KLANG 01 OKT : Sikap “tidak memilih bulu” Menteri Besar Selangor, Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meningkatkan rizab simpanan negeri dan
mengutip kembali hutang syarikat Talam kepada Kerajaan Selangor yang
bernilai RM392 juta.
Dalam memuji kepimpinan Abdul Khalid, Ketua Umum PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim berkata sikapnya yang cermat dan tegas telah meningkatkan
prestasi kewangan Kerajaan Negeri.
“Tan Sri ini kedekut dan cermat kena pada tempatnya. Tengoklah beliau
berani memanggil semua tauke-tauke besar untuk meminta balik bayaran
premium tanah yang dibagi percuma semasa pentadbiran Umno-BN sebelum
ini.
“Kalau pemimpin Umno-BN mesti masuk kocek dulu, tapi beliau tidak,”
katanya dihadapan kira-kira 1,000 penonton program Jelajah Merdeka
Rakyat, di Bandar Putera, di sini, semalam.
Bulan lepas, syarikat audit KPMG Transaction & Restructuring Sdn
Bhd (KPMG) berkata usaha mengutip hutang Talam berjumlah RM 392 bilion
kepada kerajaan negeri adalah satu keputusan komersial yang munasabah
dan bijak.
Anwar juga berkata kes saman penduduk terhadap kerajaan negeri kerana
tidak mendapat air percuma merupakan contoh Umno-BN memperbesarkan isu.
“Umno-BN ini cepat riuh, orang bagi air percuma nak sibuk apa, yang tidak dapat tidak ikut syarat,” katanya.
Hadir sama program tersebut, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim ; Exco Kerajaan Negeri, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu,
Elizabeth Wong ; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Adun Sri
Muda, Shuhaimi Shafei.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dun, Haniza Mohamed Talha ; Ketua AMK
negeri, Azmizam Zaman Huri ; Adun Meru, Dr Rani Othman ; Ahli Parlimen
Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.