SHAH ALAM - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Exconya,
Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak dinasihatkan supaya menjaga kepentingan
rakyat di negeri itu dan jangan "sibuk" kononnya prihatin dengan rakyat
Selangor.
Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin
Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, mereka sepatutnya sedar bahawa
Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) itu mengorbankan
kepentingan rakyat Pahang, selain menyebabkan pencemaran alam sekitar.
Katanya, projek yang melibatkan melibatkan pembinaan Empangan Klau,
Stesen Pam Sungai Semantan di Pahang menyebabkan beribu hektar Hutan
Simpan Kekal Lakum terpaksa ‘ditenggelamkan’.
“Akibatnya, spesies habitat hidupan liar di sana pupus. Turut
ditenggelamkan ialah beberapa tanah rancangan di Felda Mempaga dan Felda
Lembah Kelau.
“Turut terkorban, perkampungan Orang Asli suku Temuan di Bentong dan
Orang Asli Sungai Temir yang juga terpaksa ditenggelamkan bagi pembinaan
Empangan Klau tersebut,” katanya sebagai mengulas isu projek PPAMPS
yang disiarkan Sinar Harian edisi Pahang bertajuk ‘ Jangan Politikkan
Isu Air’ dan ‘Kerajaan Negeri Serius Kaji Perjanjian’, bertarikh 28
September lalu.
Sebelum ini Adnan dilaporkan berkata, Kerajaan Pahang serius mengkaji
perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah ke Selangor dan
tidak teragak-agak membatalkan perjanjian itu sekiranya Kerajaan
Selangor masih berdegil tidak membenarkan pembinaan Loji Rawatan Air
Langat 2 (Langat 2) diteruskan.
Xavier mendakwa, beribu-ribu peneroka Felda akan hilang punca
pendapatan, hasil ladang kelapa sawit mereka dalam proses pengambilan
dan lebih 13,000 masyarakat Orang Asli hilang tempat tinggal dan sumber
pencarian dari hutan kekal tersebut.
“Pembinaan empangan ini adalah pemusnahan alam sekitar yang dahsyat dan
dikritik hebat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta alam
tempatan mahupun dari luar negara,” katanya.
Dalam pada itu beliau menegaskan, Selangor tidak menghadapi masalah air
kritikal, sebaliknya Kerajaan Negeri berpendapat bahawa Kerajaan
Persekutuan yang sebenarnya berada dalam keadaan ‘kritikal’ menyiapkan
tiga ‘projek mega’ mereka, melibatkan Empangan Klau dan Stesen Pam
Sungai Semantan di Pahang serta Loji Rawatan Air Langat 2 di Selangor,
yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM12 bilion.
“Kita akan menulis surat dan menghantar delegasi dalam masa terdekat ke
Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur bagi menyampaikan notis bantahan kepada
Kerajaan Jepun di atas penglibatan mereka dalam memberikan dana pinjaman
sebanyak RM3 Bilion melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA)
bagi projek PPAMPS.
“Kita ingin jelaskan bahawa Jepun telah diberikan maklumat salah
tentang keperluan projek tersebut. Projek tersebut sebenarnya bertujuan
memberikan kerja kontrak dan keuntungan kepada syarikat kroni, bukannya
untuk kepentingan rakyat Selangor,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment