Pihak dalaman PAS menyalahkan Umno yang tidak berhenti dan terus-menerus
memainkan isu untuk melaksanakan undang-undang syariah, termasuk hudud,
sehingga menimbulkan pergeseran antara parti dalam Pakatan Rakyat.
Bekas ahli Exco Kelantan dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata
beliau yakin Umno cuba memecahbelahkan perpaduan dalam Pakatan.
Beliau juga tidak fikir rang undang-undang
persendirian itu boleh pergi jauh selagi Umno tidak membuat pendirian
jelas mengenai perkara itu.
"Bagi saya, isu paling besar di sini sebelum kita pergi lebih jauh,
adalah untuk mengetahui apakah pendirian Najib. Adakah BN akan menyokong
rang undang-undang persendirian ini? Jika benar, maka kita boleh
berbincang. Jika tidak, jelas mereka hanya mempermainkan PAS demi
kepentingan agenda mereka," katanya.
Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
minggu lepas, bahawa Umno bersedia mendengar cadangan PAS mengenai
pelaksanaan hudud.
"Kita hendak tahu cadangan PAS. Kita tidak tahu lagi sebenarnya. Kalau
PAS hendak kemukakan pada kita, kita sedia terima," Najib berkata.
"Lihatlah apa yang PAS hendak cadangkan," katanya.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini mengumumkan
rancangan kerajaan negeri Kelantan untuk membentangkan rang
undang-undang persendirian dalam Parlimen untuk membolehkan hudud
dilaksanakan di negeri itu.
Rang undang-undang berkenaan akan membolehkan Enakmen Kanun Jenayah
Syariah II Kelantan yang diluluskan pada 1993 oleh Dewan Undangan Negeri
dikuatkuasakan.
Pengumuman Ahmad Yakob dibuat kira-kira seminggu selepas kenyataan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa
Putrajaya akan menyokong langkah kerajaan untuk melaksanakan hudud.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah berkata
minggu lepas, kerajaan negeri tidak perlukan restu PKR dan DAP untuk
melaksanakan hudud kerana isu ini bermula sebelum PAS bersama Pakatan
Rakyat.
Turut bersetuju dengan Husam, seorang aktivis parti memberitahu The
Malaysian Insider bahawa terdapat puak tertentu dalam parti yang
bertekad untuk menguatkan sokongan Melayu kepada PAS.
Ahli-ahli puak ini juga, menurut beliau, yang mengatur pertemuan hujung
minggu lalu antara Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin
dengan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Mereka mahu mengulangi perpecahan Barisan Alternatif (BA) yang terjadi
selepas PAS cuba melaksanakan hudud di Terengganu. Ia menyebabkan DAP
keluar dan BA hancur.
"Jika itu berlaku, maka PAS boleh bergabung tenaga dengan Umno," kata aktivis itu.
Satu lagi sumber dalaman parti berkata, kumpulan itu mahu mempunyai
"hubungan kerja" dengan Umno dan pada masa yang sama mahu kekal dalam
PR.
"Bagaimana ini akan dicapai, masih lagi diusahakan, " katanya.
Hubungan PAS-DAP menjadi tegang selepas Setiausaha Organisasi Kebangsaan
DAP, Anthony Loke mencadangkan PAS meninggalkan Pakatan sekiranya ia
berniat melaksanakan hudud di Kelantan.
Ahli Parlimen Seremban mendesak PAS menghormati dan mematuhi konsensus yang dipersetujui oleh PKR, DAP dan PAS.
Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memburukkan keadaan
apabila beliau dipetik dalam media berkata pada hari Ahad bahawa PR
bersetuju dengan agenda hudud PAS di Kelantan.
Dakwaan itu segera disangkal pemimpin DAP, termasuk Setiausaha Agung Lim
Guan Eng dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, mengingatkan Hadi
bahawa DAP tidak pernah bersetuju berhubung pelaksanaan hudud di
mana-mana negeri.
Dalam usaha menenangkan situasi, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang
menggesa pemimpin parti berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai perkara
itu dan menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan.
Pemimpin Pakatan sedang bersedia untuk bertemu dalam beberapa hari lagi.
Kit Siang berkata, mesyuarat itu akan diadakan secepat mungkin, namun
belum ada maklumat berkenaan tarikh atau tempat ia diadakan.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, satu mesyuarat akan diadakan secepat mungkin.
"Kita akan bertemu untuk membincangkan isu itu dan saya berharap
penyelesaian akan dicapai," kata Mohamad Sabu kepada The Malaysian
Insider. ~tmi
No comments:
Post a Comment