Thursday, January 23, 2014

NAJIB BUAT 'DO NO'!!! Pemimpin UMNO resah, BN kian lemah, rakyat makin marah



najib sakit kepala
Walaupun jangka masa PRU 14 masih ada empat tahun lebih daripada sekarang, tetapi sudah ramai yang bercakap mengenai kemungkinan UMNO bakal kalah dalam pilihanraya itu. 

Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin yang pandangannya mengenai politik jarang tersasar, secara terbuka berkata, BN akan kehilangan kuasanya jika PRU 14 diadakan dalam suasana seperti sekarang di mana kelemahan kepimpinan Najib Razak begitu ketara dan diperkatakan oleh ramai orang.

Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin pula membayangkan tiga senario yang bakal berlaku iaitu sama ada Najib berubah, beliau ditukarkan jika gagal berubah dan jika tiada apa-apa yang berubah, BN akan tewas dalam pilihanraya akan datang.


Seorang lagi bekas wartawan iaitu Zainuddin Maidin yang juga merupakan bekas Menteri Penerangan, tidak jemu-jemu menyarankan agar bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad diberikan semula kuasa dan pengaruh dalam kerajaan, dengan terbaru mencadangkan agar dilantik sebagai Menteri Mentor bagi membantu Najib, suatu gambaran hakiki bahawa kepimpinan Najib begitu lemah dan tidak bermaya sehingga Mahathir yang sudah berusia 89 tahun dan lebih 10 tahun bersara, dirasakan perlu dipanggil semula untuk menyuntik "ubat kuat" kepada Najib.


Pemimpin UMNO yang lain pula, sama ada secara terbuka atau sembunyi-sembunyi, ramai yang turut resah tentang hidup mati UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. 


Bagi semua pemimpin ini, UMNO, BN dan kerajaan selepas PRU 13 lalu bukannya bertambah baik dan diterima oleh rakyat, sebaliknya menjadi semakin lemah, kalut dah hilang punca dalam mengurus banyak perkara.

Daripada isu politik, ekonomi, keselamatan, agama, perkauman dan sebagainya, semuanya dilihat gagal ditangani dengan sebaiknya oleh Najib dan kerajaan kerana seperti kata Zainuddin Maidin, Najib hanya mempunyai kepakaran menangguhkan masalah dan bukan menyelesaikannya.


Kebimbangan banyak pihak, daripada ketua UMNO Cawangan hinggalah kepada bekas menteri seperti Daim Zainuddin, tentang kemungkinan BN tumbang dalam pilihanraya akan datang, sebahagian besarnya adalah kerana kelemahan yang dipamerkan oleh Najib. Najib dilihat punca segala-galanya.


Dalam hal ini, berikutan orang-orang yang rapat dengan Mahathir seperti Daim, Kadir Jasin dan Zainuddin Maidin sudah semakin lantang bersuara dan terbaru, Mukhriz Mahathir juga melahirkan rasa bimbang BN akan tewas dalam pilihanraya akan datang jika terus mengabaikan kepentingan rakyat jelata, terutama dalam kenaikan kos sara hidup, sebenarnya hampir pasti sekarang ini Mahathir juga sudah mempunyai pendirian yang sama.


Beliau mungkin hanya menunggu masa yang sesuai untuk menunjukkan persamaan dan hubungan sehati sejiwa dengan mereka yang lebih dulu mengkritik Najib itu.


Tetapi, biar bagaimana banyak meriam dan peluru serangan semakin dihalakan kepada Najib, ramai yang percaya tidak akan ada apa-apa yang berubah mengenai Najib. Najib kelihatan cukup selesa dengan stail lemah dan lembiknya dalam memimpin negara ini. 


Najib juga akan terus meletakkan kepercayaannya kepada Idris Jala, Omar Ong, JJ dan lain-lain rakan penasihatnya. Begitu juga kepercayaannya kepada Pemandu dan konsultan luar tidak akan berubah walau seinci pun.

Dalam masa yang sama, Najib juga dipercayai akan terus membiarkan isterinya, Rosmah Mansor, menonjol diri, membayangi dah kadangkala kelihatan lebih berkuasa daripadanya. Beliau juga dipercayai akan terus membiarkan isterinya itu menggunakan segala kemudahan kerajaan yang sudah biasa dinikmatinya selama ini.


Najib, menurut kalangan yang rapat dengannya juga, akan terus bertahan sehingga pilihanraya akan datang. Biar pun sokongan rakyat kian merosot, beliau seringkali dikangkungkan, isterinya diboo dan macam-macam lagi diperlakukan terhadap mereka berdua untuk tujuan memberi tekanan, dalam masa yang sama Najib amat menyedari bahawa beliau tidak mungkin ditumbangkan sepertimana Pak Lah dulu.


Tidak sepertimana Pak Lah, Najib telah menjaga semua segmen dalam UMNO yang mungkin boleh mengancam kedudukannya dengan memberikan mereka jawatan, kedudukan, lantikan sebagai penasihat, pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC, habuan dalam bentuk kontrak, projek dan sebagainya.


Waima ada maklumat memberitahu, jika Mahathir dan Daim serta semua suku-sakatnya mengambil keputusan mengkritik dan menyerang Najib secara bersepadu sekali pun, kedudukan Najib tidak akan tergugat dengannya. Kata maklumat itu, serangan dan kritikan itu mungkin hanya meriah di media dan di kalangan rakyat tetapi Najib akan terus kekal di singgahsana Seri Perdana sehingga pilihanraya akan datang kerana semua pemimpin UMNO sudah termakan budi dengannya.


Meskipun tujuan banyak pihak seperti Daim dan Kadir Jasin membangkitkan tentang kemungkinan BN tewas dalam pilihanraya akan datang adalah agar Najib sedar kelemahannya dah sedia memperbaiki diri, Najib pada hakikatnya lebih rela melihat UMNO dan BN berkubur di era pemerintahannya daripada menyerah kalah di pertengahan jalan.


Dalam hal ini, oleh kerana Najib tidak mahu berubah dan pemimpin UMNO pula enggan mengubahnya, hanya rakyat satu-satunya harapan untuk mengubah Najib. Itu pun kena sabar menunggu kira-kira empat tahun daripada sekarang. (SH 23/01/2014)

No comments:

Post a Comment