Thursday, July 5, 2012

PRU 13!!! Najib hanya mampu cakap besar bimbang kalah besar



Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menyusahkan rakyat mengenai tarikh pilihanraya umum ke 13 (PRU13) yang masih menjadi tanda tanya hingga ke saat ini. Para ahlulnujum politik pun sudah jemu untuk meramal setelah sekurang-kurang tiga masa dianggap terbaik untuk BN mengadakan PRU berlalu begitu sahaja.

PRU adalah perkara besar. Di samping banyak pihak yang terbabit dengan PRU, jika berlaku pula pertukaran kerajaan maka lagi banyak perubahan yang akan berlaku. Sebab itu tidak pelik jika ada pihak yang sentiasa dalam dilemma untuk merancang aktiviti kehidupan seharian selagi Najib belum bubarkan Parlimen. Hendak menunaikan umrah, haji, melancong, berpindah rumah, kenduri kendara bahkan nak khatankan anak pun jadi dilemma dalam penentuan tarikh.

Jabatan-jabatan kerajaan pun begitu. Hampir semua jabatan kerajaan yang terbabit langsung jika berlaku pilihanraya tidak dapat menyenaraikan agenda dalam taqwim tahunan dengan selesa. Jika berlaku pilihanraya, semua perancangan terpaksa dirombak. Persediaan untuk menghadapi pilihanraya terpaksa dibuat ke tahap maksimum sedangkan tarikh pilihanraya tidak diketahui.

Umno dengan angkuh melanyak PAS kerana kononnya lebih pentingkan politik dari ibadah haji apabila Ketua Penerangan PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati orang terbabit dengan PRU dalam PAS supaya menangguhkan haji. Walhal jika PRU dibuat di musim haji, tiada seorang tokoh Umno yang tergila-gila nak jadi calon akan ke tanah suci. Perangai hipokrit Umno tak pernah berubah sejak dulu dan kini.

Perdana Menteri berhak bubarkan Parlimen manakala Menteri Besar berkuasa membubarkan DUN. Mujur empat ketua kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri sekarang tidak putuskan untuk bubarkan DUN berbeza dari Pusat. Jika ia berlaku, berapa banyak pula duit rakyat yang terpaksa dibazirkan oleh SPR.

Semua kerenah yang timbul akibat dari penyembunyian tarikh PRU ini ialah kerana peruntukan perlembagaan sedia ada memberi kuasa sepenuhnya kepada seorang Perdana Menteri untuk menentukan tarikh PRU. Hakikatnya sekarang, yang tahu tarikh sebenar PRU hanyalah Allah SWT, Rosmah Mansor dan Najib selaku Perdana Menteri.

Tidak banyak sudah negara di dunia ini di mana tarikh PRU ditentukan dari awal pentadbiran sesebuah kerajaan. Tinggal beberapa buah negara yang sangat primitif amalan demokrasinya yang diketuai oleh Zimbabwe masih mengamalkan kaedah kuno ini.

Tarikh PRU di negara ini bukan dibuat mengikut keselesaan rakyat tetapi sejauhmana parti yang memerintah mampu menang besar dalam PRU. Malangnya hingga ke saat ini Najib masih belum menjumpai tarikh yang memungkinkan BN menang besar. Walaupun beliau sudah menjelajah ke seluruh negara, semua kelompok manusia dari pelbagai kalangan sudah ditemui dan setiap perhimpunan kehadirannya dilaporkan mencecah puluhan ribu tapi tetap tak meyakinkan BN. Di setiap perjumpaan Najib berucap seolah-olah pembangkang di Malaysia sudah pupus dan BN mampu menang besar dalam PRU. Tapi hakikatnya Najib cuma mampu cakap besar tapi masih tak mampu menang besar.

Semakin Najib menangguhkan tarikh PRU, beliau sebenarnya semakin menyempitkan ruang untuk mengekalkan kuasa BN. BN sudah tidak mampu lagi untuk melonjakkan sokongan rakyat kerana apa yang dilakukan sekarang sudah melepasi zon tepu. Sebanyak mana lagi ‘rasuah politik’ yang akan dihulurkan Najib atas nama sumbangan dari kerajaan Pusat, ia sudah tidak mampu meningkatkan lagi sokongan terhadap BN dalam skala besar kerana pelbagai bantuan rakyat 1Malaysia telah menempuh anti klimaksnya apabila PRU tidak diadakan segera. Akhirnya jika bantuan terus diberikan pun, rakyat tidak lagi menganggap ia perkara besar melainkan ia adalah ‘perkara biasa’.

Dari aspek serangan isu terhadap Pakatan, BN semakin kehabisan peluru apabila terpaksa menggunakan isu kitar semula. Penonjolan Umi Hafilda dan rangkaian bekas rakan-rakan Datuk Seri Anwar sehingga saban hari dalam media arus dan asyik-asyik isu Anwar, Anwar, Anwar menimbulkan rasa jelak rakyat umum.

BN tidak untung apa-apa apabila isu RM3 billion yang muncul 13 tahun lalu dikitar semula. Rakyat boleh fikir bahawa di negara ini ada polis dan ada SPRM, takkan lembab sangat sampai 13 tahun tak mampu selesaikan siasatan. Rakyat mampu fikir bahawa jika jika ada penyelewengan babitkan Anwar, jangankan RM3 billion, RM300 pun seleweng Anwar akan diseret ke mahkamah 13 tahun lalu.

Di pihak PAS, semakin tempoh permainan dipanjangkan oleh Najib nampaknya PAS semakin ghairah menggerakkan kebangkitan. Bayangkan setiap himpunan Hijau yang diadakan di seluruh negeri kehadirannya mencecah puluhan ribu. UMNO pun tak terbayang sebelum ini PAS mampu adakan himpunan ala rapat raksasa sebesar itu di Johor, Perak, Melaka dan Pahang.

Semakin lambat PRU diadakan juga, seorang demi seorang bekas tokoh-tokoh besar dalam kerajaan menyertai PAS. Lebih memeningkan kepala UMNO ialah seorang demi seorang artis ternama yang menyertai PAS, perkara yang tidak pernah dibayangkan lima tahun lalu. Siapapun tidak hairan jika artis bersama UMNO kerana budaya hedonisme dan UMNO adalah sinonim. Tetapi jika artis yang insaf berhijrah ke dalam PAS, ia sangat luar biasa. Artis mempunyai peminat yang kadangkala lebih besar dari orang politik.

Jika Najib mengadakan PRU bulan Mac lalu, maka Kedah adalah negeri Pakatan yang mungkin terjejas tekoran tragedi ‘ribut dalam cawan’. Alhamdulillah, kini semuanya sudah selesai. Kepimpinan PAS Kedah sudah berada dalam satu saf yang mantap. Terima kasih Najib kerana melambatkan PRU.Kedah La

1 comment:

  1. nanti dapat malu besor....cumer teloq jer kecik.....hihihihihihi

    ReplyDelete