IPOH: PAS Negeri Perak terkejut dikhabarkan bahawa
beberapa aset penting negeri seperti Rumah Perak di Batu Ferringhi,
Pulau Pinang telah dijual.
Koordinator Jawatankuasa Strategik
dan Isu PAS Negeri, Salman Saleh berkata, PAS ingin mendapatkan
kepastian daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
tentang perkara tersebut.
“Adakah benar rumah tersebut telah
dijual kepada ‘orang’ Datuk Seri Zambry?,” soal beliau ketika ditemui
Harakahdaily di Pejabat PAS Perak, dekat sini.
Menurutnya, persoalan juga timbul jika ianya benar, kenapa Kerajaan Negeri menjual aset Perak itu dan apakah rasionalnya.
“Adakah
Kerajaan Negeri Perak pimpinan Datuk Seri Zambry menghadapi masalah
kewangan untuk menampung kos pentadbiran negeri sehingga terpaksa
menjual rumah tersebut?
“Mungkinkah kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat? ,” soal beliau.
Beliau
yang juga Setiausaha Pemuda PAS Negeri menyoal, adakah kerajaan negeri
sudah membeli rumah yang baru bagi menggantikan rumah yang telah dijual
itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, persoalan-persoalan ini
menuntut penjelasan segera dari Zambry kerana ianya melibatkan maruah
dan integriti kepimpinan kerajaan negeri.
Katanya, PAS Perak
juga mahu penjelasan siapakah pembeli rumah tersebut dan apakah
hubungannya dengan Zambry jika ianya telah dijual.
“Mengapakah
tindakan untuk menjual Rumah Perak tersebut diambil dan apakah faktor
sehingga memaksa penjualan rumah tersebut yang boleh dianggap amat
bernilai dan berstrategik di Pulau Pinang," katanya.
No comments:
Post a Comment