SHAH ALAM, 31 JAN: Pembabitan Tun Mahathir Mohamed dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak bukan sesuatu yang menghairankan kerana sejarah membuktikan perkara sama pernah berlaku ketika era bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
Penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata tindakan menjatuhkan pemimpin yang tidak sebulu dengannya adalah perkara biasa bagi Mahathir, bahkan membuat penafian juga sudah sebati dalam gerak kerja politiknya selama ini.
Beliau berkata, perkara sama turut menimpa beberapa bekas pemimpin terkemuka Umno sebelum ini antaranya Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas disingkirkan Mahathir.
"Ketika hubungan tidak mesranya dengan Musa dihidu ramai pada awal 1980-an dulu, Mahathir beberapa kali menafikannya, bahkan beliau juga kerap menunjukkan sifat mesranya di depan umum dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Begitu juga dengan Anwar apabila beliau sering menafikan hubungan renggang mereka dan berulang kali menegaskan Anwar adalah penggantinya,bahkan sehari sebelum pemecatan Anwar ,pada 2 September 1998, beliau sekali lagi menafikan hubungan mereka bermasalah.
"Namun ,akhirnya Anwar bukan saja dipecat, bahkan juga dimalu, diaibkan dan dihantar ke penjara seperti tidak pernah bersahabat baik serta duduk makan semeja sebelum itu. Tetapi itulah Mahathir, apa yang dinafikan selalu yang dilakukannya," katanya di dalam blog.