KUALA LUMPUR 9 APRIL: Sesi perbahasan Dewan Negeri Selangor (DNS)
mencuri tumpuan hari ini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail buat pertama kali berucap
bagi membahaskan titah Tuanku Sultan Selangor.
Beliau sekali lagi mempertahankan Ketua Umum KEADILAN yang juga
suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus menjadi sasaran serangan
pelbagai pihak termasuk Pembangkang DUN Selangor dalam isu Fitnah II,
MH370 dan pertikaian peranan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.
Wan
Azizah dengan tenang meminta dewan menyelami sendiri perasaan mereka
jika berada di tempat beliau sekeluarga yang terus menjadi mangsa
fitnah, sejak 16 tahun lalu.
“Kalau tuan berada di tempat saya, apa perasaan anda? Saya ada anak
dan keluarga,” kata Presiden KEADILAN itu merujuk kes Fitnah II yang
dilemparkan terhadap Anwar, lapor Selangor Kini.
Pada sesi perbahasan semalam, Wan Azizah turut mempertahankan
suaminya bagi menepis dakwaan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd
Shamsuddin Lias yang mengatakan Anwar cuba memburukkan imej negara
ketika ditemubual media antarabangsa berhubung insiden pesawat MH370.
Dalam ucapannya pagi tadi, beliau turut menyentuh pujian yang
dizahirkan Sultan Selangor yang gembira dengan peningkatan ekonomi
Selangor sebanyak enam peratus seperti yang dititahkan Tuanku dalam
ucapannya, Isnin lalu.
Katanya, angka berkenaan bukti jelas Anwar melakukan tugas selaku
Penasihat Ekonomi Negeri dalam memastikan ekonomi Selangor meningkat
waalupun dibayar gaji RM1.
Adun Kajang itu turut menegur kerajaan negeri supaya mengambil
langkah proaktif bagi meningkatkan usaha memastikan kaedah pengurusan
sisa pepejal dapat ditambah baik.
Ini susulan taburan sampah sarap yang dilihatnya pada tempoh
berkempen di DUN Kajang dan percaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat
diperkasakan melalui kuasa yang ada pada kerajaan negeri.
Tambah beliau, jalan penyelesaian masalah aliran trafik untuk jangka
pendek di kawasan Kajang juga perlu dibuat sementara menunggu projek
Transit Laju Massa (MRT) siap sepenuhnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=60562
No comments:
Post a Comment