Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan bahawa tiada
salahnya bagi badan pemantau hak asasi manusia, Suaram, yang disiasat
oleh pihak berkuasa, menerima dana asing jika ia untuk mempertahankan
hak asasi manusia.
Suhakam, tegas Pengerusinya Tan Sri Hasmy
Agam, ingin menekankan bahawa kebebasan bersuara dan kebebasan
berpersatuan adalah pokok kepada hak asasi manusia, yang dijamin di
bawah Perlembagaan Persekutuan dan diperuntukkan dalam Perisytiharan Hak
Asasi Manusia Sejagat.
"Deklarasi 1998 PBB mengenai Hak dan
Tanggungjawab Individu, Kumpulan dan Organ Persatuan untuk Mempromosi
dan Melindungi Hak Asasi Manusia Diiktiraf Secara Universal dan
Kebebasan Asas (dahulunya dikenali sebagai Deklarasi Sejagat mengenai
Pejuang Hak Asasi Manusia) antara lain, mengiktiraf pejuang hak asasi
manusia, yang mana Suaram adalah salah satu daripadanya, dan
aktiviti-aktiviti mereka yang sah untuk melindungi dan mempromosi hak
asasi manusia termasuk penerimaan dana dari luar negara untuk
mempertahankan hak asasi manusia.
"Pejuang hak asasi manusia
harus dibenarkan untuk berfungsi secara bebas, beroperasi di
persekitaran yang berupaya dan selamat, dan mempunyai kebebasan untuk
menentukan undang-undang, struktur dan aktiviti mereka," kata Hasmy
dalam satu kenyataan.
Suruhanjaya itu turut melahirkan
kebimbangan dengan cara bagaimana "penyiasatan dijalankan, publisiti
dibuat dan dilaporkan mengenai urusan dan akaun Suaram".
Katanya,
Suhakam mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak, untuk meningkatkan pembaharuan yang lebih demokratik sebagai
respons kepada pertumbuhan tuntutan kebebasan sivil yang semakin
bertambah.
Oleh itu, Hasmy menggesa semua pihak yang terlibat
dalam penyiasatan ini supaya bertindak bukan sahaja menurut
undang-undang dan peraturan tetapi selaras dengan semangat dan niat
jaminan perdana menteri itu.
Dalam hal ini, katanya, Suhakam
menyeru kerajaan agar terus mendukung dan mempromosi hak asasi manusia
melalui, antara lain, perkongsian positif dengan pelbagai pihak
berkepentingan, termasuk perniagaan dan masyarakat sivil yang akan
menyumbang ke arah memastikan tadbir urus demokrasi yang kukuh di negara
ini.
"Ini adalah penting dan amat selaras dengan hasrat yang
disuarakan perdana menteri untuk menggerakkan negara ke hadapan ke arah
menjadi sebuah negara demokrasi yang berfungsi sepenuhnya yang
memerlukan dasar-dasar dan amalan hak asasi manusia domestik yang
mematuhi sepenuhnya prinsip-prinsip dan norma-norma yang diterima secara
universal.
"Ini akan menggambarkan Malaysia dengan baik sebagai
anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan
menyumbang secara positif untuk meningkatkan imej antarabangsa sebagai
negara yang menghormati hak asasi manusia.
"Suruhanjaya akan
terlibat dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk jabatan dan agensi
Kerajaan dan badan-badan penguatkuasaan lain untuk mendapatkan maklum
balas penting mengenai isu itu," tegasnya.
No comments:
Post a Comment