Tuesday, October 2, 2012

SUHAKAM !!!Tiada salah dana asing bagi pertahan hak asasi

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjxdnaNDhDvjd5bHieSKsNOKw5cepUphQm2dBd4eHpXK9ubLIlu_71f-Bp3BXdey0weHWpsk-GZCXIAxeuALiC5iFV44OyopQpiheXewopH_wy7pDHvfCe0U1TlhPOYcNhYJw4kAo3pduDD/s400/suhakam.jpgSuruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan bahawa tiada salahnya bagi badan pemantau hak asasi manusia, Suaram, yang disiasat oleh pihak berkuasa, menerima dana asing jika ia untuk mempertahankan hak asasi manusia.

Suhakam, tegas Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam, ingin menekankan bahawa kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan adalah pokok kepada hak asasi manusia, yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan diperuntukkan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

"Deklarasi 1998 PBB mengenai Hak dan Tanggungjawab Individu, Kumpulan dan Organ Persatuan untuk Mempromosi dan Melindungi Hak Asasi Manusia Diiktiraf Secara Universal dan Kebebasan Asas (dahulunya dikenali sebagai Deklarasi Sejagat mengenai Pejuang Hak Asasi Manusia) antara lain, mengiktiraf pejuang hak asasi manusia, yang mana Suaram adalah salah satu daripadanya, dan aktiviti-aktiviti mereka yang sah untuk melindungi dan mempromosi hak asasi manusia termasuk penerimaan dana dari luar negara untuk mempertahankan hak asasi manusia.

"Pejuang hak asasi manusia harus dibenarkan untuk berfungsi secara bebas, beroperasi di persekitaran yang berupaya dan selamat, dan mempunyai kebebasan untuk menentukan undang-undang, struktur dan aktiviti mereka," kata Hasmy dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya itu turut melahirkan kebimbangan dengan cara bagaimana "penyiasatan dijalankan, publisiti dibuat dan dilaporkan mengenai urusan dan akaun Suaram".

Katanya, Suhakam mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk meningkatkan pembaharuan yang lebih demokratik sebagai respons kepada pertumbuhan tuntutan kebebasan sivil yang semakin bertambah.

Oleh itu, Hasmy menggesa semua pihak yang terlibat dalam penyiasatan ini supaya bertindak bukan sahaja menurut undang-undang dan peraturan tetapi selaras dengan semangat dan niat jaminan perdana menteri itu.

Dalam hal ini, katanya, Suhakam menyeru kerajaan agar terus mendukung dan mempromosi hak asasi manusia melalui, antara lain, perkongsian positif dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk perniagaan dan masyarakat sivil yang akan menyumbang ke arah memastikan tadbir urus demokrasi yang kukuh di negara ini.

"Ini adalah penting dan amat selaras dengan hasrat yang disuarakan perdana menteri untuk menggerakkan negara ke hadapan ke arah menjadi sebuah negara demokrasi yang berfungsi sepenuhnya yang memerlukan dasar-dasar dan amalan hak asasi manusia domestik yang mematuhi sepenuhnya prinsip-prinsip dan norma-norma yang diterima secara universal.

"Ini akan menggambarkan Malaysia dengan baik sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menyumbang secara positif untuk meningkatkan imej antarabangsa sebagai negara yang menghormati hak asasi manusia.

"Suruhanjaya akan terlibat dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk jabatan dan agensi Kerajaan dan badan-badan penguatkuasaan lain untuk mendapatkan maklum balas penting mengenai isu itu," tegasnya.

No comments:

Post a Comment