Monday, November 12, 2012

FITNAH DULU BAYAR KEMUDIAN!!! Itulah Utusan media fitnah dan propaganda UMNO

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjmafLEtPDrBaZA4XuROB2hE17DWxCcdfJdmZd73Al8evweBea3cxNURCZXIivY6bj_4L0VWY4b-cLhx2aJASUa0vu0FMqqM0fuHkYi7VfrcxSI5gFnW04QoHq8bQZ-cHCfEt29ZsKTYHLs/s1600/utusan+tandas.jpgKETIKA Mingguan Malaysia diarah memohon maaf kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung sebuah cerpen yang memfitnah beliau, ramai di kalangan pembaca Melayu akhbar itu sudah melupai bilakah cerpen itu diterbitkan dan reaksi-reaksi menggila pemimpin Umno dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) pro-Umno terhadapnya.

Ramai juga yang tidak memperdulikan pengakuan penulis cerpen itu, Chamil Wariya bahawa karyanya telah diubah suai pengarang akhbar terbabit sehingga 'membunuh' imej Teresa sebagai wakil rakyat.

Malah ketika Utusan Malaysia diarah membayar ganti rugi kepada beberapa pemimpin PAS yang dilapor fitnah, ramai juga orang Melayu pembaca setia akhbar itu tidak lagi mengingati apakah isu yang diputarbelitkan Utusan Malaysia sehingga mengakibatkan ia menghadapi saman fitnah.

Begitulah hebatnya akhbar milik Umno itu dalam 'membentuk fikiran pembaca' khususnya para penyokong Umno. Mungkin 'tagline' paling tepat bagi digunakan Utusan Malaysia bukanlah 'penyebar fikiran rakyat' tetapi 'fitnah dahulu, bayar kemudian'.

Kini sekali lagi Utusan Malaysia muncul dengan strategi yang sama. Kali ini dengan memutarkan isu kononnya Timbalan Presiden KeADILan, Nurul Izzah Anwar menggalakkan orang Melayu murtad.

Secara tiba-tiba media massa pro-BN diketuai Utusan Malaysia muncul sebagai 'pembela akidah Islam' walaupun sebelum ini tidak langsung bersuara terhadap kebiadapan Presiden MCA memperlekeh dan menghina syariah Islam. Malah setelah kenyataan sekutu Umno itu seakan memakan diri, akhbar milik Umno itu menyediakan ruang pula kepada Chua Soi Lek untuk menjelaskan penghinaannya terhadap hukum hudud.

Komen-komen liar pemimpin Umno dan sekutu-sekutu mereka terhadap kenyataan Nurul Izzah juga jelas tidak matang, berniat jahat dan pre-emptive. Lebih memualkan komen-komen tersebut dibuat semata-mata atas laporan akhbar dan tidak memetik langsung kenyataan asal Nurul Izzah.

Di awal isu ini diputarkan, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu telah pun mengeluarkan kenyataan media yang menjelaskan perkara sebenar. Bagi panduan bersama disiarkan semula kenyataan media tersebut:

"Saya ucapkan terima kasih di atas pertanyaan lanjutan yang diterima setelah saya menghadiri satu forum bertajuk 'Islamic State: Which version? Whose responsibility?' sebagai seorang panelis.

"Sewaktu sesi soal jawab, salah satu soalan ditanya kepada saya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu. Jawapan saya menegaskan ungkapan – 'Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)...' – daripada ayat suci Al Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

"Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya kesal kerana ada percubaan memutarbelitkan kenyataan saya seolah-olah saya meremehkan soal akidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad.

"Saya cenderung mendukung program pendidikan dan dakwah untuk memperkukuh akidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam.

"Saya berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama."

Begitu jawapan pandat dan ringkas yang diberikan Nurul Izzah yang sepatutnya boleh merungkaikan segala kemunykilan dan salah faham yang sengaja dimainkan media pro-BN.

Namun seperti mana biasa, penjelasan Nurul Izzah tidak langsung diterbitkan oleh media massa pro-BN yang mencetuskan isu ini. Apa yang ada cumalah 'komen-komen menggila' yang diberikan pemimpin tertinggi Umno, NGO-NGO sekutu Umno juga ahli agama yang sengaja membiarkan diri diperbodohkan oleh 'spin doctor' BN.

Nurul Izzah sudah pun memulakan tindakan menyaman dua akhbar pro-BN kerana memutarbelitkan kenyataan beliau. Laporan juga telah dibuat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Kita yakin jika Utusan Malaysia dan Berita Harian diarahkan membayar ganti rugi kepada Nurul Izzah beberapa tahun lagi, isu ini tidak lagi diingati para pembaca.

Nampaknya pesta 'membodohkan Melayu' ini tetap menjadi agenda Utusan Malaysia. Tanpa menghiraukan impak kehadiran media baru yang mencabar dominasi media konvensional, isu-isu membabitkan pemimpin lawan BN (khususnya Pakatan Rakyat) terus dimainkan Utusan dan media massa pro-BN. Tujuannya satu, untuk memburukkan Pakatan Rakyat dan memastikan sokongan Melayu terus kekal buat Umno dan BN.

Sampai bilakah strategi 'ketinggalan zaman' yang merugikan bangsa Melayu ini mahu diteruskan. Sudah lebih 50 tahun Melayu dibuai sentimen sedangkan buaian sentimen ini gagal menjadikannya bangsa yang berdaya saing, hatta dengan bangsa sendiri di seberang tambak sana.

No comments: