PEMIMPIN hebat, berfikir melangkaui zaman hingga seringkali pengikut di era itu gagal menanggapi
gagasan lontarannya. Dengan perjalanan masa, generasi baru menikmati
hasil, mengenang agungnya buah saranan itu.
Sedang ketika, batang
tubuh tuan pemimpin itu telah tiada di dunia, bersemadi di pusara nan
hening.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak saat
dilontar pertanyaan mengenai Almarhum nyata terkesima mengenang tokoh
yang membawanya pulang ke Kedah itu.
Bagi Ustaz Azizan, Almarhum adalah
seorang negarawan dan ahli politik yang berpandangan jauh.
“Masa
ditubuhkan Gerak, PAS seolah-olah keseorangan, tidak ada yang bersama
PAS,” imbasnya menggamit memori itu.
Katanya, apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat, Almarhum adalah
orang yang paling cepat menemui Anwar, di mana sikap ditunjukkan itu
telah membuka kepada hubungan dan penyatuan bersama NGO lain.
Cerita Ustaz Azizan, pertemuan dengan Anwar itu menimbulkan rasa tidak
senang hati pimpinan PAS Kedah, namun sekadar dijawab Almarhum, “Takut
tak sempat jumpa kita nanti.”
Malah, banyak hal yang dilontarkan kepada Almarhum, beliau hanya diam
mendengar hingga tidak dapat dipastikan dia terima atau menolak.
Selepas beberapa ketika barulah Ustaz Fadzil akan membicarakan perkara
tersebut.
Antara arahan yang tidak dapat beliau lupakan adalah kenyataan Almarhum supaya setiap jalan dan lorong diwujudkan Cawangan PAS.
“Alhamdulillah, PAS hari ini sudah ada di rata-rata lorong dan jalan,
situlah datangnya kekuatan kita. Dulu kita ada dua Cawangan, Umno ada 20
Cawangan, nak lawan macam mana? Macam tentera, kita ada dua platun,
musuh ada 20 platun. Jadi, Ustaz Fadzil dah pesan suruh perkemas yang
itu,” ujar Ustaz Azizan.
Bagi Yang Dipertua PAS Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar, pemikiran politik
sangat hebat Almarhum adalah mencetuskan tahaluf siyasi yang terhasil
dari usaha Almarhum mencungkil segala khazanah dalam fiqh Islam.
“Cetusan ini termasuk fiqh siyasah yang tidak terpisah dengan fiqhul
dakwah di mana kita sebut siyasatud dakwah (politik dan dakwah). Dari
sinilah hingga menghasilkan satu perubahan dalam pemikiran politik
masyarakat pelbagai kaum di negara kita untuk melihat kemampuan PAS dan
Islam itu sendiri,” ujarnya penuh teruja.
Jelas Mahfuz, walaupun tahaluf siyasi telah dibicarakan sejak dari
zaman sebelum Almarhum menjadi Presiden PAS, namun di masa Almarhumlah
cetusannya itu mewarnai politik negara.
Dalam pengalaman beliau melihat, terdapat dua peristiwa umum khususnya
orang-orang PAS begitu marah kepada Ustaz Fadzil di mana ketika mereka
marah itu, mereka tidak melihat kepada hasilnya di masa depan.
Pertama, apabila Ustaz Fadzil begitu terbuka menerima untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika itu.
“Orang marah beliau menerima jemputan itu dan gaya ucapannya dilihat hambar.
Tetapi para ilmuwan dan ahli fikir melihat sebaliknya betapa penyertaan
dalam debat itu dengan penuh persiapan dan melontarkan saranan-saranan
hebat.
Akhirnya, ulasan-ulasan para cendekiawan inilah mempengaruhi
penerimaan masyarakat umum terhadap Almarhum,” terang Mahfuz penuh
kagum.
Perkara kedua menjadi kemarahan umum kepada Almarhum ujar Mahfuz,
adalah pertemuan Almarhum dengan Anwar Ibrahim. Sedangkan Ustaz Fadzil
katanya, mengunjungi Anwar atas persahabatan dan anak murid.
Tetapi dari pertemuan itulah kata Mahfuz, menjadi titik gerakan politik
hingga tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) di mana semua itu
mengubah landskap politik negara hingga hari ini.
Begitu juga porak-peranda yang berlaku dalam Umno kini juga katanya, adalah hasil tangan Ustaz Fadzil melalui penubuhan Gerak.
Mahfuz juga melihat lontaran idea ‘Memasyarakatkan PAS’ yang
diterbitkan Almarhum Ustaz Fadzil sebagai berani kerana menentang arus
politik sentimen kepartian.
Dengan lontarannya itu ujarnya, Ustaz Fadzil bukan sahaja telah
mengajak ahli PAS seluruhnya agar tidak mengasingkan diri daripada
masyarakat, malah menanam dalam pemikiran masyarakat bahawa tanpa PAS
kehidupan mereka tidak terbela.
Manakala Ketua Ulama PAS Kedah, Sheikh Mohamad Abdullah pula menyifatkan Almarhum sebagai pemimpin yang sukar dicari ganti.
“Kita pernah temui ramai pemimpin, tapi kita dikurniakan seorang
pemimpin seperti Ustaz Fadzil Noor yang susah dicari dalam kepimpinan
khususnya di Malaysia ini,” tuturnya.
Beliau yang pernah bersama Almarhum sejak tahun 1986 dalam Dewan
Undangan Negeri Kedah juga menyifatkan Ustaz Fadzil sebagai tokoh yang
sukar dicabar lawan.
Bagi Sheikh Mohamad, beliau kagum melihat kegigihan Almarhum walaupun
keadaan kesihatan tidak mewajarkan Almarhum untuk berbuat sedemikian.
“Menunjukkan Almarhum sangat amanah terhadap tanggungjawabnya juga
bukti pengorbanannya pada perjuangan parti berbanding peribadi. Bahkan,
dalam banyak keadaan, Almarhum lebih mengutamakan perjuangan berbanding
keluarga.
“Dalam pertemuan, perjumpaan dan mesyuarat, Almarhum sangat sabar
menerima pandangan dan kritikan, malah mengikuti segala yang
dilontarkan padanya dengan penuh teliti sebelum memberikan ulasan.
Demikian itu, perkara yang lahir kemudian daripada Almarhum tidak
menyinggungkan perasaan sesiapa,” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak
dan mengalirkan air mata.
Bagi Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya pula, kejayaan besar
pemikiran Almarhum Ustaz Fadzil adalah terhadap pendidikan, dari
pra-sekolah, Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Islam hinggalah
kolej.
Menurutnya, hasil cetusan idea Almarhum bukan sahaja disambut dalam
parti untuk dilaksanakan dengan wujudnya sekolah-sekolah di peringkat
kawasan, bahkan idea itu mencabar kerajaan BN Kedah pada ketika itu.
“Contohnya, bila idea itu melahirkan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum,
BN pun mewujudkan cawangan Maktab Mahmud di semua daerah.
Semua ini berjalan, memberi untung kepada perkembangan Islam. Bila kita
ambil alih kerajaan ini, semua entiti ini kini berada di bawah
pentadbiran (parti dan kerajaan) kita,” terangnya.
Dalam sudut politik pula ujarnya, pandangan Ustaz Fadzil sangat jauh melangkaui pemikiran ketika itu.
Katanya, sepanjang Almarhum menjadi Presiden, kerjasama politik atau
tahaluf siyasi dicetuskan yang kemudiannya melahirkan Barisan
Alternatif dan kini Pakatan Rakyat.
Komponen telah dilihat sebagai pesaing kepada BN, malah, rakyat sudah
memperakui untuk wujud sistem dua parti yang lahir hasil cetusan
Almarhum.
“Demikian itu, ungkapan yang selalu disebut Almarhum bahawa Umno-BN
sahaja boleh memerintah adalah khurafat, tidak sekadar kefahaman itu
sebagai khurafat, tetapi beliau telah menggantikan dan memberi
alternatif dengan cetusannya itu,” jelas beliau.
Menurut Ustaz Ahmad, dalam ucapan Almarhum sekitar tahun 1997, beliau
pernah meminta supaya di setiap taman perumahan, kampung dan lorong
mesti ditubuhkan Cawangan PAS.
Cetusan ini ujarnya, bukan berada di awangan, tetapi berpijak di bumi
realiti yakni hasilnya dilihat melalui Himpunan Hijau Ke Putrajaya baru
ini.
“Himpunan itu bukan ada iklan terbuka menarik semua rakyat, tetapi ia
himpunan jentera parti semua peringkat. Kehadiran ini hasil kekukuhan
organisasi hasil cetusan Almarhum,” katanya penuh bangga.
Bagi Ketua Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali,
Almarhum banyak menanamkan keyakinan kepada ahli bahawa PAS akan
mencapai kemenangan di masa depan.
Semangat itu katanya, sentiasa diulang ingat dan diperteguhkan kepada ahli PAS.
Malah ujarnya, Ustaz Fadzil juga selalu menegaskan bahawa kerajaan yang zalim tidak akan kekal lama dan pasti berkubur juga.
“Sekarang Almarhum telah tiada, tetapi hari ini hal yang beliau katakan
telah menjadi nyata, PAS sedang memerintah di Kedah,” jelas Siti Ashah.
IZWAN ABDUL HALIM