KETIKA Mingguan Malaysia diarah memohon maaf kepada Ahli Parlimen
Seputeh, Teresa Kok berhubung sebuah cerpen yang memfitnah beliau, ramai
di kalangan pembaca Melayu akhbar itu sudah melupai bilakah cerpen itu
diterbitkan dan reaksi-reaksi menggila pemimpin Umno dan badan-badan
bukan kerajaan (NGO) pro-Umno terhadapnya.
Ramai juga yang tidak
memperdulikan pengakuan penulis cerpen itu, Chamil Wariya bahawa
karyanya telah diubah suai pengarang akhbar terbabit sehingga 'membunuh'
imej Teresa sebagai wakil rakyat.
Malah ketika Utusan Malaysia
diarah membayar ganti rugi kepada beberapa pemimpin PAS yang dilapor
fitnah, ramai juga orang Melayu pembaca setia akhbar itu tidak lagi
mengingati apakah isu yang diputarbelitkan Utusan Malaysia sehingga
mengakibatkan ia menghadapi saman fitnah.
Begitulah hebatnya
akhbar milik Umno itu dalam 'membentuk fikiran pembaca' khususnya para
penyokong Umno. Mungkin 'tagline' paling tepat bagi digunakan Utusan
Malaysia bukanlah 'penyebar fikiran rakyat' tetapi 'fitnah dahulu, bayar
kemudian'.
Kini sekali lagi Utusan Malaysia muncul dengan
strategi yang sama. Kali ini dengan memutarkan isu kononnya Timbalan
Presiden KeADILan, Nurul Izzah Anwar menggalakkan orang Melayu murtad.
Secara
tiba-tiba media massa pro-BN diketuai Utusan Malaysia muncul sebagai
'pembela akidah Islam' walaupun sebelum ini tidak langsung bersuara
terhadap kebiadapan Presiden MCA memperlekeh dan menghina syariah Islam.
Malah setelah kenyataan sekutu Umno itu seakan memakan diri, akhbar
milik Umno itu menyediakan ruang pula kepada Chua Soi Lek untuk
menjelaskan penghinaannya terhadap hukum hudud.
Komen-komen liar
pemimpin Umno dan sekutu-sekutu mereka terhadap kenyataan Nurul Izzah
juga jelas tidak matang, berniat jahat dan pre-emptive. Lebih memualkan
komen-komen tersebut dibuat semata-mata atas laporan akhbar dan tidak
memetik langsung kenyataan asal Nurul Izzah.
Di awal isu ini
diputarkan, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu telah pun mengeluarkan
kenyataan media yang menjelaskan perkara sebenar. Bagi panduan bersama
disiarkan semula kenyataan media tersebut:
"Saya ucapkan terima
kasih di atas pertanyaan lanjutan yang diterima setelah saya menghadiri
satu forum bertajuk 'Islamic State: Which version? Whose
responsibility?' sebagai seorang panelis.
"Sewaktu sesi soal
jawab, salah satu soalan ditanya kepada saya berkait isu paksaan dalam
agama melibatkan masyarakat Melayu. Jawapan saya menegaskan ungkapan –
'Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)...' – daripada ayat suci Al
Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat
manusia.
"Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum
sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan
Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan
Perlembagaan Persekutuan.
"Saya kesal kerana ada percubaan
memutarbelitkan kenyataan saya seolah-olah saya meremehkan soal akidah
atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad.
"Saya cenderung mendukung program pendidikan dan dakwah untuk memperkukuh akidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam.
"Saya berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama."
Begitu
jawapan pandat dan ringkas yang diberikan Nurul Izzah yang sepatutnya
boleh merungkaikan segala kemunykilan dan salah faham yang sengaja
dimainkan media pro-BN.
Namun seperti mana biasa, penjelasan
Nurul Izzah tidak langsung diterbitkan oleh media massa pro-BN yang
mencetuskan isu ini. Apa yang ada cumalah 'komen-komen menggila' yang
diberikan pemimpin tertinggi Umno, NGO-NGO sekutu Umno juga ahli agama
yang sengaja membiarkan diri diperbodohkan oleh 'spin doctor' BN.
Nurul
Izzah sudah pun memulakan tindakan menyaman dua akhbar pro-BN kerana
memutarbelitkan kenyataan beliau. Laporan juga telah dibuat kepada
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Kita yakin jika Utusan
Malaysia dan Berita Harian diarahkan membayar ganti rugi kepada Nurul
Izzah beberapa tahun lagi, isu ini tidak lagi diingati para pembaca.
Nampaknya
pesta 'membodohkan Melayu' ini tetap menjadi agenda Utusan Malaysia.
Tanpa menghiraukan impak kehadiran media baru yang mencabar dominasi
media konvensional, isu-isu membabitkan pemimpin lawan BN (khususnya
Pakatan Rakyat) terus dimainkan Utusan dan media massa pro-BN. Tujuannya
satu, untuk memburukkan Pakatan Rakyat dan memastikan sokongan Melayu
terus kekal buat Umno dan BN.
Sampai bilakah strategi
'ketinggalan zaman' yang merugikan bangsa Melayu ini mahu diteruskan.
Sudah lebih 50 tahun Melayu dibuai sentimen sedangkan buaian sentimen
ini gagal menjadikannya bangsa yang berdaya saing, hatta dengan bangsa
sendiri di seberang tambak sana.
No comments:
Post a Comment