Saturday, September 18, 2010

Rasuah punca pelabur tak minat bukan kerana pembangkang

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiaEM3IZu4AyTH4GSqxa4n9yPPYoWRN_rrix5I3fnR_Li5qwadkiv7PKZzSu7KPnNxYtJQydOsXbBhnuzPJ1SBbXNVnr_6ETJpdOny8QZSHfCtuY4BZ09xQQcmgPHds0Ru2LWUMzg9mc1t-/s1600/fdi-umno.jpg

KUALA LUMPUR, 18 Sept:
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan cuba memberi gambaran serba indah tentang ekonomi negara biarpun hakikat adalah sebaliknya.

Beliau merujuk Laporan Bank of America Merill Lynch yang mendapati Malaysia kini antara negara yang tidak digemari para pelabur di Asia Pasifik selepas bank tersebut meninjau pandangan pengurus dana.

Kedudukan Malaysia jatuh dua anak tangga dari kedudukan sebelum ini iaitu di tangga ke-10, dan kini di kedudukan tercorot.

"Beberapa perkara mustahak yang sewajarnya diberi perhatian adalah pandangan para pelabur yang melihat Malaysia sudah tidak mampu bersaing dengan negara jiran yang begitu bertenaga maju ke hadapan seperti Indonesia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala kedudukan negara menurut tinjauan Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) pula telah melonjak 10 anak tangga ke kedudukan 44 dari 139 negara.

"Berikutan perkembangan sebeginilah kita sangsi perincian Model Ekonomi Baru yang bakal diumumkan perdana menteri mampu memulihkan ekonomi negara yang lembab ini," katanya lagi.

Beliau turut sangsi hasrat kerajaan untuk menjana pelaburan bernilai RM2.2 trillion dalam masa 10 tahun, yang mana 92% dari jumlah tersebut datangnya dari pelaburan swasta, sedangkan para pelabur bertindak menjauhi pasaran negara.

"Secara tuntas saya tegaskan, para pelabur memberi keutamaan terhadap sistem keadilan yang bersih, iklim yang tidak rasuah dan culas serta kepimpinan negara yang meyakinkan.

"Pembentangan serta perincian dasar ekonomi namun menafikan perkara yang mendasar tersebut hanya akan disambut dingin," katanya menjelaskan punca berlaku keadaan sedemikian.

Hasil Kedah meningkat di bawah kerajaan Pakatan

ALOR SETAR, 19 Sept: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid meneliti laporan audit negara bagi mendapatkan bukti peningkatan hasil negeri 205 peratus seperti yang dikehendakinya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media ketika meraikan puluhan ribu pengunjung berbilang bangsa ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, petang semalam.

Kelmarin, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yang digugurkan itu meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan mengenai dakwaan terdapat peningkatan mendadak hasil negeri 205 peratus tetapi tiada sebarang pembangunan yang dilaksanakan di negeri itu.

Menurut Azizan, laporan audit tersebut secara jelas menunjukkan peningkatan hasil negeri yang amat ketara selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran dari Barisan Nasional (BN) yang diterajui Mahdzir.

"Laporan audit negara dibentangkan di dalam parlimen, kalau dia nak pertikai, bermakna dia tak yakin dengan apa yang dibahaskan di parlimen.

"Pembalakan menyumbang kepada peningkatan hasil yang amat ketara, dari RM8 juta setahun menjadi RM38 juta setahun. Budak sekolah pun boleh beza yang mana lebih tinggi di antara kedua-dua angka itu," katanya sinis.

Menurutnya lagi, bidang pertanian masih menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun tidak mengalami peningkatan yang ketara seperti bidang pembalakan.

40 sami dapat duit raya

KOTA BHARU, 18 Sept: Seramai 40 sami mendapat duit raya sebanyak dua dirham sempena majlis Sambutan Hari Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Kelantan, hari ini.

Para sami yang diundang khas masing-masing mendapat duit raya berupa dua dirham itu disampaikan sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaik sahaja mereka selesai menjamu selera.
Tuan Guru dan isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak antara kenamaan yang hadir pada majlis tahunan itu.

Acara kemuncak yang menjadi acara yang ditunggu-tunggu khususnya kanak-kanak, majlis penyampaian duit raya oleh para pimpinan kepada mereka.

Hampir 1,000 kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah beratur untuk mendapatkan duit raya masing-masing.

Puluhan ribu rakyat Kelantan hadir pada acara tahunan itu di samping 20 orang Palestin, masyarakat India, Cina, Siam dan Sikh.

Terdahulu Tuan Guru turut melawat lebih 25 buah gerai yang disediakan oleh PAS seluruh kawasan, Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat di samping Nisa’.

Turut mengambil bahagian agensi kerajaan negeri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK), Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan lain-lain lagi.

Antara juadah yang disediakan kepada orang ramai sate, nasi dagang, kuih muih, nasi bukhari, nasi arab, gulai kawah, pelbagai jenis laksa, lemang dan lain-lain lagi.

Dianggarkan hampir 100,000 cucuk sate dan aiskrim disediakan untuk para tamu.
Turut hadir pada majlis itu, Exco kerajaan negeri, wakil-wakilrakyat, anggota Parlimen, pemimpin parti peringkat negeri dan kawasan.

Di samping menikmati juadah yang disediakan, para hadirin di majlis yang bermula jam 12.00 tengah hari turut dihiburkan dengan lagu-lagu berunsur dakwah yang disampaikan oleh Kumpulan Dikir Hijrah Ar-Rasy yang diketuai Ausri Hussin.

Kerajaan PAS Kelantan makin kukuh



















KOTA BHARU, 18 Sept: Kejayaan PAS mentadbir Kelantan diraikan oleh setiap lapisan masyarakat yang kini menyambut tahun ke-20 dengan sokongan rakyat yang semakin kukuh.

Ini dibuktikan kehadiran rakyat ke majlis Sambutan Aidilfitri PAS Kelantan yang mencecah 15,000 orang pada tahun ini, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Ketika ditemui di majlis tersebut, beliau berkata, sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Kelantan terhadap pimpinan ulama di bawah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh dijadikan kayu pengukur.

(Gambar: Tun Guru Nik bdul Aziz dan Salahuddin bersama ketua kaum Sikh.)

Justeru, katanya dakwaan Umno bahawa sokongan terhadap PAS semakin berkurangan amat tidak berasas.

“Pelbagai program yang dianjurkan oleh kerajaan dan parti di Kelantan kini, kita boleh lihat sambutannya yang begitu memberangsangkan dan dakwaan Umno yang mengatakan rakyat Kelantan sudah bosan dengan PAS tersasar sama sekali,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah pula memberitahu golongan muda yang berada di luar Kelantan juga semakin memahami dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri berkata, ini dapat dibuktikan apabila kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) yang setiap tahun mengadakan majlis ramah mesra bersama pimpinan kerajaan negeri juga mendapati kehadiran anak muda untuk bersama Menteri Besar semakin meningkat.

“PAS akan sentiasa bekerja keras bagi mempertahankan Kelantan pada PRU ke-13 nanti dan golongan muda akan menjadi tumpuan utama,” kata beliau lagi.

Majlis Rumah Terbuka PAS negeri yang diadakan setiap tahun, hari ini menyaksikan kehadiran 40 sami dari seluruh negeri yang makan bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka telah menerima sumbangan duit raya dalam bentuk dirham yang disampaikan sendiri oleh Tuan Guru pada majlis yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohamad ke IV.

Rai anak perantau

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiYDZSo5AuXb1dF7rn2Xy28qsw2DmKWGc2n6hsHzB1kz-SZd17lz_4EfGHGrAKTmmEOCwzueJMd_0tGpzQp-Qlys0gQQMq2kKFaE0z44f1stWvYj_5721gmLmlepAIdqOcXhjD30V0F5V4/s1600/IMG_8929.JPG

PARIT BUNTAR, 19 Sept. : Bersempena dengan 1 Syawal yang mulia, Dewan Pemuda PAS Parit Buntar (DPPKPB) telah menganjurkan program Anak Perantau. Program yang dijalankan sejak 10 tahun lalu ini sentiasa dihati anak-anak perantau yang bekerja di luar kawasan Parit Buntar.

Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Khairulzami Muhammad berkata, pada tahun ini DPPKPB telah memilih tarikh 1 Syawal sebagai hari untuk meraikan kepulangan anak-anak perantau.
“Pemuda sentiasa mengharapkan kepulangan anak perantau ke kampung halaman dengan selamat.

"Kita bukan sahaja mengharapkan kehadiran anak perantau ke program ini , malah kita juga mengharapkan sumbangan yang amat bermakna dari anak perantau" katanya

Tetamu undangan majlis berkenaan iaitu Zawawi Hassan selaku Ketua Pemuda PAS Perak dalam ucapannya menegaskan bahawa pemuda adalah tulang belakang dan sayap kanan perjuangan PAS.

"Tuan-tuan merupakan pemuda-pemuda yang memainkan peranan penting dalam mencapai kemenangan Islam walaupun berada diluar kawasan.

“ Jadilah pemuda pendesak seperti ashabulkahfi yang istiqamah dengan perjuangan Islam walaupun telah ditidurkan ratusan tahun, namun tetap bersama aqidah Islam" katanya

Program meraikan anak perantau di akhiri dengan jamuan yang disediakan oleh pihak penganjur. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah ADUN Titi Serong Drs Khalil Idham Lim Abdullah.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiUqtR95UEzRqU9OuF8XZdA9vX1fTSaK4pNXd3xl08xAgl_8XkyPfjR-aw21r4j_cRKLRJxPRcZvwoAZWKR60KbhlcyuGUjtqI0OJQNA8528yJJ4woL4Xlzp2MSW827ifBSzfDoQ3rcAlk/s1600/IMG_8917.JPG

Rakyat boleh tegur kelemahan polis

























SHAH ALAM 18 Sept. : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menganggap TV Selangor berani mengangkat suara rakyat apabila menyiarkan teguran terhadap kelemahan institusi polis dalam mengendalikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Selangor, Shukor Idrus yang mencela TV Selangor kerana dianggap mengganggu siasatan kes itu, beliau percaya banyak pihak termasuk masyarakat umum yang turut mempersoal kecekapan polis dalam kes tertentu.

"Saya rasa apa yang dinyatakan oleh TV Selangor adalah perkara yang dipersoal oleh rakyat jelata, dan memang ada empat laporan orang hilang dibuat tetapi tiada tindakan berkesan. Ini yang menjadi tanda tanya," katanya.

Mengikut laporan Utusan Malaysia, Shukor meminta polis menyiasat TV Selangor berikutan laporan berita berdasarkan kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Akin, dianggapnya tidak wajar.

Shamsu l sebelum ini mempertikai siasatan polis sebelum ini terhadap kes jenayah yang mempunyai hubung kait dengan suspek pembunuhan Sosilawati ketika polis masih dalam kepimpinan Tan Sri Musa Hassan.

Selain TV Selangor, New Straits Times (NST) turut memaparkan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kelewatan polis bertindak atas laporan polis terhadap suspek adik-beradik berkenaan yang dibuat sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, NST tidak pula mendapat perhatian mahupun kritikan Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, media adalah jurucakap bagi rakyat secara umumnya dan media perlu membawa persoalan yang bermain di fikiran rakyat bagi mengharapkan jawapan bermakna.

Katanya, kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar untuk mengambil berat segala laporan khususnya kes orang hilang, menunjukkan pihak berkuasa itu kurang memberi perhatian serius terhadap aduan orang ramai sebelum ini.

"Kita perlu mengusahakan ke arah memperkasakan institusi kepolisan agar perkara sebegini tidak berlaku, dan kenyataan Shukor jelas tidak akan membantu mana-mana pihak memperbaiki diri," tegas beliau.

Yakinkan rakyat Pakatan boleh memerintah












































KOTA BHARU, 19 Sept:
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli menegaskan Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS mempunyai keyakinan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini mesti diubah.

Tambahnya, dalam masa sama meyakinkan rakyat bahawa Putrajaya mesti diambil alih memandangkan kepada suasana yang berlaku dalam negara kini memerlukan perubahan.

Suasana dalam negara kini, katanya, perlu ditangani serius oleh pihak berkuasa terutama masalah jenayah, pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata demikian kepada media pada Rumah Terbuka PAS Kelantan di Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, semalam.

Mengulas dakwaan disebabkan persaingan sengit parti politik selepas Pilihan Raya Umum 2008 menyumbang kepada ketidakstabilan negara termasuk hubungan kaum dan sosial masyarakat, beliau berkata kenyataan itu menggambarkan hilangnya kewibawaan pimpinan Umno Barisan Nasional yang mendominasikan negara bagi menjadikan suasana harmoni serta kawalan keselamatan yang baik.

“Apa persoalannya dengan remaja yang membuang anak, kelahiran anak luar nikah yang begitu ketara mutakhir ini, penipuan di kalangan ahli-ahli perniagaan hingga membawa kepada berlakunya pembunuhan, apa kaitannya dengan persaingan sengit parti politik?” soalnya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Ini kerana, katanya persaingan politik adalah pada bentuk ideologi dalam mengemukakan pilihan-pilihan dan alternatif kepada rakyat.

Namun apa yang berlaku dalam negara kini, katanya menyebabkan rakyat seolah-olah berada dalam keadaan terumbang ambing, ekonomi dan masa depan pendidikan negara tidak jelas.

Begitu juga, ujarnya dengan suasana pergaulan sosial masyarakat khususnya di kalangan remaja tidak dikawal dengan serius, sedangkan itu adalah fungsi yang mesti dilaksanakan pihak berkuasa.

Beliau menambah, ertinya keputusan PRU 2008 itu menyebabkan Umno BN tidak mampu mentadbir dengan baik walau pun mereka menang, meski pun bukan dua pertiga di Parlimen.
Pada beliau, Umno BN mesti mengaku kegagalan mentadbir negara serta menggambarkan betapa merosotnya prestasi parti perkauman Melayu itu.

“Dakwaan itu juga sebagai permulaan kepada satu pilihan raya untuk mendapatkan mandat baru memandangkan mandat yang ada kini adalah ‘mandat kepada Pak Lah’, dan kalau itulah kemungkinannya maka dakwaan analisa persaingan sengit politik itu adalah di luar politikal,” ujarnya.

Tak yakin dengan Umno












































KOTA BHARU, 19 Sept:
Parti komponen Barisan Nasional (BN) seolah-olah tidak menaruh keyakinan seratus peratus kepada Umno dalam menerajui BN apabila dilihat percanggahan pandangan yang tercetus di kalangan mereka menyebabkan timbulnya krisis dalaman.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, keadaan itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) yang semakin stabil.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri berkata, Kerajaan Persekutuan yang didominasikan Umno BN semakin gentar terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) terutama memandangkan majoriti mereka di Parlimen kurang daripada dua pertiga.

“Dan ini menyebabkan mereka mungkin merasa tidak selesa dengan suasana yang ada, bahkan perbalahan di kalangan parti-parti komponen BN serta parti lain di luar Semenanjung menjadi punca permasalahan yang dihadapi Umno BN.

“Sebaliknya, PR dilihat semakin kuat, semakin baik dari sehari ke sehari, dan kita yakin prestasi PR menjadi akan lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum 2008 (PRU 2008), insya Allah,” katanya yang juga Adun Kelaboran.

Becakap kepada media pada Rumah Terbuka PAS Kelantan sempena Hari Raya Aidilfitri di Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, semalam, beliau mendakwa demokrasi yang diamalkan di negara kini berat sebelah.

“Ini jelas apabila kita dihalang untuk mengadakan ceramah politik secara terbuka di semua kawasan di Kelantan dengan alasan di luar musim pilihan raya, sedangkan kita mahu rakyat mengetahui maklumat mengenai parti dan kerajaan negeri dengan baik dan telus meski pun penerangan boleh diadakan di premis sendiri.

“Kita mahu mengadakan ceramah di pentas terbuka terutama di padang dan di tempat terbuka, ramai orang boleh hadir.

“Justeru, kita meminta supaya pihak Kerajaan Persekutuan bersikap lebih terbuka selaras kehendak negara yang dikatakan mengamal demokrasi, dan parti PAS sendiri adalah parti berdaftar, kita halal mengadakan program parti dan tidak bergerak bawah tanah,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Pusat tidak perlu takut untuk memberi permit kepada PAS mengadakan majlis penerangan parti secara terbuka.

Ini, katanya kerana menurut rekod yang ada, PAS menganjurkan program besar sekali pun membabitkan kehadiran puluhan ribu orang, namun tidak berlaku apa yang disifatkan sebagai rusuhan.

“Bahkan tidak menimbulkan permasalahan kepada pihak keselamatan. Kita boleh bekerjasama dengan mereka dalam menjaga keamanan dan kawalan lalu lintas,” katanya sambil menegaskan bahawa itu rekod PAS selama memerintah Kelantan lebih 20 tahun.

Umno ' berkura-kura '

SHAH ALAM, 18 Sept. : Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan Umno tanpa syak lagi "berkura-kura", berpura-pura dan memutarbelitkan fakta berhubung isu bukan Islam dibenarkan memasuki surau dan masjid.

Beliau yang juga anggota biro politik PAS juga malah mendakwa pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula terus menjadi "kesinambungan wadah kepuraan Umno dalam bersandiwara"

Menulis dalam blognya hari ini, Khalid memuatkan kembali beberapa keping gambar, antaranya menunjukkan pemimpin Umno memberikan 'tazkirah'.

Terdapat juga gambar Kamalanathan - yang didakwanya digelar 'Ustaz Kamal' oleh perayu undi Umno semasa kempen pilihan raya kecil lalu - menyampaikan sumbangan dalam sebuah masjid.

Dimuatkan juga sekeping gambar Kamalanathan dalan sebuah progam gotong royong di Masjid Felda Soeharto, Hulu Selangor yang mana pengerusi MAIS didakwa turut hadir.

170910 kamalanathan masjid mosque "Lebih hebat, 'Ustaz Kamal' bersama pengerusi MAIS menyerahkan khat tulisan kalimah Allah kepada salah seorang peserta.

"Ke mana perginya ahli parlimen berkopiah dan mereka-mereka yang lantang bersuara tempohari kononnya umat Islam telah dihina?" soalnya.

Sebelum ini, tindakan ahli parlimen Serdang daripada DAP memasuki sebuah surau di Kajang mencetuskan perasaan tidak puas hati banyak pihak, terutamanya oleh pemimpin Umno dan BN.

MAIS malah memberikan amaran keras kepadanya ekoran tindakan itu.


Pemimpin jahat tak laksana Islam

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/DSC_3131.JPGKEMAMAN – Tarbiyah dari ibadat berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan yang lalu menuntut supaya umat Islam berusaha menegakkan syariat serta kerajaan Islam muka bumi ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata, umat Islam pada hari hidup tanpa pelaksanaan syariat dan kerajaan Islam.

Oleh itu, beliau menekankan, adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap orang Islam memperjuangkan dan berusaha menegakkan kerajaan Islam

Menurutnya, tanpa kerajaan Islam pelbagai masalah jenayah serta kemungkaran berlaku dengan tidak terkawal secara berleluasa.

“Tanggungjawab kita (umat) untuk menegakkan kerajaan Islam. Sebab, kita hidup hari ini tanpa kerajaan Islam.

“Oleh kerana (keadaan) tidak ada kerajaan Islam pelbagai masalah berlaku dalam masyarakat kita hari ini seperti kes jenayah, bunuh, buang bayi dan lain-lain,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka dan Perasmian Pejabat Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai, di Jalan Air Putih, disini semalam, 17 September.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat menyifatkan petanda pemimpin yang ‘jahat’ adalah pemimpin yang tidak bersedia melaksanakan undang-undang serta syariat Allah SWT.

Malah, katanya pemimpin tersebut juga mengaku Islam tetapi tidak melaksanakan apa yang diperkatakan itu.

“Undang-undang Islam yang Allah suruh laksanakan dia (pemimpin) tidak laksanakan. Jadi, sebagai tanda pemimpin itu ‘jahat’, dia (pemimpin) buat apa yang Allah Ta’ala tidak suruh dan dia (pemimpin) bercakap (Islam) tentang apa yang dia tidak buat,” ujarnya.

Menurutnya, Nabi Muhamad SAW telah memberi garis panduan kepada umat Islam sebagai petanda seseorang itu beriman serta mengikut perintahNya.

Katanya, sesiapa yang berjihad menentang kemungkaran dengan tangan, lidah (mulut) dan hati masih tergolong di kalangan orang yang beriman kepada Allah SWT.

Menurut Ustaz Harun, jika langsung tidak mengambil sikap mencegah kemungkaran tersebut sama ada dengan tangan, lidah (mulut) dan hatn Rumah Terbuka i tanda seseorang itu tidak ada imannya.

“Apa garis panduan yang dibuat oleh Nabi SAW. Sesiapa yang berjihad dan bersungguh-sungguh (cegah) dengan tangan (kuasa) dia beriman, sesiapa yang bersungguh-sungguh mencegah dengan lidahnya (mulut) dia beriman dan sesiapa yang mencegah menentang dengan hatinya (benci) dia beriman.

“Dan jika sekiranya dengan tangan (kuasa) tidak menentang, dengan mulut (lisan) tidak menentang dan dengan hati pun tidak menentang. Maka, dia (seseorang) itu tidak ada iman,” ujarnya.

Oleh itu, katanya menjadi tanggungjawab kepada umat Islam di negara ini menentang serta menukar kerajaan yang tidak menegakkan Islam.

Dalam pada itu, Pengarah MTD Chukai, Haji Hanafiah Mat ketika dihubungi petang semalam mengucapkan syukur dan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran Rumah Terbuka terseut.

Beliau bekata, hampir 5000 orang warga Chukai daripada pelbagai lapisan, temasuk kaum tionghua hadir ke majlis rumah yang diadakan dari jam 11 pagi hingga 3 petang.BO


Laporan polis terhadap Perkasa dan Utusan















SHAH ALAM, 18 Sept. :
DAP Selangor hari ini membuat laporan polis mendakwa akhbar
Utusan Malaysia dan ahli majis tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Mohd Zahid Md Arip telah memfitnah parti itu dalam isu pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.

Menurut Setiausaha DAP Selangor Lau Weng San berkata, kenyataan Mohd Zahid yang disiarkan akhbar Umno itu - yang didakwanya cuba mengaitkan DAP dengan kes itu - tidak berasas dan bertujuan memburuk-burukkan DAP.

"DAP berpendapat bahawa semua pihak tidak harus menggunakan isu sosial ini sebagai isu politik dan polis harus diberi peluang untuk menyelesaikan siasatan mereka.

"Lebih-lebih lagi, polis telah menahan suspek yang berkenaan dan siasatan masih berjalan dan semua pihak harus membiarkan proses perundangan berjalan lancar," katanya.

Kelmarin, Utusan melaporkan Mohd Zahid mempersoalkan kenapa DAP langsung tidak bersuara bagi mengutuk pembunuhan kejam tersebut, sedangkan sebelum ini parti berkenaan gah mendakwa organisasi mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak semua pihak.

Bekas exco Pemuda PKR itu mempersoalkan sama ada tindakan itu berkaitan dengan dakwaan bahawa suspek utama adalah ahli seumur hidup DAP.

Menulis dalam blognya hari ini, Lau yang juga ADUN Kampung Tunku berkata beliau membuat laporan polis itu hari ini di Petaling Jaya.

Beliau juga meminta polis menyiasat Mohd Zahid dan akhbar harian berbahasa Melayu itu bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Demokrasi berat sebelah

KOTA BHARU, 18 Sept. : Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, demokrasi di Malaysia berat sebelah dan tidak sepatutnya disokong pengamal media termasuk kaum wartawan.

Bahkan, katanya demokrasi yang berlangsung di negara ini adalah ‘mengarut’ apabila teori demokrasi itu sendiri tidak sama dengan amalan.

Justeru beliau yang juga Mursyidul Am PAS menambah, kaum wartawan tidak wajar memberi sokongan kepada Umno Barisan Nasional.

“Demokrasi di Malaysia memang langsung berat sebelah.

“Perdana Menteri Malaysia tidak datang merasmikan jalan dan Jambatan Sultan Yahya Petra, mereka tidak mengundang Menteri Besar, tahu-tahu jalan dan jambatan itu sudah pun selesai dibuka.

“Semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri dahulu pun, dia tidak mengundang Menteri Besar pada majlis rasmi yang diadakan. Ini demokrasi apa seperti itu, demokrasi mengarut. Belajar di universiti lain, yang buat lain.

“Oleh itu tidak patut kaum wartawan menyokong Umno, tidak patut sokong barang salah. Biar mapus gi lah. Tidak patut wartawan sokong BN,” katanya pada Majlis Dialog Menteri Besar Bersama Wartawan di sebuah hotel di sini malam tadi.

Beliau berkata, sepatutnya kaum wartawan menjalankan kempen terhadap Kerajaan Persekutuan supaya turut meluluskan lesen radio dan televisyen bagi memudahkan rakyat mememahami erti demokrasi.

PAS, katanya memohon supaya diberikan lesen radio dan televisyen sejak lama dahulu tetapi hingga kini masih tidak ditunaikan.

“PAS tidak ada radio dan tv, sedangkan negara dikatakan mengamal demokrasi. Demokrasi apa macam itu.

“Tetapi kalau selagi wartawan menyokong perkara salah dilakukan Pusat itu, maka sampai bila pun rakyat dan negara tidak selamat, dan tidaklah pihak berkenaan sewenang-wenangnya menggunakan ISA terhadap pembangkang,” katanya lagi.

Beliau turut mengulas layanan diberikan kepada Utusan Malaysia.

“Akhbar harian Utusan Malaysia dianak tirikan kerajaan negeri ketika bertugas, macam mana tidak diketepikan sebab Utusan berat sebelah,” ujarnya.

Beliau menambah, terdapat pebezaan kandungan akhbar Sinar Harian berbanding Utusan di mana dalam Sinar menyiarkan berita orang PAS dan Umno.

Ekoran itu, beliau melihat sebahagian besar orang kampung sekarang ini jarang membaca Utusan.

“Wartawan yang benar-benar ‘wartawan’ mereka tidak perlu berpihak kepada Pusat. Sepatutnya wartawan turut mengempen sama supaya Pusat memberikan lesen radio dan tetevisyen kepada negeri Kelantan,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof dan Setiausaha Akbar, Ahmad Fadhli Shaari.hrkh

MDK bebankan penduduk


PARIT BUNTAR, 18 Sept. : Penduduk di Kampung Kedah Parit Buntar di sini, yang menerima notis daripada Majlis Daerah Kerian (MDK) meminta supaya tuan tanah membersihkan kampung agar kelihatan bersih dari semak samun memohon agar pihak berkenaan berlaku adil.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid berkata, tindakan MDK mengeluarkan notis kepada tuan tanah di Kampung Kedah di lihat sebagai tidak adil dan “double standard”.


Menurutnya, sekiranya tidak dilakukan pembersihan dalam tempoh 14 hari dari surat dikeluarkan tindakan akan diambil iaitu denda tidak lebih dari RM1000 atau penjara tidak lebih dari 6 bulan atau kedua-duanya sekali dan tambahan denda sebanyak RM100 sehari.

“Tindakan MDK membebankan penduduk, mengutip wang rakyat dengan cara mudah bagi menambah dana dengan cara menguatkuasakan Undang-undang Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Fakhrurrazi berkata, MDK perlu peka kerana untuk membersihkan kawasan itu memerlukan sejumlah wang yang besar.

“Walaupun dibersihkan, kawasan ini tetap tidak boleh dimajukan kerana ia adalah kawasannya berpaya.

“Saliran air juga tersumbat dan airnya tidak mengalir disebabkan Taman Kerian Permai ditambak tinggi dan keadaan longkangnya berada di atas jalan kampung,” katanya.

Katanya, apabila hujan lebat melanda air akan mengalir masuk ke kampung dan bukan ke sungai.

Beliau berkata, sepatutnya MDK membuat pemantauan terlebih dahulu terhadap kawasan itu yang sering menghadapi masalah banjir.

Sementara itu katanya, sebelum ini, bekas Ahli Majlis 2009 pernah membawa perkara itu ke dalam Mesyuarat Tindakan Daerah tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

“Sistem perparitan yang ada sekarang ini amat menyedihkan dan teruk disebabkan laluan tersumbat.

“Sepanjang jalan kampung ini hanya terdapat satu parit yang berfungsi untuk ke Taman Kerian Permai dan saliran ini sepatutnya terus mengalir ke sungai Kerian,” katanya.

Beliau berkata, sebelum mengeluarkan arahan, MDK hendaklah memberi keutamaan dalam mengemas kini sistem perparitan sedia ada terutamanya di taman-taman khususnya di Pusat Bandar Parit Buntar.

“Pihak berkenaan perlu melihat sendiri longkang utama di Pusat Bandar yang menakung air sehingga mengeluarkan bau kurang menyenangkan. Malahan ianya menjadi punca pembiakan nyamuk.

“Ada beberapa kes denggi berlaku di Pekan Baru Parit Buntar yang cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu. Banyak rungutan dari penduduk sekitar Parit Buntar di bawah penguasaan MDK yang belum diselesaikan,” katanya.SH

Cuti 16 September kejayaan Pakatan


TRONOH , 18 Sept. : Sambutan Hari Malaysia yang baru diperkenalkan tahun ini bukan sekadar cuti umum semata-mata, sebaliknya ia perlu dihayati semua masyarakat berbilang kaum di negara ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar berkata, Hari Malaysia perlu disambut dengan meriah bagi memperingati peristiwa bersejarah itu.


Menurutnya, beliau mendakwa sejarah Malaysia terbentuk pada 16 September 1965, namun sehingga tahun lalu tarikh itu tidak diberi keistimewaan seperti sambutan 31 Ogos.

“Pakatan Rakyat (PR) mengiktiraf sepenuhnya Hari Malaysia untuk disambut oleh seluruh rakyat negara ini dengan memberikan tekanan dan desakan terhadap kerajaan untuk membuka tirai menyambut Hari Malaysia.

“Atas desakan itu, maka kerajaan mengisytiharkan 16 September sebagai hari cuti umum malah kerajaan sedar dan menjadikan pertikaian yang diungkit PR sebagai satu pedoman untuk diambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis sambutan Hari Malaysia di DAP Cawangan Kampung Baru Bemban, Batu Gajah.

Hadir sama, ADUN Menglembu, Lim Pek Har; Yang Dipertua Pas Kawasan Batu Gajah, Ismail Ariffin; Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Gajah, Anthony R Vijaya; Pengerusi DAP dari cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PR.

Sivakumar berkata, pemberian cuti umum itu adalah satu kejayaan besar kepada usaha PR dalam menanam semangat Malaysia dalam kalangan rakyat.

“Semangat Malaysia ini penting kerana negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan bagi menjamin kesejahteraan serta kemajuan negara.

“Kita tidak mahu rakyat berpecah belah, oleh itu, PR Batu Gajah telah menganjurkan sambutan Hari Malaysia yang bertemakan Malaysia Untuk Rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh dibangunkan atas nama fahaman perkauman dan dipisahkan mengikut lokasi geografi.

“Pada 16 September kita mempunyai Sabah dan Sarawak yang menjadi sebahagian daripada nadi negara dan ia tidak boleh dianggap sebuah lokasi berlainan daripada Semenanjung Malaysia,” katanya.

Katanya, semua pihak harus setia dan mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan Malaysia daripada segala bentuk ancaman apatah lagi mahu melihat Malaysia bebas daripada jenayah, rasuah, kronisme dan nepotisme.SH

Masih bertahan


IPOH, 18 Sept. : Pemilihan kepimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini adalah ujian kematangan pemimpin dan ahli untuk membuktikan sebuah parti masa depan dinamik yang menjadi harapan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ketua Penerangan Keadilan Negeri, Zulkifly Ibrahim berkata, sejak 10 tahun lalu ternyata PKR mampu menempuh pelbagai masalah melibatkan rakyat, gabungan Pakatan Rakyat (PR), termasuk dalaman parti.


Menurutnya, dalam usia muda parti itu berupaya memberi sumbangan besar kepada politik tanah air sehingga mengetuai bilangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Kerajaan Negeri Selangor dan mendapat bilangan kerusi membanggakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

“Dalam konteks pemilihan parti, walaupun terdapat perpecahan disebabkan kepelbagaian pemimpin dan ahli yang mewakili badan bukan kerajaan, bekas UMNO dan reformis, namun realitinya PKR masih bertahan dan digeruni banyak pihak termasuk UMNO.

“Sebagaimana disepakati ahli parti dalam Kongres Khas parti untuk menjadikan PKR sebuah parti mengamalkan demokrasi, sudah tentu kita hendak melihat sejauh mana demokrasi dalam parti benar-benar diterjemahkan,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Zulkifly berkata, PKR adalah sebuah parti yang menginginkan satu budaya wujud dalam politik tanah air dengan slogan politik baru, budaya baru dapat direalisasikan.

Katanya, iklim pemilihan yang sedang berlangsung ini diharapkan benar-benar terbuka kepada calon yang layak, tidak timbul persoalan perpecahan dalam parti.

“Pemilihan kali ini asas penilaian terhadap calon kepimpinan adalah mereka yang setia dan berada dalam parti sejak ditubuhkan serta calon dari golongan muda hendaklah dipertimbangkan, di samping melaksanakan tanggungjawab terhadap tugasan diberikan oleh parti dengan cemerlang.

“Sebagai parti mengamalkan politik baru budaya baru, penggunaan politik wang oleh calon hendaklah ditolak, perbuatan caci dan menabur fitnah terhadap pesaing yang dilakukan oleh calon bertanding tidak sesuai berada dalam kepimpinan parti,” katanya.

Ditanya mengenai desakan dan permintaan Majlis Pimpinan Negeri Perak terhadap Pengerusi MPN Perak untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, beliau berkata, Mustafa Kamil Ayub layak menduduki jawatan tersebut.

“Beliau seorang pemimpin yang pernah berada dalam kepimpinan utama parti seperti Pemangku Pemuda Keadilan Nasional, pernah menjadi Setiausaha Agung Parti, mengetuai beberapa biro penting parti seperti biro latihan, biro antarabangsa dan sekarang sebagai Naib Presiden Parti.

“Sebagai pemimpin dari Perak, sudah tentu Kepimpinan Negeri Perak mendukung Mustafa Kamil untuk jawatan Timbalan Presiden dan saya menggesa semua cabang dalam Perak dapat mencalonkannya sebagai Timbalan Presiden parti bagi pemilihan bermula minggu ini,” katanya.SH

Dedah statistik kes bunuh


GEORGETOWN, 18 Sept. : Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mendedahkan statistik kes pembunuhan terutama yang melibatkan kes pembunuhan berprofil tinggi sejak tahun 1974 demi kepentingan umum.


Karpal yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan menggesa supaya keseluruhan statistik kes bunuh yang direkodkan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak sejak 1974 sehingga kini dapat diserahkan sebelum pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Oktober depan.


“Saya berharap dalam statistik tersebut merangkumi maklumat mengenai bilangan laporan polis diterima, angka kes yang telah dibawa ke mahkamah, kes yang berjaya diselesaikan ataupun kes tertuduh yang bebas, bagi tempoh 36 tahun dari tahun 1974.

“Saya berpendapat angka ini penting untuk diketahui khalayak umum dan perangkaan rasmi turut menjadi keperluan penting untuk dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat kelak,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau juga turut menggesa kes Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakan lain yang menjadi mangsa pembunuhan kejam manusia yang bertopengkan binatang didakwa dan diadili sebaik mungkin oleh mereka yang berpengalaman.SH