment