Beberapa
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno Kedah berhati-hati dalam
menyokong Mukhriz Mahathir sebagai calon menteri besar jika parti
tersebut memenangi negeri jelapang padi itu dengan mengatakan pengalaman
di peringkat pusat atau faktor keturunan bukanlah jaminan kepada
kejayaan.
Beberapa ADUN yang dihubungi The Malaysian Insider mengatakan
Mukriz tidak mempunyai kelebihan kerana beliau anak kepada bekas
Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, atau sebagai timbalan menteri
perdagangan antarabangsa dan industri, sambil menegaskan mentadbir
negeri di utara tersebut berbeza dengan pentadbiran di peringkat pusat.
“Status
sebagai seorang anak mantan perdana menteri bukan sesuatu jaminan
kepada beliau,” kata ADUN Bukit Kayu Hitam, Ahmad Zaini Japar kepada The Malaysian Insider.
“Pengundi sekarang banyak mendapat maklumat dan mereka sudah bijak untuk membuat pilihan,” tambah beliau.
Selain
Mukhriz, anak kepada bekas perdana menteri yang aktif berpolitik adalah
Najib dan sepupunya Hishammuddin Hussein.
Apabila
ditanya sama ada Mukhriz yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan
Umno Kedah mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk memimpin Kedah
jika BN kembali merampas negeri tersebut daripada PAS, Ahmad Zaini
berkata corak politik dan pentadbiran pusat dan negeri adalah sesuatu
yang berbeza.
“Tidak
semestinya memegang jawatan di Pusat akan menjamin beliau dapat
mengendalikan pemerintahan negeri, corak kedua-duanya berbeza sekali,”
katanya.
Mukhriz
menafikan semalam pencalonannya sebagai menteri besar Kedah, mengatakan
BN perlu memenangi negeri tersebut dalam PIlihan Raya 2013 sebelum
membincangkan mengenai jawatan tersebut.
“Kita
nak kena menang negeri itu dulu, kemudian baru cakap siapa yang
dilantik ... saya khuatir cakap-cakap ini macam tidak matang dan
berunsur spekulatif kerana tumpuan kami adalah untuk menangkan negeri
itu,” katanya sambil menambah BN mempunyai peluang cerah untuk merampas
kembali negeri jelapang padi itu.
Dalam
pada itu, seorang lagi ADUN Guar Chempedak, Ku Abdul Rahman Ku Ismail
tidak menyatakan secara terbuka membantah Mukhriz sebagai calon menteri
besar namun berpendapat perkara tersebut sebagai pelik memandangkan
secara tradisinya pengerusi perhubungan Umno negeri dan pengerusi BN
negeri kebiasaannya diangkat sebagai calon.
“Tapi,
tidak tahulah jika Perdana Menteri Najib Altantuya mahu membuat
kejutan, keputusan muktamad masih ditangannya,” kata Ku Abdul Rahman
kepada The Malaysian Insider.
Ahmad
Bashah Md Hanipah dipilih menggantikan bekas Menteri Besar, Mahdzir
Khalid sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kedah selepas BN tumbang
dalam Pilihan Raya 2008 dan Mukhriz dilantik sebagai timbalan.
ADUN
Kuah, Nawawi Ahmad yang berada dalam jawatankuasa badan perhubungan
Umno Kedah mengatakan beliau mengambil sikap untuk tidak memihak kepada
mana-mana pihak, tetapi berkata ahli Umno setia kepada Ahmad Bashah.
“Susah
untuk komen saya sama ada siapa yang berkelayakan untuk menjadi menteri
besar. Kedua-duanya mempunyai kebolehan dan kemampuan masing-masing,
tapi apa penting ialah setia dengan kepimpinan sedia ada dan pastikan
Kedah dapat ditawan semula,” katanya.
Khabar
angin tentang pencalonan Mukhriz sebagai calon menteri besar timbul
beberapa tahun lalu, dengan Mahathir secara terbuka menyatakan sokongan
kepada anaknya jika tercalon.
Malahan
kajian yang dilakukan oleh Universiti Utara Malaysia pada Julai lalu
terhadap 10,800 responden mendapati 69 peratus menyokong Mukhriz sebagai
menteri besar berbanding 12 peratus yang menyokong Ahmad Bashah.
Sumber
mengatakan kecenderungan kepada Mukhriz mungkin disebabkan statusnya
sebagai anak Dr Mahathir dan lebih berpendidikan berbanding Ahmad
Bashah.
Mereka
juga memberitahu Mukhriz bakal bertanding di Ayer Hitam atau Seputeh
bagi kerusi DUN, dan untuk mengelakkan beliau tergelincir terus daripada
politik jika terdapat sabotaj, kerusi parlimen Jerlun juga bakal
dipertahankan.
Pada
Pilihan Raya 2008, BN memenangi 14 daripada 36 kerusi negeri manakala
Pakatan Rakyat pula memenangi 22 kerusi dengan PAS menawan 16 daripada
keseluruhan kerusi tersebut.
BN
hanya memenangi empat daripada 15 kerusi parlimen di Kedah dalam
pilihan raya bersejarah tersebut yang menyaksikan gabungan pemerintah
tersebut kehilangan majoriti tradisi dua pertiga di parlimen.
Kedah memiliki seramai 1,025,930 pengundi seluruh kawasan DUN dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya pada November lepas.
JALAN PULANG
http://anakmuaallaf.blogspot.com/2013/02/kenapa-melayu-tidak-perlu-takut-dap.html
ReplyDeleteKalau bapak jd PM tak semestinya anak pun jd PM atau VVIP. Jawatan tu tak boleh diwarisi kecuali ada ciri2 kepimpinan yg berkualiti memenuhi kehendak rakyat bukan utk jd billionaire cara mudah utk diri sdri & kaum kerabat. Sendiri mau ingat weiii.. kalau tak layak boleh berambooos!
ReplyDeleteBuat UMNO/BN.....Nooooo...Nooooooo....Noooooo
ReplyDelete